Kucing jaga rumah Najib ketika beliau seminggu di China

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri  berkata kucing-kucingnya akan ‘menjaga’ rumahnya ketika beliau mengadakan lawatan enam hari ke China.

Najib telah berkongsi ‘posting’ di Facebook,  dengan mengatakan bahawa kucing-kucingnya akan menjadi tuan rumah dan akan bersuka-ria sepanjang ketiadaannya.

14902791_10153885070530952_2851284056025055951_o

“Saya akan ke China untuk lawatan rasmi beberapa hari, jadi kucing-kucing saya ni akan jadi tuan rumah, bersuka-rialah mereka nanti,” tulisnya.

Yang turut dimuat naik ialah sekeping gambar yang menunjukkan empat ekor kucing sedang berkeliaran di sebuah ruang.

Tiga minggu lalu, Najib juga pernah berkongsi telatah kucing beliau di media sosial, khususnya tentang  ‘Simba’.

“Kucing saya ni namanya Simba. Bila kita nak ambil gambar dia, bukan main pandai bergaya. Nampak saja garang, sebenarnya comel dan manja,” tulisnya.

Datuk Seri Najib Tun Razak  akan berada di Beijing mulai hari ini hingga 6 November.

Perdana Menteri   dijangka akan mengukuhkan pelaburan dan hubungan dua hala dengan China. Beliau akan diiringi oleh puluhan pemimpin kerajaan dan ahli perniagaan.

Lebih 20 perjanjian dan memorandum persefahaman (MoU) akan ditandatangani dalam pelbagai bidang antara Malaysia dengan negara 1.3 bilion penduduk  dalam lawatan itu.

Duta Besar Malaysia di China Datuk Zainuddin Yahya seperti dipetik Bernama berkata,  mengikut perangkaan dikeluarkan oleh China, jumlah dagangan dua hala antara Malaysia dan China pada tahun lepas ialah sebanyak US$97.3 bilion (RM408.4 bilion) dan sehingga Ogos tahun ini pula sebanyak US$54.3 bilion (RM227.9 bilion).

Dalam lawatan itu, Najib antara lain dijadual menghadiri Mesyuarat Meja Bulat bersama lebih 30 kapten industri China, mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Kumpulan Alibaba Jack Ma dan menyampaikan ucap utama pada Forum Perniagaan Malaysia-China yang akan dihadiri lebih 400 ahli perniagaan dari China dan Malaysia.

Perdana Menteri juga akan melancarkan Pavilion Pelancongan Malaysia (MTP) bagi mempromosikan destinasi pelancongan menarik di Malaysia dalam usaha mencapai sasaran menarik dua juta pelancong China ke Malaysia pada tahun ini.