Kerana beri dadah dan merogol, lelaki 35 tahun hampir ditikam mangsanya di Stutong

KUCHING: Seorang lelaki berusia 35 tahun hampir ditikam oleh seorang remaja perempuan berusia 16 tahun semalam gara-gara nafsu buasnya yang memberi dadah kepada remaja tersebut sebelum merogolnya.

Dalam kejadian sekitar jam 3 pagi di Stutong itu, gadis tersebut yang cedera di leher dan pergelangan tangan, ditemui sedang memegang pisau, dengan emosi yang tidak stabil.

Polis yang dimaklumkan tentang kejadian tersebut, tiba sejurus kemudian dan mendapati, remaja perempuan tersebut dalam keadaan pakaian yang tidak terurus sambil lelaki terbabit separuh bogel.

Berasal dari kawasan perumahan kos rendah berhampiran lokasi kejadian, perempuan tersebut mendedahkan perbuatan terkutuk lelaki dari Jalan Mendu tersebut dan menuduh lelaki itu melakukan serangan seksual terhadapnya.

Polis kemudian memberkas lelaki hidung belang terbabit sebelum memujuk remaja terbabit melepaskan pisau yang dipegangnya.

Anggota polis yang hadir ke lokasi kemudian menghubungi pihak paramedik sebelum merujuk mangsa ke Hospital Umum Sarawak untuk melakukan pemeriksaan susulan.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai mengesahkan kejadian dan memaklumkan kes masih dalam siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol gadis di bawah umur. – Sarawakvoice