Persetujuan sulit: Hadi Awang tidak layan kerenah Chong Chien Jen

KUALA LUMPUR: Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang enggan melayan kerenah Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chien Jen di persidangan Dewan Rakyat, semalam.

hadi_0000Bagi hadi, kedudukan usul persendirian RUU 355 tiada kaitan dengan sama ada terdapat persetujuan sulit dengan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak.

Sebaliknya, menurut Hadi, ia merupakan urusan Speaker Dewan Rakyat.

“Usul saya naik turun ialah urusan Speaker, terpulang kepada mereka,” katanya.

Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang  menegaskan perubahan tersebut tiada kaitan dengannya, malah tidak terdapat motif lain di sebaliknya.

“Ada udangkah, ikankah, buayakah saya tak tahu. Saya balik kepada usul persendirian saya,” tegas beliau sebagai menjawab persoalan Chieng Jen.

Chien Jen yang juga pengerusi DAP negeri Sarawak  mendakwa  Hadi  mempunyai ‘persetujuan sulit’ dengan Ahli Parlimen Pekan berkaitan RUU 355.

“Adakah YB Marang sedar sekarang usul YB diturunkan dan walaupun dapat dinaikkan dalam urusan mesyuarat kita, boleh kita tahu adakah ada udang di sebalik batu atau persetujuan sulit antara Marang dengan Pekan supaya usul ini dapat dinaikkan,” soalnya.

Hadi tidak mahu diheret ke dalam persoalan berkenaan oleh Chien Jen, lalu meneruskan ucapannya di parlimen, semalam.

Terdahulu, Chieng Jen yang mencelah ketika Hadi membahaskan Bajet 2017 mempersoalkan kedudukan usul persendirian Marang yang berubah kedudukan pada sesi parlimen kali ini.

Presiden PAS itu juga berkata, terpulang kepada mereka untuk menaik atau menurunkan usul persendirian yang dikemukakan olehnya pada parlimen kali ini. – Sarawakvoice