Dr Jeniri Amir
Dr Jeniri Amir

Bagi rakyat biasa di negara ini, pembentangan Bajet tidak begitu dipedulikan, walhal Bajet beri kesan langsung terhadap ekonomi dan  kehidupan mereka.

Buktinya, tidak ramai yang ikuti ucapan Bajet ketika siaran langsung atau membaca ucapan terbabit dengan teliti, keesokannya.

Bagi penjawat awam, sebahagiannya hanya mahu tahu sama ada kerajaan umumkan kenaikan gaji,  dan beri bonus atau tidak. Hakikatnya, strategi dan angka yang diumumkan dalam Bajet, beri tempias langsung kepada individu, keluarga, masyarakat dan negara, pada jangka pendek atau panjang, dari segi kemajuan negara, pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan, pengurangan kemiskinan, malah kualiti hidup keseluruhannya.

Bajet 2017  yang dibentangkan pada petang ini merupakan Bajet kelapan sejak Datuk Seri Najib Tun Razak ambil alih  pentadbiran, dan bajet negara ke-58.

Apakah pula strategi Bajet kali ini?  Kali ini tumpuan tentu terus diberi kepada sektor ekonomi, pendidikan dan latihan, sosial, perumahan dan kesejahteraan rakyat, apatah lagi, perumahan terus menjadi isu yang sentiasa menggelegak, disebabkan harga sentiasa meningkat, di luar daripada kemampuan rakyat.

Sudah pasti  antara tumpuan Bajet 2017 adalah stategi meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat, menangani kos sara hidup, menyediakan lebih banyak rumah mampu milik, memperuntukkan dana penyelenggaraan rumah, peruntukan perkhidmatan kesihatan, serta menggalakkan latihan dan pengukukuhan kualiti keusahawanan.

Ketika ekonomi negara tidak menentu dan rakyat dihimpit kos sara hidup di tengah-tengah nilai ringgit yang menguncup dan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), tentu menjadi cabaran besar bagi Perdana Menteri bagaimana ekonomi mikro diurus dengan baik, tanpa membebankan rakyat.

Pelaburan terbabit penting bukan sahaja untuk menggerakkan aktiviti ekonomi, tetapi wujudkan lebih banyak peluang pekerjaan. Lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi penting, kerana kadar pendapatan atau gaji pekerja di negara ini tidak bergerak seiring peningkatan kos sara hidup.

Jurang pendapatan antara etnik, sesama etnik, serta antara bandar dengan luar bandar perlu dirapatkan. Untuk itu, Bajet 2017, perlu  sediakan strategi untuk menggerakkan ekonomi bertunjangkan kepakaran dan keterampilan tinggi, kreativiti dan inovasi,  khususnya dalam kalangan golongan belia dan siswazah.

Melalui Bajet  yang berdepan geopolitik dan ekonomi global dan nasional yang sukar Najib yang juga Menteri Kewangan, pasti perlu seimbangakan antara tuntutan rakyat dengan realiti pendapatan yang mengecil.

Namun, beliau pasti ambil kira keresahan dan survival rakyat. Semalam Perdana Menteri menafikan Bajet 2017 sebagai peruntukan untuk meraih agenda politik jangka pendeak dalam menempuh Pilhan Raya Umum Ke-14.

Najib sebaliknya menyifatkan peruntukan yang akan dibentangkan hari ini, sebagai bajet komitmen untuk terus memacu pertumbuhan ekonomi, sekali gus menjana manfaat kepada pelbagai pihak.

Berdasarkan penyelidikan yang saya lakukan di peringkat akar umbi, isu utama yang menjadi keprihatinan rakyat, baik di bandar mahupun luar bandar adalah berkaitan harga barangan yang bagai tidak terkawal dan GST.

Mereka sering menyalahkan pelaksanaan GST sebagai punca peningkatan harga barangan meskipun hakikatnya, sebahagiannya berpunca daripada kerakusan dan ketamakan peniaga.  

Dengan hasil kutipan kerajaan daripada GST, rakyat amat berharap agar hasil terbabit disalurkan kembali kepada mereka. Kerajaan yang prihatin ialah kerajaan yang mendengar rintihan rakyat, dengan ambil tindakan konkrit untuk redakan beban harian mereka.

Adakah kerajaan akan tingkatkan lagi jumlah BR1M dan bantuan kepada pelajar?  Supaya lebih berkesan, kerajaan perlu salurkan batuan kepada golongan sasar secara lebih spesifik, terutama Orang Kurang Upaya (OKU), ibu tunggal, dan golongan miskin bandar dan luar bandar. Inilah golongan yang paling terbeban sekarang.

Fokus  tentu bagaimana ekonomi domestik yang berdepan cabaran semasa dapat terus diperkukuh pertumbuhan demi menjamin kemampanan fiskal.

Untuk itu, penting bagi Bajet itu untuk tingkatkan perbelanjaan pembangunan dan kurangkan perbelanjaan operasi bagi imbangi defisit negara. Kerajaan  tentu mahu sediakan ekosistem yang kondusif bagi merancakkan dan melonjakkan pelaburan domestik dan asing.

Yang lebih penting adalah bagaimana kos sara hidup dapat diredakan kerana sebagai kerajaan yang mendahulukan kepentingan dan kebajikan rakyat, Najib pasti prihatin dan sedar akan keperluan tangani isu terbabit.

Program Transfromasi Ekonomi (ETP) menyasarkan peningkatan Pendapatan Negara Kasar Per Kapita kepada AS$15,000 dan memperoleh AS$444 bilion dalam pelaburan menjelang bagi mencapai sasaran menjadi negara maju berpendapatan tinggi, maka ekonomi negara perlu terus tumbuh dan berkembang dengan positif dalam semua sektor.

 Pembangunan luar bandar tentu menjadi antara tunjang Bajet 2017. Pasti lebih banyak peruntukan disalurkan kepada negeri Sabah dan Sarawak, bagi memastikan segala projek yang dirancang  dalam Rancangan Malaysia  Sebelas dapat dilaksanakan, agar penduduk luar bandar, yang menjadi penyokong tegar Barisan Nasional, tidak terus berdepan masalah ketiadaan bekalan elektrik, air bersih dan kemudahan asas lain.

Autonomi hanya akan bererti jika jurang pembangunan dapat dirapatkan. Sabah dan Sarawak ketinggalan  dari segi prasarana dan kemudahan awam, pengangkutan awam, pembangunan modal insan, dan perumahan.

Sesungguhnya, Bajet 2017 diharapkan terus rancakkan pertumbuhan ekonomi, tingkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),  pendapatan per kapita, kurangkan kadar kemiskinan dan jurang pendapatan, tingkatkan kualiti hidup, dan redakan kos sara hidup demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

  *Penulis ialah Pensyarah dan Penganalisisi Politik di Universiti Malaysia Sarawak