Sampai bilakah kita hendak membiarkan perhimpunan Baju Merah dan baju Kuning berterusan di negara ini?

Sampai bilakah sesuatu isu dan keputusan perlu dibuat menerusi perhimpunan jalanan?

Tindakan kerajaan tidak membenarkan penganjur perhimpunan Bersih 5 dan kumpulan Baju Merah mengadakan sebarang perhimpunan adalah tepat dan munasabah.

Mereka sudah begitu lama berdegil dan tidak mendengar cakap.

Justeru, langkah terbaik demi kesejahteraan semua adalah dengan mengenakan tindakan undang-undang jika mereka masih lagi mahu melancarkan tunjuk perasaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  semalam berkata keputusan itu diambil kerana kerajaan tidak mahu berlaku pertembungan antara kedua-dua kumpulan berkenaan.

Memang benar, ketika kedua-dua pihak bagai mahu menegakkan benang basah, mereka pasti tidak akan mahu berkompromi.

Dalam keadaan emosi menggelegak, pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Kita perlu belajar daripada perhimpunan Baju Merah dan Baju Kuning di negara jiran Thailand beberapa tahun lalu apabila ramai yang cedera dan mati apabila berlaku pertempuran.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata tempat perhimpunan yang dipohon penganjur Bersih atau kumpulan Baju Kuning, termasuk dalam senarai lokasi yang tidak diizinkan dalam Akta Perhimpunan Aman 2012 walaupun notis mengadakan perhimpunan dipohon 10 hari sebelum acara berlangsung.

“Sebagaimana kenyataan yang dikeluarkan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mhd Amin Nordin (Abdul Aziz), DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) tidak mengizinkan ia digunakan kerana tidak digazetkan dalam Akta Perhimpunan Aman.

“Oleh yang demikian, Polis Diraja Malaysia memutuskan keputusan DBKL itu harus dipatuhi dan saya nasihatkan kedua-dua kumpulan ini jangan buat sebarang perhimpunan sebagaimana yang telah saya nyatakan di Dewan Rakyat hari ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, semalam.

Perhimpunan kumpulan Baju Merah dirancang Sabtu ini di Dataran Merdeka manakala perhimpunan Bersih 5 pada 19 November.

Sebelum ini pun kita telah melihat bagaimana perlakuan mereka. Adakah kita mahu melihat sesuatu yang lebih dahsyat berlaku sebelum kita mengharamkannya? Sudah tak ada gunanya jika nasi menjadi bubur.

Ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2017 peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada persidangan Dewan Rakyat, Ahmad Zahid berkata, KDN tidak tidak mempunyai apa-apa hubungan atau menjanjikan sebarang perlindungan dengan mana-mana kumpulan baik Bersih atau Baju Merah.

Beliau menegaskan polis akan bertindak tegas terhadap kedua-dua kumpulan itu atas sebarang ketidakpatuhan undang-undang atau prosedur yang ditetapkan.

Sesungguhnya, pihak polis dan kerajaan tidak boleh dilihat memihak, kerana sebarang persepsi sedemikian tidak menguntungkan. Sebaliknya, kerajaan perlu bertindak tegas dan tanpa kompromi terhadap mereka yang berdegil demik kestabilan sosiopolitik dan keselamatan semua pihak.

Macam-macam boleh terjadi jika emosi sudah terbakar.

“Yang Berhormat Kinabatangan (Datuk Bung Moktar Radin) dan Yang Berhormat Bukit Gelugor (Ramkarpal Singh) ada bertanya kepada saya sama ada KDN ada hubungan dengan kumpulan Baju Merah dan meminta jaminan adakah kumpulan Baju Merah akan menghentikan aktiviti perhimpunan mereka jika Bersih juga berbuat demikian.

“Di sini saya ingin tegaskan bahawa KDN tiada apa-apa hubungan, perlindungan atau sebarang janji dengan mana-mana kumpulan sama ada Bersih atau kumpulan Baju Merah,” kata Ahmad Zahid.

Sehingga Oktober lalu, 175 laporan polis telah diterima dari seluruh negara berhubung penganjuran Bersih 5.0.

Jumlah laporan polis yang diterima itu sudah lebih daripada memadai untuk kita berwaspada.   Jika tidak, kita akan terus terheret ke dalam krisis yang berpanjangan dan tanpa kesudahan.

Berdasarkan laporan polis berkenaan, siasatan dibuat berdasarkan kesalahan di bawah Akta Hasutan, Akta Perhimpunan Aman atau undang-undang lain.

Ahmad Zahid berkata beberapa laporan lagi diterima mengenai ketua kumpulan Baju Merah, Datuk Jamal Yunos.   Jamal juga satu watak yang aneh dan pelik. Tindakan Jamal bukannya membantu untuk membina hubungan kaum dan negara, tetapi meruntuhkannya. Kerajaan tidak harus melayan kerenah beliau. Kini pun sudah terdapat persepsi dan tuduhan Umno dan kerajaan di sebalik keberanian Jamal itu. Tentu kerajaan tidak mahu tuduhan dan persepsi sedemikian kerana ia merugikan kerajaan. 

“Saya ingin menyatakan bahawa jika tidak ada kuning pasti tidak ada merah, jika tidak ada Maria Chin (pengerusi Bersih 2.0) pasti tidak ada Jamal Yunos.    

“Jadi saya minta semua pihak merah atau kuning mencari platform terbaik untuk mencari penyelesaian berbanding mengadakan perhimpunan,” katanya.

Penyelesaian bukannya di jalan raya.Penyelesaian terbaik harus di meja perundingan atau melalui peti undi. Penyelesaian terbaik bukannya melalui kekuatan fizikal, tetapi kekuatan intelek.

Emosi tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya yang menyelesaikan masalah ialah otak.   

Dalam isu Bersih dan Baju Merah semua pihak  perlu menjunjung kedaulatan undang-undang seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang lain yang berkuat kuasa ketika ini.

Seperti kata Ahmad Zahid, kita tidak seharusnya bersandarkan dasar memperjuangkan sesuatu demi kepentingan negara atau untuk menegakkan keadilan, tetapi dalam masa yang sama kita sendiri mengingkari dan membelakangkan undang-undang yang digubal oleh Parlimen.

Justeru, semua pihak perlu memikirkan akan implikasinya. Pada jangka panjang, kita tidak boleh biarkan Baju Merah dan Baju Kuning bermaharajalela di negara ini. – Sarawakvoice