Rohani panik lihat anak masuki kolam berular, janji pantau kes, tawar khidmat kaunseling

KUALA LUMPUR: Kecewa dengan kejadian penggunaan ular dalam program membina jati diri anjuran Angkatan Pertahan Awam Malaysia (APM) di Kuala Kangsar, Perak, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata pihaknya sedia menawarkan bantuan kaunseling kepada murid dan ibu bapa terbabit.

Menurut Rohani, kaunselor di bawah kementeriannya bersedia pada bila-bila masa memberi kaunseling kepada murid yang trauma akibat kejadian tersebut.

Mengutip laporan Berita Harian, Rohani berkata beliau sudah bertemu dan bercakap dengan Timbalan Menteri Pendidikan agar mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak terbabit dalam kejadian itu.

Rohani menambah, “saya memantau perkara ini kerana bagi saya ia sesuatu yang sangat trauma.

“Kalau saya ibu bapa, sudah tentu panik melihat anak dihumban di dalam kolam yang mungkin boleh sebabkan lemas, ditambah dengan ular pula sehingga saya tidak percaya betulkah kejadian itu berlaku,” ujar Rohani.

“Sebenarnya apa yang mahu disampaikan, mahu budak itu jadi apa. Bukan itu caranya.

“Saya akan pantau dengan rapat kerana Akta Kanak-Kanak di bawah saya dan sangat mengambil berat mengenai perkara ini,” janji Rohani ketika ditemui pemberita di Bangunan Parlimen.

Selepas video kejadian tersebut viral di laman sosial, dengan komen negatif yang dianggap “melampau” dan “gila” oleh netizen, APM segera menggantung perkhidmatan empat jurulatih dan enam pembantu jurulatih yang menggunakan dua ekor ular sawa jenis Blood Python ke dalam kolam yang perlu dilalui sekumpulan pelajar perempuan.

Memetik laporan Astro Awani, Kolonel Pertahanan Awam Negeri Perak, Mohd Noor Hassan Ashari Sulaiman menegaskan pihaknya kecewa atas kesilapan jurulatih berkenaan kerana pendekatan menggunakan ular tiada dalam modul, perancangan, peraturan dan aturan program.

Pihaknya mendapati terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dilakukan ketika menjalankan Program Kem Kurikulum Sekolah Kebangsaan (SK) Beluru, Kuala Kangsar itu.

Program berkenaan adalah siri ke-32 yang bermula 2012 dan sudah empat tahun dilaksanakan.

Seramai 1,622 pelajar mengikuti program membina jati diri di APM Kuala Kangsar, namun kejadian menggunakan ular berkenaan adalah pertama kali berlaku. – Sarawakvoice