Shafie Apdal tolak RUU Hadi Awang, ikut pendirian 25 Ahli Parlimen BN Sarawak

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) berkata, ia tidak  akan menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) yang dibentangkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini.

Datuk Seri Shafie Apdal  ketika bercakap kepada media di lobi Parlimen hari ini berkata, pendirian parti itu sama dengan ketetapan yang dibuat 25 Ahli Parlimen Barisan Nasional Sarawak untuk menolak RUU355 berkenaan.

“Saya tak akan undi kerana apa yang lebih penting adalah kepentingan rakyat di negeri Sabah,” katanya.

Bacaan kedua bagi RUU Persendirian itu dijangka bakal berlaku dalam sidang Dewan Rakyat kali ini selepas Abdul Hadi  berjaya membawanya untuk bacaan pertama, Mei lalu.

Cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) adalah untuk memperkasa mahkamah syariah yang ketika ini dibataskan kepada hukuman maksimum penjara tiga tahun, denda RM5,000, dan enam kali sebatan syarie. – Sarawakvoice