Bersih 5: Pas nasihati DAP supaya tidak melatah

KOTA KINABALU: DAP tidak perlu melatah dan bersikap seperti baru belajar berpolitik dengan menunjukkan sikap matang dan menghentikan serangan terhadap Pas.

Ketua Penerangan Pas Sabah, Abdul Hisham Othman berkata,  DAP perlu belajar untuk menghormati pendirian orang lain jika mahu pendiriannya dihormati.

“Berhenti meletakkan syarat kepada Pas yang sudah menegaskan pendirian untuk tidak menyertai himpunan Bersih 5.0,” katanya dalam satu kenyataan.

DAP katanya, mula menggelabah dan terdesak sehingga Timbalan Bendahari Agungnya, Nga Kor Ming terpaksa mengeluarkan kenyataan mengajak Pas bersama menyertai himpunan Bersih 5.0.

Pas sebelum ini telah menegaskan untuk tidak bersama pembangkang yang lain dalam himpunan Bersih 5.0 tersebut. Keengganan Pas bersama Bersih dilihat akan menjejaskan jumlah penyertaan peserta sepertimana dalam himpunan Bersih 4.0.

Kata beliau, Nga Kor Ming cuba menanamkan persepsi buruk kepada Pas dengan menganggap Pas sebagai ingin bersekongkol dengan Umno jika Pas tidak turut serta dalam himpunan tersebut.

“Analogi yang beliau lakukan sangat dangkal dan tidak mencerminkan sifat besar sebagai seorang pemimpin.

Bolehkah kita andaikan jika Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng makan semeja dengan pemimpin Umno yang bertaraf menteri Persekutuan maka beliau akan bersekongkol dengan Umno. Jika Datuk Dr Mujahid Yusof, seorang pemimpin PAN berjumpa dengan seorang pemimpin gereja maka beliau akan bersekongkol dengan kristian,” ujarnya.

Abdul Hisham berkata, pemimpin harus berjiwa besar dan menunjukkan kematangan apabila mengeluarkan kenyataan. Negara Malaysia dibina dalam tempoh yang cukup lama dan mengorbankan puluhan ribu jiwa yang berjuang mempertahankannya.

Katanya: “Janganlah akibat terdesak untuk mendapat dan mengekalkan kuasa maka norma-norma kesopanan dan kesusilaan diabaikan.”

“Pas ditendang keluar daripada Pakatan Rakyat oleh DAP. Mereka juga memutuskan hubungan dengan Presiden Pas sekali gus berkerat arang berpatah rotan dengan Pas itu sendiri. Mereka juga sebelum ini menegaskan untuk tidak bekerjasama dengan Pas, maka Muktamar Pas Pusat pun memutuskan untuk tidak lagi mempunyai hubungan dengan DAP dan seluruh kepimpinannya. Sepatutnya tidak timbul soal Pas perlu bersama gabungan pembangkang yang lain dalam himpunan Bersih 5.0,” tambahnya. – Sarawakvoice