PAS semakin diterima rakyat Sarawak

PAS Sarawak telah mengadakan Karnival Sambutan PAS Sarawak ke-20 tahun di pekarangan ibu pejabat PAS Sarawak di Matang Jaya, Kuching pada 29 Oktober lalu.

Antara aktiviti sepanjang program sambutan PAS ke-20 tahun tersebut ialah pameran Jabatan / Lajnah / NGO PAS, jualan makanan / pakaian, aktiviti bersama Hadi & Huda, pertandingan street soccer Piala Pesuruhjaya PAS Sarawak (terbuka untuk setiap kawasan) , pertandingan gubahan, mewarna, shawl , gusti lengan ,kopi Amal tarik (terbuka untuk setiap kawasan), cabutan bertuah dan lain-lain.

Pada sebelah petangnya diadakan perbarisan Jabatan Amal Malaysia dipimpin oleh Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden PAS dan pada sebelah malamnya penyampaian hadiah oleh Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS.

Slot “Solat Hajat Perdana Selamatkan Palestin” turut dilangsungkan dengan diimamkan oleh Tuan Guru Zulkifli Ismail, Mudir Pondok Baitul Quro’ dan Ustaz Yusuf Assiddiq Ahmad Sharqowi.

Majlis Pidato Khas bersama Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS merupakan majlis kemuncak karnival sambutan PAS Sarawak ke-20 tahun.

Antara penceramah lain yang turut hadir ialah Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden PAS dan Dr. Ustaz Riduan Mohamad Nor.

PAS mula berkembang ke Sarawak apabila pada 25 Mei 1990, Muktamar Tahunan PAS kali ke-36 di Taman Melewar telah bersetuju dengan usul PAS kawasan Tawau supaya PAS berkembang ke Sarawak.

Pada 31 Disember 1994, mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat memutuskan untuk berkembang ke Sarawak dan mengarahkan penubuhan Jawatankuasa protem negeri tersebut.

Pada 22 September 1996, PAS Sarawak secara rasminya ditubuhkan dengan pelantikan Cikgu Mohd Shokri Mohd Fauzi sebagai Pesuruhjaya PAS Sarawak yang pertama. Beliau merupakan anak tempatan yang pertama diberi amanah untuk memimpin PAS di Bumi Kenyalang.

Pada malam tersebut, antara inti pati kandungan ucapan Tuan Guru Presiden PAS adalah tentang sejarah pembebasan negara ini daripada penjajah.

Dahulu Islam yang memerintah negara di rantau Asia Tenggara ini tetapi setelah penjajah Portugis, British, Belanda dan Sepanyol datang, maka sosioekonomi dan sistem perundangan sudah berubah mengikut cara sistem penjajah.

Manakala antara isu semasa yang disentuh ialah Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355 yang sebelum ini pernah diusulkan di Parlimen oleh Menteri Tanah dan Galian ketika itu, Abdul Rahman Yaakub (Allahyarham Tun Datuk Patinggi, mantan Ketua Menteri Sarawak), seorang anak jati Sarawak.

Pada masa itu katanya, tidak ada masalah untuk non-Muslim memberi sokongan pada RUU Akta 355.

“Sekarang ini keadaan sudah berubah dengan non-Muslim berani menentang secara terbuka RUU Akta 355 walaupun sudah diberi penjelasan yang RUU Akta 355 hanya untuk Muslim.

Selepas ucapannya, Tuan Guru Presiden PAS ditanya tentang pendirian PAS sama ada masih terbuka untuk berunding dengan pakatan pembangkang lain seperti sebelum ini.

Jawapan Presiden PAS adalah jelas. PAS sentiasa terbuka dan tidak pernah menutup pintu rundingan dengan mana-mana parti pembangkang atau NGO yang ingin bekerjasama dengan PAS.

PAS tidak mahu lagi jadi pengikut atau khadam parti lain tetapi memimpin bersama parti-parti lain, jelasnya.

Katanya lagi, PAS tidak mahu dijadikan alat ketika waktu diperlukan sahaja seperti menggunakan jentera PAS untuk memenangi sesuatu pilihan raya.

Tetapi apabila rakan seperjuangan sudah menang, mereka menyingkirkan PAS begitu sahaja apabila tidak lagi sehaluan dengan PAS.

Secara kesimpulannya, PAS bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti pembangkang khususnya parti pembangkang tempatan di Sarawak tanpa mengira bangsa dan agama.

PAS sudah diterima oleh rakyat tempatan di Sarawak walaupun pada mulanya sukar untuk menarik sokongan, khususnya penduduk asal Sarawak.

Ini kerana pada mulanya mereka menyangka PAS hanya untuk Islam tetapi sebenarnya perjuangan PAS adalah untuk semua tanpa mengira bangsa dan agama. PAS berjuang berdasarkan Al Quran dan Sunnah dan kerana itu katanya, parti itu adil untuk semua.

* Jofri Jaraiee ialah Pesuruhjaya PAS Sarawak