Dua wanita penyebar maklumat facebook palsu “dua lelaki dibunuh dengan organ dilarikan” ditahan polis selepas serah diri di IPD Bau

BAU: Dua individu wanita yang dicari polis berhubung kes penyebaran maklumat palsu yang menjadi viral di media sosial semalam akhirnya menyerah diri kepada Polis Bau petang tadi.

Kedua-duanya menyerah diri sekitar jam 2.15 petang dan 2.50 petang, setelah mendapat maklumat bahawa polis sedang memburu mereka.

Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Datuk Dev Kumar ketika mengesahkan penangkapan berkata, seorang daripada wanita itu berusia 18 tahun dari Bau manakala seorang lagi berusia 27 tahun dari Kuching.

“Kedua-dua telefon bimbit suspek telah dirampas bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Kata Dev lagi, Pesuruhjaya Polis Negeri, Datuk Mazlan Mansor “tidak main-main” apabila memberi amaran terhadap mereka yang membuat laporan polis palsu dan menyebarkan khabar angin melibatkan aktiviti jenayah di negeri ini.

“Kesemua berita palsu ini mencetuskan ketidaktenteraman awam dan menimbulkan ketakutan.

“Dan kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka,” katanya.

Dalam status berita yang menjadi viral tersebut, mereka telah menyebarkan maklumat kononnya seorang suspek telah ditangkap di Kampung Daun, Singai, Bau kerana menyebabkan kematian kepada dua individu.

“Mayat mangsa kononnya telah ditemui dengan organ dalaman mereka dilarikan. Tiga lagi suspek diberitakan masih bebas dan mereka berkeliaran di sekitar Kuching dengan van putih bercermin gelap untuk mencari mangsa.

Gambar dua mayat yang ngeri turut dilampirkan bagi menggambarkan keadaan mangsa.

Kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – Sarawakvoice