Kehilangan Raja Bhumibol dirasai seluruh Asia Tenggara – Najib

BANGKOK: Kemangkatan Raja Bhumibol Adulyadej bukan sahaja dirasai oleh rakyat Thailand tetapi oleh seluruh rantau Asia Tenggara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

fw494648_tha01_221016_penghormatan-scrPerdana menteri yang memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Raja Bhumibol di Grand Palace hari ini berkata mendiang juga mahukan hubungan yang erat antara Malaysia dan Thailand.

“Ketiadaan King Bhumibol bukan sahaja kehilangan kepada rakyat Thailand tetapi baginda adalah seorang raja yang mahukan hubungan erat antara Malaysia dan Thailand, di samping itu baginda mahukan rantau Asia Tenggara lebih aman dan makmur,” katanya kepada media Malaysia Sabtu.

Najib berkata Raja Bhumibol yang bersemayam di takhta selama tujuh dekad, amat disayangi oleh rakyat Thailand dan amat dekat di hati mereka.

Perdana menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor sebelum itu meletakkan kalungan bunga serta menandatangani buku takziah di Grand Palace, di sini.

Menurut Najib, beliau hadir di Grand Palace untuk memberi penghormatan terakhir kepada Raja Bhumibol bagi pihak rakyat dan kerajaan Malaysia serta menyampaikan ucapan takziah.

“Hari ini saya dapat lihat manifestasi kasih sayang tersebut apabila ribuan rakyat Thailand beratur dalam keadaan cuaca terik dengan ada yang melutut berjam-jam di jalan raya… tetapi mereka semua hendak tunjukkan kasih sayang mereka kepada King Bhumibol,” katanya.

Perdana menteri dan isteri yang tiba semalam dijangka berlepas pulang ke tanah air petang ini.

Raja Bhumibol mangkat pada pukul 3.52 petang, 13 Okt di Hospital Siriraj, selepas sakit sejak beberapa tahun lepas.

Mendiang berusia 89 tahun. — BERNAMA