PM Najib tiba di Bangkok beri penghormatan terakhir kepada Raja Bhumibol

BANGKOK: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini untuk memberi penghormatan terakhir kepada Raja Bhumibol Adulyadej yang mangkat pada minggu lepas.

Najib yang juga Menteri Kewangan berlepas dari Kuala Lumpur sebaik sahaja selesai membentangkan Bajet 2017 di Dewan Rakyat.

14650482_1487147777967863_167016056037920605_n

Ketibaan beliau dengan pesawat khas di pangkalan udara Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) Dong Mueang pada 9.40 malam (waktu tempatan), disambut oleh Duta Besar Malaysia di Thailand Datuk Nazirah Hussain.

Mengiringi perdana menteri ialah isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

Najib dan isteri dijadual memberikan penghormatan terakhir kepada Raja Bhumibol di istana Grand Palace esok, dimulai dengan upacara meletakkan kalungan bunga di Dewan Singgahsana Dusit Maha Prasad.

Najib juga akan menandatangani buku takziah di Dewan Utama, Biro Kerabat Diraja sebelum mengakhiri kunjungannya di Grand Palace.

Beliau akan berlepas pulang ke tanah air petang esok.

Raja Bhumibol mangkat pada 3.52 petang pada Khamis minggu lepas (13 Okt) semasa sedang menerima rawatan di Hospital Siriraj selepas beberapa tahun mengalami masalah kesihatan.

Baginda berusia 89 tahun.-Bernama