Pemborong, pembekal sorok minyak masak boleh ditarik balik lesen, didenda sehingga RM250,000

TAPAH: Selain ditarik balik lesen perniagaan, pemborong atau pembekal yang mencatu dan menyorok bekalan sumber termasuk minyak masak boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan denda RM100,000 bagi individu dan RM250,000 bagi syarikat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, “ketika ini harga minyak masak masih lagi berpatutan iaitu RM2.50 bagi setiap kilogram.

“Subsidi masih lagi harga yang sama dan tak adil kepada rakyat sekiranya ada pihak yang menyorok bekalan,” kata Hamzah menurut Bernama.

Berikutan pemansuhan subsidi minyak masak bermula November depan yang menjadi viral di laman sosial dan aplikasi WhatsApp, permintaan ke atas barangan tersebut menjadi perhatian pengguna.

Hamzah turut meminta peruncit agar membuat laporan sekiranya kuota penghantaran barang itu kurang daripada sepatutnya.

Bercakap kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan skim kawalan sempena perayaan Deepavali pada Rabu, menurut Hamzah laporan tersebut sangat penting bagi membolehkan pihaknya melakukan siasatan terhadap pemborong dan pembekal yang kemungkinan menyorok stok barang tersebut.

Katanya buat masa ini tiada sebarang aduan rasmi diterima berhubung perkara itu dan pihaknya bertindak menghantar penguat kuasa melakukan siasatan segera apabila menerima laporan.

Ketika ini terdapat 260 pemborong dan pembekal minyak masak di seluruh negara. – Sarawakvoice