Adun: Banyak projek gagal, tetapi tanah rakyat terlepas di Kelantan

KOTA BHARU: Tanah orang ramai yang terlibat untuk Projek Warisan Kampung Laut di sini mempunyai isu pesaka yang tidak diselesaikan dan dengan itu, jika pembayaran dibuat, penghuni rumah sedia ada tidak akan mendapat bahagian yang mencukupi untuk mereka membina atau membeli rumah baharu kerana pertindihan banyak pemilik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Salor), Datuk Husam Musa berkata, ini akan berakhir dengan pampasan tersangkut di Amanah Raya dan mereka pula akan kehilangan tempat tinggal.

Justeru, beliau yang kini bersama parti Amanah, berharap, kerajaan Kelantan mempertimbangkan kedudukan ini.

“Pada hari ini, orang awam dipaksa melepaskan pegangan mereka untuk pihak komersial mendapat sepenuh faedah tidak lagi sesuai diamalkan,”’ katanya dalam ucapan perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan, kelmarin.

Untuk itu, ujar bekas Naib Presiden Pas itu, pemilik wajar lebih dahulu dirundingi kalau-kalau mereka ingin ikut serta dalam pembangunan itu atau sebolehnya milik mereka dielakkan.

“Adakah dengan adanya pihak yang terpaksa berkorban hak milik mereka, projek ini benar-benar akan membawa perubahan positif, kejayaan dan kesan yang besar?,” tanya beliau.

Jika kajian  untuk projek itu ada, Husam mencadangkan agar ia didedahkan dahulu kepada orang awam untuk penelitian, bantahan atau penambahbaikan.

“Banyak juga, projek sebegini berakhir dengan kegagalan, tetapi tanah milik rakyat telah terlepas,” katanya. – Sarawakvoice