Jambatan Adam@Rama 48 km hubungi India-Sri Lanka wujud dua juta tahun silam?

HOUSTON: Pada Oktober 2010, teleskop angkasa berkuasa tinggi milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika (NASA) merakam objek yang tidak dikenali, wujud di antara India dengan Sri Lanka.

Dilihat dari pandangan atas, objek tersebut mirip jambatan yang menghubungkan kedua-dua negara berkenaan sejauh 48 kilometer.

NASA menamakan objek tersebut sebagai Adam Bridge atau Jambatan Adam yang mempunyai bentuk garisan melengkung menyamai jambatan.

Peta yang dibuat oleh Inggeris pada 1804 pernah menyebut struktur ini sebagai Adam’s Bridge dibuat merujuk kepada kisah Islam dan Kristian yang menyatakan Nabi Adam menggunakan jambatan untuk mencapai Puncak Adam di Sri Lanka.

Sementara itu, Jabatan Arkeologi Sri Lanka tertarik dengan penemuan tersebut dan mengesahkan ia adalah jambatan purba yang dikenali sebagai Jambatan Sithubanda atau Rama Setu yang bermaksud Jambatan Rama.

Ia merupakan rantaian batu kapur antara pulau Mannar dekat barat laut Sri Lanka dan Rameswaram, di pantai tenggara India.

Menurut kepercayaan Hindu, jambatan ini dibangunkan oleh Rama, inkarnasi dari Dewa Wisnu untuk menyelamatkan Sita yang diculik ke Alengka oleh Rahwana, seperti yang tertulis dalam kisah Ramayana.

Banyak inskripsi, mata wang, referensi lama, peta  kuno menanda struktur ini yang dianggap suci oleh umat Hindu.

Kewujudan jambatan tersebut dikatakan memang ada tercatat dalam kitab kuno Mahabhrata dan Ramayana dan ia sudah berusia satu hingga dua juta tahun.

Persoalannya, berdasarkan teknologi ketika itu, agak mustahil manusia mampu membina jambatan sejauh 48 kilometer seperti itu.

Penemuan jambatan purba ini dianggap mendahului zamannya.

Pembinaannya seolah-olah datang dari zaman yang tidak sepadan dengan waktu ia ditemui.

Penemuan artifak seumpama Jambatan Adam in banyak ditemui dan masih belum dapat dijelaskan secara saintifik kewujudannya sehingga ke hari ini.

Ahli cryptozoologist Amerika Syarikat, Ivan T. Sanderson menyebut penemuan seperti ini sebagai Out of Place Artifact (OOPART), yakni kejadian yang tidak diketahui puncanya. – Sarawakvoice