Selamatkan nyawa suami saya, rayu isteri penculik

TAWAU:  Seorang isteri kepada mangsa culik di Sabah merayu orang ramai supaya membantu keluarganya membebaskan suaminya dengan menghulurkan derma wang tunai.

Kini, jumlah wang tebusan telah dikurangkan sebanyak RM6.6 juta oleh penculik terbabit.

screen-shot-2016-10-19-at-12-44-43-pm“Bantu kami mengumpul RM2 juta bagi membebaskan suami dan rakan-rakannya,” rayu Gustia Sultan, 46, isteri salah seorang mangsa culik kapal tunda Serudong 3 pada 18 Julai lepas di perairan Dent Heaven berhampiran Lahad Datu.

Menurutnya,  seperti dipetik New Sabah Times suami Tayudin Anjut, 45, telah menghubunginya pada 12 Oktober lepas dan memaklumkan penculik telah mengurangkan wang tebusan membebaskan mereka semua daripada RM8.6 juta kepada RM2 juta.

“Kali terakhir saya berhubung dengannya pada 12 Oktober itu dan maklumkan penculik hanya mahu RM2 juta untuk membebaskan mereka semua.

“Walaupun jumlah ini telah dikurangkan tetapi ianya masih jumlah yang sukar untuk kami sediakan,” katanya.

Sehubungan itu, menurut akhbar itu, beliau dan waris empat lagi mangsa culik yang lain merayu syarikat korporat dan swasta serta masyarakat membantu menyalurkan sumbangan bagi mengumpul wang berkenaan.

“Setakat ini kami hanya dapat mengumpul RM3,600 di akaun hasil sumbangan orang ramai yang kami uar-uarkan di Facebook dan jumlah ini masih jauh tapi kita berterima kasih kepada yang sudi membantu kita,” katanya.

Menurut beliau, seluruh ahli keluaga kini bersatu bagi mengumpul wang berkenaan dan turut menyediakan tabung kutipan yang ditempatkan di masjid-masjid dan kawasan perkampungan bagi memudahkan orang ramai menyumbang.

“Kami tidak boleh berdiam diri, kami perlu melakukan sesuatu, kami mahu suami dan rakan-rakannya bebas, kami juga akan melakukan kutipan dengan berjalan membawa tabung derma,” katanya lagi.

Empat daripada mangsa culik berkenaan berasal dari Tawau iaitu, Abdul Rahim Summas, 62; Tayudin Anjut, 45; Fandy Bakran, 26, dan Mohamad Jumadil Rahim, 23, manakala Mohd. Ridzuan Ismail, 32, berasal dari Jengka, Pahang. – Sarawakvoice