Fahami rasional di sebalik pindaan Perlembagaan Persekutuan 1976

Pindaan Perlembagaan pada 1976 yang membawa kepada penurunan status Sarawak dan Sabah daripada wilayah kepada sekadar sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia telah mencetuskan debat dan langkah untuk menilai kembali keputusan yang diambil oleh Ahli Parlimen  ketika itu.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem sejak akhir-akhir ini bertekad mahu  status Sarawak sebagai rakan kongsi dalam Persekutuan Malaysia dikembalikan kerana penurunan taraf 40 tahun lalu dianggap tidak harus belaku.

Tindakan yang diambil Adenan pasti mendapat sokongan 2.7 juta rakyat Sarawak, sesuai dengan sentimen yang mahu disemarakkannya sejak menerajui Sarawak pada 2014.

Malah, populariti beliau mencanak ke papan atas juga disebabkan naratif politik beliau yang berjuang atas sentimen nasionalisme negeri.

Menjelang pilihan raya lalu, kajian Majlis Profesor Negara (MPN) mendapati penarafan populariti beliau mencecah 84 peratus.

Perdana Menteri Datuk Hussein Onn ketika berucap pada bermula jam 3.40 petang 12 Julai 1976, menafikan tuduhan pembangkang bahawa pindaan Perlembagaan berkenaan tidak dibuat terburu-buru.

Usaha itu, menurut beliau telah mengambil masa tidak kurang daripada dua tahun. Maksudnya, semua pihak terbabit tahu akan maksud dan implikasi pindaan berkenaan.

Kata beliau: “Our Federation is a partnership of many States and the Constitution regulates the relations between the Federal Government and the component states. Every partner has insisted on safeguards for its own interests.”

“Perlembagaan digunakan setiap hari oleh empat belas Kerajaan – tiga belas negeri dan dan Kerajaan Pusat. Apabila peruntukan tertentu berdasarkan pengaman tidak lagi memuaskan atau tidak lagi sesuai bagi keadaan semasa, adakah peruntukan itu perlu dianggap keramat dan tidak boleh diubah atau patutkah ia dipinda supaya selari dengan keperluan dan pemikiran semasa.”

Apakah keperluan dan pemikiran semasa ketika itu sehingga membawa kepada pindaan berkenaan?

Pindaan berkenaan mengikut Hussein adalah berkaitan Fasal 1 (2), iaitu “menyusun semula nama-nama negeri yang di dalam Persekutuan ini. Dan Article 3 (3) berkenaan dengan Ketua Ugama Islam yang saya fikir mengenai Sabah dan Sarawak.”

Ahli Parlimen Mukah, Latip Haji Dris dalam perbahasannya mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Pusat dengan adanya pindaan berkenaan.

“Ini adalah satu kehormatan kepada kami di Sarawak, di bawah perlindungan satu Raja, satu bangsa dan juga satu negara…Oleh itu saya berpendapat Perlembagaan negara kita tidak seharusnya dibeku begitu sahaja melainkan dipinda mengikut keadaan zaman dan masa bagi mensesuaikan kehendak untuk kebaikan dan faedah rakyat dan negara seluruhnya,” katanya.

Fasal 42 dan fasal 43 dalam Perlembagaan itu, berkaitan dengan penggunaan perkataan ‘’Gabenor” dan “Negeri-negeri Borneo” yang terdapat dalam Perlembagaan, maka dengan kelulusan rang undang-undang  itu menurut beliau, kedua-dua perkataan yang sangat penting dipinda dengan menggantikan perkataan-perkataan “Yang di-Pertua negeri” dan “Negeri-negeri Sabah dan Sarawak.

“Dalam hal ini memang tepat kedua perkataan  itu menggantikan perkataan yang terdapat di dalam Perlembagaan yang ada sekarang,” tambahnya.

“Bagi kami rakyat di negeri Sarawak sudah pasti berbangga di atas perkataan-perkataan “Yang di-Pertua Negeri Sarawak” daripada perkataan-perkataan “Negeri-negeri Sabah dan Sarawak” daripada perkataan “Negeri-negeri Borneo,” katanya.

Tambahnya, dengan perkataan yang begitu jelas bagi negeri Sabah dan Sarawak, rakyat berasa lapang dan menyedari tanggungjawab rakyat merdeka serta “dapat bekerja lebih rapat lagi dengan saudara-saudara di negeri-negeri lain di dalam Malaysia…”Dalam ucapannya  berkaitan pindaan itu pada 6.46 petang, 13 Julai, Perdana Menteri berkata: “Saya telah menerangkan iaitu pindaan-pindaan yang dikemukakan ini telah dikaji dengan mendalam bukan sahaja oleh satu badan, bahkan badan-badan lain seperti badan-badan pegawai, badan kementerian, iaitu peringkat Kementerian di antara Kerajaan Persekutuan dengan wakil-wakil daripada negeri Sabah dan Sarawak dan juga oleh Jawatankuasa Kabinet. Jadi pindaan-pindaan ini telah ditapis dan difikirkan dengan sedalam-dalamnya barulah dikemukakan pindaan ini ke Dewan.”

Cadangan hendak mengemukakan pindaan berkenaan telah dibuat tiga kali dan mesyuarat diadakan sebanyak tiga kali. – Sarawakvoice