Perkhidmatan teksi yang lebih baik di Malaysia  

KUALA LUMPUR: Pelbagai tindakan dan keputusan kerajaan untuk mentransformasi perkhidmatan teksi adalah untuk memastikan industri itu terus berdaya maju, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata industri teksi telah memainkan peranan penting sebagai mod pengangkutan batu pertama dan terakhir di negara ini namun perkhidmatannya perlu ditingkatkan lagi dengan amalan perniagaan terkini dan sejajar kemajuan teknologi.

Dalam catatan di laman blog www.najibrazak.com, beliau berkata kerajaan telah mengenal pasti beberapa masalah yang membantutkan perkhidmatan teksi seperti model perniagaan yang lapuk, kos pengendalian melebihi pendapatan serta kualiti pemandu dan piawaian kenderaan.

Masalah lain ialah ketiadaan pengawasan berpusat, persepsi umum tidak memuaskan dan cabaran inovasi baharu seperti ‘e-hailing’.

“Banyak inisiatif yang telah kita jalankan untuk membantu industri teksi mengatasi masalah ini serta meningkatkan kualiti perkhidmatan teksi seiring dengan Rancangan Transformasi Teksi,” katanya.

Antaranya, Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma), Teksi 1Malaysia (TEKS1M), Semakan Kadar Tambang 2015 dan Makmal Industri Teksi 2015, kata Najib.

Beliau menjelaskan inisiatif Program Transformasi Industri Teksi yang diluluskan Kabinet pada Ogos lepas, hasil Makmal Industri Teksi 2015, adalah untuk membawa perubahan menyeluruh kepada perkhidmatan itu.

“Bukan sahaja dari segi kawal selia, tetapi juga rombakan model perniagaan seiring kemajuan inovasi dan teknologi, yang seterusnya membolehkan persaingan lebih adil di antara semua pemberi perkhidmatan teksi negara,” katanya.

Berhubung status perkhidmatan e-hailing seperti Uber dan Grabcar, perdana menteri berkata kelulusan yang diberi telah meletakkan kedua-dua perkhidmatan itu di bawah kawal selia Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan disertai beberapa syarat tertentu.

“Ingin saya tegaskan di sini bahawa keputusan ini diambil bukanlah untuk kepentingan mana-mana satu pihak. Sebaliknya, ia diambil untuk menggalakkan keusahawanan dan inovasi, memungkinkan perubahan lebih besar berlaku dalam usaha kita mentransformasi perkhidmatan teksi secara keseluruhannya,” katanya.

Najib berkata Program Transformasi Industri Teksi juga melibatkan inisiatif untuk memelihara kebajikan pemandu teksi melalui penyeragaman kontrak pajak, pembukaan permohonan lesen teksi individu, memperluas senarai kereta layak sebagai teksi dengan mementingkan ciri keselamatan, serta meletakkan KPI ke atas syarikat teksi.

Selain itu, SPAD akan merasionalisasi tambang teksi dengan menyeragamkan tambang teksi bermeter, menyemak semula sistem kupon supaya berasaskan jarak dan bukan lagi zon, serta membenarkan tambang dinamik, yang memberi kebebasan buat pemandu teksi mengguna dan memilih tambang yang ditetapkan perkhidmatan e-hailing.

Kata perdana menteri, meskipun SPAD ditugaskan untuk mengetuai perubahan dalam industri teksi, tetapi transformasi menyeluruh hanya boleh dilakukan dengan kerjasama semua pihak yang terlibat.

“Hakikatnya, setiap perubahan itu tentu melalui pelbagai cabaran. Apatah lagi bila kita ingin mentransformasikan sebuah perkhidmatan yang telah bertapak bertahun lamanya dan begitu selesa dengan cara tradisional.

“Untuk maju, kita harus bergerak seiring dengan teknologi dan inovasi semasa dan perlu sentiasa fokus untuk menjadikan perkhidmatan kita mesra pengguna dan maju setaraf dengan negara lain di dunia,” katanya.