Najib sokong perjuangan Dr Fauziah melalui misi Women’s Boat to Gaza

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyokong dan menghargai usaha misi Women’s Boat to Gaza (WBG) yang mahu menarik perhatian dunia agar membantu rakyat Palestin yang ditindas berterusan oleh rejim kejam zionis.

Najib juga berharap Dr Fauziah Mohd Hasan yang merupakan salah seorang daripada 13 delegasi serikandi dari Tunisia, Algeria, Kanada, Turki, Amerika Syarikat, Sweden, Ireland, New Zealand, Australia, bahkan dari Israel sendiri — menggerakkan misi kemanusiaan WBG agar terus berjuang membela nasib warga Palestin.

14670617_10153858074235952_7820334229132417920_n

Dr. Fauziah hadir bersama Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Pertubuhan Humanitarian Care Malaysia (MyCare), Profesor Madya Dr Hafidzi Mohd Noor dalam kunjungan hormat ke atas Perdama Menteri di pejabat beliau di Menara Parlimen pada Selasa.

Dr Fauziah, 59 memberitahu pemberita dalam pertemuan itu, beliau berkongsi pengalaman berlayar menaiki kapal Zaytouna-Oliva anjuran Freedom Flotilla Coalition yang berlepas 8 malam (waktu tempatan Barcelona) pada 14 September dari pelabuhan Vell dan tiba dalam lingkungan 35 batu nautika di perairan Gaza, 5 Oktober lepas.

Di daratan warga Gaza terdiri daripada pelbagai peringkat usia, wanita, kanak-kanak serta golongan tua menunggu kedatangan misi 13 serikandi berjiwa tegar membawa misi sejagat membebaskan mereka dari cengkaman kekejaman zionis.

Gaza dikepung rejim haram Israel secara sistematis sejak 2007 dengan banyak jiwa terkorban termasuk kanak-kanak dan wanita di tangan Israel.

“Perdana Menteri pernah sampai ke Gaza dan isu Palestin sememangnya dekat di hati beliau,” kata Dr Fauziah.

Dr Fauziah mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia kerana memberi sokongan terhadapnya serta keluarga semasa beliau ditawan tentera Zionis.

Dr Fauziah bersama semua anggota misi WBG ditahan tentera Israel dengan kapal mereka ditunda menuju Pelabuhan Ashdod.

Beliau berkata Freedom Flotilla Coalition mahu Malaysia mengambil peranan menjalankan misi bantuan ke Gaza pada masa depan.

“Mereka tahu kerajaan dan rakyat Malaysia memberi sokongan kuat kepada misi bantuan rakyat Palestin dan mahu kita menganjurkan misi kemanusiaan yang akan datang,” katanya.

Sebelum itu, setiba di Malaysia selepas dibebaskan rejim Israel, Dr Fauziah tetap bersemangat dan bertekad menyertai lagi misi bot ke Gaza.

Bagi mereka, misi pelayaran lebih tiga minggu itu berjaya membuka mata dan hati penduduk dunia yang kini mula senyap atas penindasan yang dilakukan oleh Israel meskipun kapal dirampas dan mereka ditahan tentera Israel.

Dr Fauziah berkata, anggota misi berbincang untuk berjumpa di Stockholm pada Mei tahun depan bagi merancang flotila seterusnya untuk Gaza. – Sarawakvoice