RUU355 dari nombor 4 turun ke nombor 7, tidak pasti bilakah Hadi boleh bentang di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Disenaraikan sebagai perkara keempat dalam agenda pada Isnin Sidang Dewan Rakyat, kemudian berada pada tangga ketujuh pada Selasa, akhirnya langkah membuat pindaaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 tidak dikemukakan untuk perbahasan.

Sidang Dewan Rakyat pada Isnin lepas berakhir dengan perkara kedua yang membaca RUU Ordinan Peguam Bela (Sabah) (Pindaan) 2016 sebelum Parlimen ditangguhkan.

Ini bermakna Rang undang-undang (RUU) persendirian yang dibawa oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu menunggu lampu hijau sebelum diketahui bilakah ia boleh dibentangkan.

Hadi tiba di Parlimen pada pagi Isnin, namun beliau beredar melangkah keluar dewan ketika sidang masih berlangsung tanpa bercakap dengan pemberita.

Beliau mengunci mulut dan hanya tersenyum apabila diminta mengulas peluang bagi usul persendirian yang dibawanya itu dibahaskan segera.

Tidak pasti berapa lamakah Hadi perlu menunggu membentang RUU355 yang menjadi kontroversi di kalangan kerajaan dan pembangkang yang bercampur-baur sokongan masing-masing.

Usul kontroversi itu diturunkan ke bawah dalam senarai apabila lebih banyak usul kerajaan dimasukkan dalam senarai.

Biasanya usul kerajaan didahulukan untuk dibentang dan dibahaskan berbanding usul persendirian.

Beberapa usul yang dikemukan kerajaan  dibincangkan dalam tempoh beberapa hari ini sebelum tibanya Jumaat ini bagi memberi laluan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak membentang Bajet 2017.

Bermula minggu depan, perbahasan di Dewan Rakyat pula memberi tumpuan membincangkan Bajet 2017.

Mengulas saat yang ditunggu-tunggu kebanyakan rakyat itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada Speaker Dewan Rakyat menentukan kedudukan RUU355 tersebut.

Kata Zahid, perkara berhubung usul persendirian yang dibawa Hadi itu terletak dalam bidang kuasa Speaker Dewan Rakyat.

Zahid turut menyerahkan kepada Perdana Menteri berkaitan sebarang pendirian Umno menangani RUU355 yang dibawa oleh Hadi itu.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia juga enggan mengulas lanjut perkara tersebut ketika ditemui pemberita di luar pintu masuk Parlimen. – Sarawakvoice