Penduduk Kampung Kupang tagih simpati kerajaan

SARATOK: Penduduk Kampung Kupang terus menagih simpati daripada pihak berwajib agar masalah yang membelenggu mereka dberi perhatian sewajarnya.

Kampung berkenaan yang dahulunya hanya hanya boleh dihubungi melalui jalan sungai kini telah mempunyai jalan darat.

Namun, kewujudan jalan raya ke kampung berkenaan hanyalah sekadar jalan raya berbatu yang tidak sempurna permukaannya dan sukar dilalui kenderaan penduduk.

Tidak cukup dengan keadaannya yang berlubang-lubang, kesengsaraan pengguna jalan raya berkenaan ditambah lagi dengan terpaksa meredah arus sungai ketika melalui sebuah jambatan di kawasan Sungai Sedan di jalan raya berkenaan.

Jambatan kayu berkenaan hanya boleh dilalui seperti biasa ketika air surut. Namun pada masa air pasang jambatan berkenaan akan ditenggelami air dan penduduk yang melalui jalan raya berkenaan terpaksa meredah air sungai berkenaan.

Perkara tersebut merumitkan penduduk telah bertahun lamanya dan menimbulkan masalah besar kepada penduduk yang berulang-alik melalui jalan raya itu.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Safiee,55, memberitahu Sarawak Voice (SV) aduan mengenai masalah berkenaan telah kerap dibuat kepada pihak berwajib.

Namun katanya, sehingga kini masalah berkenaan masih belum diambil perhatian sewajarnya.

“Jalan Bajau/Kupang telah diambil alih oleh JKR dari Felcra setahun lepas. Memang JKR ada membaik pulih jalan tersebut, tapi ia dilakukan secara ala kadar dan sikit-sikit sahaja.

“Mengenai jambatan di jalan tersebut ia akan tenggelam setiap kali air pasang besar.

“Menurut makluman daripada pihak pejabat daerah, jambatan Sungai Sedan Kupang kelak akan dibawa dalam cadangan projek projek membina/ membaiki/ menaik taraf bersama-sama projek yang lain dalam Bengkel Tranformasi Luar Bandar (RT).

“Perancangan itu dikatakan akan membabitkan jambatan Sungai Sedan Kupang, Jalan Kupang/Bajau dan jambatan gantung berdekatan Kpg Melayu Roban, Sambungan jalan besar ke Kpg Perpat dari Jalan Pusa atau menerusi Kampung Paloh dan menaik taraf jalan dari simpang jalan besar Sessang/Pusa ke Kpg Kaba.

“Tapi itulah khabar yang sering disogokkan kepada penduduk Kampung Kupang sekian lama. Namun ia sampai ke hari ini perancangan berkenaan belum nampak tanda-tanda akan dilaksanakan,”ujarnya.

Sehubungan dengan itu penduduk di situ berharap masalah yang dihadapi penduduk kini dapat diselesaikan dalam masa terdekat. – Sarawakvoice

1 COMMENT

Comments are closed.