Lima menara telekomunikasi dibina di Julau

JULAU: Kementerian Komunikasi dan Multimedia mempunyai peruntukan RM1 bilion di bawah Bajet 2017 bagi menambah baik tembusan jalur lebar di Malaysia termasuk untuk Sarawak.

julau00Justeru, melalui peruntukan berkenaan, kementerian berkenaan sedia membina lima menara telekomunikasi dalam kawasan Parlimen Julau.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata tiga menara dibina di Dayu, Jalan Ulu Entabai dan Jalan Setulak di daerah Pakan.

Sementara, dua lagi menara dibina di Lasi dan Bukit Seri di Julau bagi tujuan menambah baik tembusan jalur lebar memenuhi keperluan 50,000 penduduk.

“Kerajaan sentiasa berusaha merapatkan jurang perbezaan komunikasi dari kawasan bandar dan juga luar bandar,” kata Jailani.

Beliau menambah pihak kementerian dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKM) serta beberapa agensi yang dilantik berusaha mencari jalan meningkatkan serta menambah jaringan komunikasi di kawasan yang memerlukan liputan komunikasi seluruh negara.

“Kita tidak mahu melihat mana-mana kawasan luar bandar di Malaysia tiada liputan,” kata Jailani.

Bercakap kepada pemberita semasa lawatan kerja meninjau lokasi menara telekomunikasi baharu di Sekolah Kebangsaan Nanga Entaih, Julau pada Sabtu, Jailani berkata di Parlimen Julau pada masa kini, terdapat 21 menara telekomunikasi.

Bagaimanapun, berdasarkan lawatan beliau, selepas pekan Pakan hingga kawasan SK Ulu Entalih tiada sebarang sistem jaringan komunikasi dapat digunakan oleh penduduk untuk berhubung dengan dunia luar.

Justeru menurut Jailani, “pihaknya berusaha memohon kerajaan mengkaji perkara ini serta mengambil langkah memastikan kawasan ini mempunyai sistem jaringan komunkasi yang sempurna berdasarkan teknologi semasa.”

Jailani berkata beliau meminta SKM memperinci keperluan perkhidmatan jalur lebar di kawasan terbabit. – Sarawakvoice