47 Ahli Parlimen BN Sarawak, Sabah perlu desak Putrajaya kembalikan autonomi

KUALA LUMPUR: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, 47 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dari Sabah dan Sarawak harus mendesak agar Kerajaan Persekutuan mengambil segala langkah perlu bagi mengembalikan semula autonomi penuh kepada Sabah dan Sarawak.

Autonomi itu, kata Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, sesuai dengan semangat Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan Jawatankuasa Inter-Government dan Perjanjian Malaysia 1963.

Menurut Kit Siang, kerajaan BN tidak akan dapat terbentuk dengan hanya 47 peratus undi popular yang diperoleh BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lepas, justeru amat memerlukan sokongan 47 anggota Parlimen BN terbabit.

Ramai pemerhati politik percaya bahawa BN masih dapat mengekalkan kuasanya di Putrajaya selagi pengundi di Sabah dan Sarawak terus menyokong BN, dan berlaku perpecahan dalam kalangan parti pembangkang.

“Adakah 47 orang Ahli Parlimen BN dari Sabah dan Sarawak ini, yang telah diletakkan sebagai ‘kingmaker’ bersejarah di persimpangan penting sejarah Malaysia, akan dapat melaksanakan tugas kepada negara, yang pastinya akan membawa kesan besar dan panjang kepada generasi Malaysia akan datang?” soal Kit Siang di akhir ucapannya. – Sarawakvoice