Ketirisan IGC dan Cabaran Sarawak selepas merdeka dalam Malaysia

(Sambungan)

Suruhanjaya Cobbold berperanan untuk meninjau pandangan rakyat di Sarawak dan Sabah terhadap penggabungan Malaysia. Pada 21 Jun 1962, Lord Cobbold telah menyerahkan laporannya kepada Perdana Menteri Britain, Harold Macmillan dan Perdana Menteri Malaya,
Tunku Abdul Rahman Putra.

Suruhanjaya Cobbold meneruskan hasil tinjauannya bahawa dua pertiga rakyat menyokong penggabungan Malaysia. Ini membawa kepada satu perbincangan di antara kedua-dua pihak, iaitu Britain dan Malaya untuk mengambil keputusan muktamad melalui Perjanjian Anglo-Malayan yang dimeterai pada 31 Julai 1962. Seterusnya satu persetujuan lagi telah tercapai di London pada 1 Ogos 1962 dengan menetapkan tarikh penggabungan Malaysia pada 31 Ogos 1963.

Justeru itu, dalam usaha membentuk sebuah persekutuan baharu, setiap kerajaan anggota, dalam tempoh yang singkat (12 bulan), disyorkan untuk merumuskan empat perkara utama, iaitu;

(1) pemindahan kedaulatan Singapura, Sarawak dan Sabah ke persekutuan baharu menjelang 31 Ogos 1963;
(2) menetap bentuk hubungan baharu antara Singapura dan persekutuan baharu;
(3) perjanjian pertahanan mengikut kenyataan bersama pada November 1961, dan;
(4) perincian pengaturan perlembagaan baharu termasuk
perlindungan untuk kepentingan khas bagi Sarawak dan Sabah selepas berunding dengan majlis perundangan di kedua-dua negeri tersebut.

Berkenaan dengan perkara terakhir, keempat, maka sebuah Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK/ IGC) ditubuhkan pada 1 Ogos 1962 yang diketuai oleh Lord Lansdowne, Menteri Hubungan Kolonial, untuk merangka satu perlembagaan Malaysia dengan mengambil kira prasyarat kepentingan khas bagi Sabah dan Sarawak. Manakala Singapura dan Brunei tidak terlibat dalam IGC tersebut.

Hakikatnya, pemimpin dan rakyat Sarawak serta Sabah amat terkejut dengan ketetapan tarikh penggabungan pada 31 Ogos 1963. Perkara ini telah menimbulkan keraguan kerana tanpa berunding terlebih dahulu dengan Sarawak, Sabah dan Singapura seolah-olah gagasan Malaysia bermotif satu tindakan ambil-alih (take-over) oleh Malaya.

Keadaan ini menyebabkan Sarawak dan Sabah telah mengemukakan memorandum 18 Perkara dan 20 Perkara menjadi prasyarat penggabungan dalam Malaysia. Mesyuarat pertama JAK telah diadakan di Jesselton (Kota Kinabalu) pada 30 Ogos 1962. Sebahagian besar perkara dalam memorandum tersebut telah diubahsuaikan dan diterima ke dalam Perlembagaan Malaysia dan ke dalam perlembagaan negeri.

Manakala perkara selebihnya telah diterima secara persetujuan lisan (gentleman agreement) tanpa mendapat status undang-undang. Satu perkara yang tidak diterima berasaskan persetujuan lisan ialah Perkara 7 berkenaan sekatan terhadap negeri menarik diri (berpisah) daripada Malaysia tidak dimasukkan ke dalam perlembagaan. Pada 26 September 1962, Majlis Negeri Sarawak telah menetapkan sokongan penuh terhadap tarikh Hari Malaysia pada 31 Ogos 1963. Pendirian yang sama juga dilakukan oleh Majlis Undangan Sabah pada 12 September 1962.

Dengan demikian, Laporan JAK telah diterbitkan pada 27 Februari 1963. Seterusnya, Perjanjian Malaysia telah dimeterai di London pada 9 Julai 1963. Pengumuman pendirian Sarawak dan Sabah tersebut, walau bagaimanapun, telah membangkitkan bantahan keras daripada dua negara jiran, iaitu Filipina dan Indonesia.

Mereka mengutuskan memorandum bantahan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menyebabkan PBB mengutuskan satu pasukan United Nations Mission yang diketuai oleh Lawrence Michelmore (American Deputy Director of the United Nations Office of Personnel) bersama-sama wakil daripada negara Argentina, Brazil, Sri Lanka, Czech, Ghana, Pakistan, Jepun dan Jordan termasuk perhati daripada Indonesia dan Filipina.

Mereka tiba di Kuching pada 16 Ogos 1963 dan berpecah dalam dua kumpulan; satu ke Sarawak, dan satu ke Sabah. Dari 24 Ogos hingga 4 September 1963, pasukan peninjau PBB mengadakan pungutan suara secara terbuka. Pada masa yang sama, Tunku Rahman Putra telah bertindak segera tanpa menunggu keputusan peninjau PBB untuk menundakan tarikh baru penggabungan Malaysia pada 16 September 1963.

Lantaran itu, peninjau PBB terpaksa menyiapkan laporan untuk diterbitkan pada 14 September 1964. Walaupun, penundaan tarikh tersebut dikatakan tidak menghalang penganugerahan status ‘internal self-government’ kepada Sarawak pada 22 Julai 1963, dan Sabah pada 31 Ogos 1963 tetapi status tersebut tidak melibatkan perubahan kuasa dan Gabenor British masih mengekalkan semua kuasa eksekutif sehingga pada jam 12 tengah malam 15 September 1963.

Pada tarikh 16 September 1963, semua kuasa eksekutif yang dimiliki oleh Gabenor British diambil alih oleh Persekutuan Malaysia. Pengisytiharan Malaysia telah menamatkan kekuasaan British yang sepenuhnya ke atas Sarawak, Sabah dan Singapura. Dalam kata lain, sebuah kemerdekaan penuh telah dicapai oleh Sarawak, Sabah dan Singapura melalui penggabungan Malaysia yang terdiri daripada 14 buah negeri keseluruhan termasuk Singapura. Sabah menjadi negeri ketiga belas, dan Sarawak menjadi negeri keempat belas.

Fahaman komunisme mula bertapak di Sarawak pada zaman pendudukan Jepun. Mereka menubuhkan Anti-Fascist League (AFL) pada tahun 1941 dan diberikan nama baru, Sarawak National Liberation League (SNLL) pada tahun 1942. Kemudian sekumpulan orang Cina kembali ke Sarawak daripada Singapura selepas berakhirnya pendudukan Jepun untuk menubuhkan cabang Progressive Overseas Chinese Youth Society (POCYS). Mereka mula menyebar fahaman komunisme melalui aktiviti ‘hsueh hsih’ (self study) di sekolah vernakular Cina, terutamanya Sekolah Chung Hua di Batu 17, Kuching. Akiviti ini melibatkan penyebaran ideologi komunisme melalui penerbitan majalah “Voice of Students”, dan komik “Children Readers”.

Pada 21 Oktober 1951 mereka menubuhkan Sarawak Overseas Chinese Democratic Youth League (SOCDYL). Kemudian mereka menubuhkan beberapa cabang, seperti Sarawak Liberation League (SLL) pada bulan Mac 1954, Sarawak Advanced Youth’s Association (SAYA) pada tahun 1955, Sibu General Labor Union (SGLU) pada tahun 1956, dan Kuching General Labor Union (KGLU) pada tahun
1957. Kerajaan telah menggelarkan gerakan komunis tersebut sebagai Pertubuhan Sulit Komunis (Communist Clandestine Organisation) ataupun Sarawak Communist Organisation (SCO). CCO turut mempengaruhi penubuhan parti Sarawak United People’s Party (SUPP) pada 4 Jun 1959 untuk menentang gagasan Malaysia.

Misalnya, Setiausaha Cawangan SUPP Kuching ialah Bong
Kee Chok dan ahli komitinya ialah Wen Ming Chyuan. Kemudian beberapa cawangan kecil lain telah ditubuhkan oleh usaha Bong, seperti di Batu Kawa, Batu 7, Batu 10, Batu 17, Nonok dan Pangkalan Ampat. Dalam tempoh tahun 1959 hingga 1962, keahlian SUPP bertambah dari 3,627 orang kepada 46,471. Hampir separuh daripada ahlinya adalah orang Bidayuh dan orang Iban.

Pada masa yang sama, ancaman komunisme menjadi isu yang kritikal dalam pertimbangan terhadap gagasan Malaysia, seperti mana telah disuarakan oleh Tunku Abdul Rahman pada bulan Mac 1962, berkata; “ Danger facing Borneo territories was ‘clear enough for everyone to see. I don’t have to repeat it time and again. We can all see threat of Communists. If I did not see this danger I would not be bothered with other territories like Singapore, Sarawak, Brunei and North Borneo.”

Sehubungan dengan ancaman komunisme ialah meletusnya Pemberontakan Brunei (Brunei Revolt) pada bulan Disember 1962 yang dilancarkan oleh Partai Rakyat Brunei (PRB) di bawah pimpinan Sheikh Azahari Sheikh Mahmud (A.M. Azahari). Pada hakikatnya, PRB telah diresapi fahaman komunisme melalui hubungan rapat dengan PKI. PRB bercita-cita untuk menubuhkan sebuah Negara Kesatuan Kalimantan Utara (NKKU) dengan inspirasi daripada perjuangan nasionalisme Indonesia dan kaum nasionalis radikal di Malaya. Selepas memenangi pilihan raya Majlis Perundangan Brunei pada 20 Ogos 1962, PRB telah mencadangkan satu resolusi untuk menuntut Sarawak dan Sabah dikembalikan kepada Brunei bagi mencapai sebuah negara yang merdeka, yang akan dinamakan Persekutuan Kalimantan Utara. Sultan Brunei, walau bagaimanapun, enggan menerima resolusi tersebut.

Sebaliknya Sultan Brunei menunda tarikh persidangan Majlis Perundangan Brunei ke tarikh 19 Disember 1962. Maka PRB melancarkan pemberontakan pada 8 Disember 1962 dan dibantu oleh North Kalimantan National Army (NKNA) atau TNKU45 dan SLL yang menyerang di perbatasan sempadan Brunei dengan Sabah dan Sarawak selama lima bulan. Namun dengan bantuan tentera British, pemberontakan PRB telah dapat dipatahkan. Azahari telah menyelamatkan diri ke Jakarta dan masih meneruskan hubungan dengan SLL dan TNKU. Manakala ahli SLL telah menyelamatkan diri ke Kalimantan Barat, di mana mereka telah menerima latihan militari daripada NKNA yang diketuai oleh Jeneral Achmad Yani. Menjelang akhir tahun 1965, seramai 500 ahli SLL telah menerima latihan militari di Kalimantan Barat. Mereka mendapat bantuan bekalan senjata daripada China dan Korea Utara melalui Jakarta.

Semasa Pemberontakan Brunei, CCO mengambil pendirian untuk menyertai aktiviti subversif PRB dan NKNA. Dengan kata lain, tanggungjawab kerajaan British bukan sahaja untuk mematahkan pemberontakan PRB, tetapi untuk membanteraskan gerakan komunis yang menentang gagasan Malaysia di Sarawak. Kuasa British telah melancarkan operasi secara besar-besaran untuk melumpuhkan unsur anti-Kolonial British dan anti-gagasan Malaysia di Sarawak. Dianggarkan sekitar 700-800 ahli gerila CCO telah meloloskan diri ke Kalimantan pada awal tahun 1963.

Di sana, TNI yang dipengaruhi oleh PKI telah memberi latihan intensif dalam teknik perang gerila kepada gerila CCO. Pihak TNI ataupun kerajaan Indonesia juga mengakui telah membantu melatih lebih daripada 6,000 orang pemberontak anti-British dan anti-gagasan Malaysia daripada Borneo. Pada tahun 1964, seluruh gerakan komunis di Sarawak dan Kalimantan bergabungan untuk menubuhkan North Kalimantan National Liberation League (NKNLL). Objebtif NKNLL ialah Ganyang Malaysia selaras dengan penubuhan Malayan National Liberation League (MNLL) di Jakarta.

Kedua-dua MKLL dan NKNLL adalah cabang Malayan Communist Party (MCP) yang bertapak di Malaya. Pendek kata, dianggarkan terdapat sejumlah lebih 43,000 ahli Komunis di Sarawak selepas tahun 1963.

Seawal tahun 1964, gerakan komunis mula menyusun strategi militari untuk memerangi Malaysia, khususnya negeri Sarawak.

Satu kumpulan komunis yang berkubu di Gunung Asuansang, Kalimantan Barat, yang diketuai oleh Bong Kee Chok, Yang Chu Chung dan Wen Ming Chyuan telah menubuhkan Sarawak

People’s Guerrilla Force (SPGF) atau singkatan PGRS50 pada bulan Mac 1964. SPGF mendapat bantuan daripada Kementerian Hubungan Luar Negara Indonesia dan beroperasi di sebelah barat Sarawak. Kemudian Bong meninggalkan SPGF untuk mengetuai satu kumpulan di Sungai Melawi, Kalimantan Barat dan menubuhkan North Kalimantan People’s Army (NKPA) atau dengan singkatan PARAKU pada bulan Oktober 1965. NKPA telah mendapat bantuan daripada PKI dan beroperasi di sebelah timur Sarawak. Hakikatnya, PGRS dan PARAKU sama-sama mendukung gerakan Indonesia untuk Ganyang Malaysia sepanjang tempoh Konfrontasi Indonesia- Malaysia.

Penyertaan Sarawak dalam pembentukan Malaysia telah menjadi sasaran penentangan gerakan komunis di Sarawak, khususnya CCO. Mereka telah menyusup masuk menjadi ahli SUPP. Menjelang pengisytiharan Malaysia pada bulan September 1963, terdapat laporan menganggarkan sekitar 20 peratus ahli SUPP adalah komunis tegar yang bercita-cita untuk memerdekakan Sarawak menjadi sebuah Republik Sarawak di bawah pengaruh Peking. Sungguhpun pemimpin SUPP telah menafikan laporan, namun kerajaan Sarawak telah mengesan aktiviti gerila Komunis yang memakai lencana lambang SUPP di sempadan Sarawak-Kalimantan pada 17 Ogos 1963.

SUPP mempunyai keahlian seramai 42 ribu orang termasuk 10 ribu ahli peribumi Sarawak. Perikatan Sarawak yang membentuk kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri pertama, Stephen Kalong Ningkan, menyedari wujud saingan kuat daripada SUPP, iaitu parti pembangkang utama pada ketika itu. Kerajaan Sarawak dapat mengesan SUPP sebagai ‘the chosen vessel’ kepada ancaman komunis di Sarawak. Bahkan SUPP sangat popular berbanding Sarawak Chinese Association (SCA) yang menyertai Perikatan Sarawak.

Pada bulan September 1963, dilaporkan ramai belia Cina yang terlibat dapat rusuhan semasa lawatan peninjau PBB di Sibu telah melarikan diri ke Kalimantan untuk menyertai latihan militari anjuran CCO, khususnya PGRS dan PARAKU. Justeru itu, Menteri Pertahanan Malaysia, Tun Abdul Razak telah mengumumkan penguatkuasaan undang-undang darurat di Sarawak pada 20 Oktober 1963 sebagai langkah menghadapi ancaman pengganas komunis.

Mesyuarat antara Indonesia, Filipina, Thailand dan Malaysia pada bulan Mac 1964 di Bangkok telah gagal mencapai persetujuan untuk menghentikan perang gerila di perbatasan negeri Sarawak dan Sabah. Keadaan ini amat membimbangkan kerajaan Sarawak kerana kemungkinan perang gerila akan merebak ke kawasan Sarawak. Oleh yang demikian, kerajaan Sarawak telah mengambil langkah awal dengan mengharamkan cawangan SUPP di Lundu pada bulan Mei 1964 kerana didapati mempunyai hubungan yang jelas dengan CCO.

Cawangan SUPP di Lundu didapati memberi perlindungan kepada pengganas daripada Kalimantan. Laporan kerajaan Sarawak pada bulan Jun 1964 mengesahkan seramai 1,000 ahli SUPP sedang mengikuti latihan militari di Kalimantan untuk persediaan aktiviti gerila anti-Malaysia. Pada 27 Jun 1965, satu peristiwa serangan gerila komunis telah berlaku ke atas Balai Polis Batu 18, Jalan Kuching-Serian yang mengorbankan dua anggota polis dan lapan orang awam.

Peristiwa ini telah menimbulkan persoalan tentang kesetiaan orang Cina Sarawak terhadap Malaysia. Maka kerajaan Malaysia melancarkan Operasi Hammer pada 6 Julai 1965 untuk menempatkan semula sejumlah 8,000 penduduk Cina di Bahagian Pertama ke dalam lima kampung baru berpagar, iaitu Batu 15, Batu 17, Batu 19, Batu 21 dan Batu 24 seperti yang pernah dilakukan di Malaya pada ketika Durarat, 1948-1960. Pada ketika Singapura berpisah daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965, SUPP bertindak agresif memprotes tindakan kerajaan Persekutuan Malaysia kerana menyingkirkan Singapura. SUPP menaikkan banner mengecam cara pemisahan Singapura dan menuntut pengundian yang adil untuk menentu sesebuah negeri itu perlu kekal dalam Persekutuan Malaysia.

Tindakan SUPP tersebut adalah bersifat menghasut pemisahan Sarawak. Kerajaan Sarawak juga melarang SUPP daripada mengulangi sebarang slogan berunsur Komunis yang dikhuatiri boleh mendorong aktiviti subvesif di Sarawak. Di samping itu, kerajaan Sarawak telah bertindak mengharamkan cawangan SUPP di Sarikei dan Jakar pada bulan September 1965.

Selepas rusuhan 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur, akhir SUPP telah benar-benar memutuskan hubungan dengan CCO. SUPP telah berikrar menyokong pembentukan Malaysia dan bersetuju untuk menyertai gabungan Perikatan Sarawak.

Pada tahun 1969, kawasan sepanjang Sungai Rejang, iaitu Sibu, Sarikei, Binatang (Bintangor), Julau, Kanowit dan Kapit menjadi sasaran serangan gerila komunis, khususnya gerila PARAKU. Kawalan ketat pasukan Keselamatan Malaysia di Bahagian Pertama (Kuching) dan Bahagian Kedua (Sri Aman) telah menyebabkan gerila PARAKU beralih ke Bahagian Ketiga. Pengaruhi komunis-CCO sudah tersebar di Bahagian Ketiga pada seawal tahun 1962 melalui penubuhan kesatuan sosial dan sekerja, seperti Sarawak Farmers Association, Sibu Foochow Association, Sibu Lorry Association, Sibu Construction Workers Association dan Sibu Poultry and Pig Rearers Association.

Namun pada tahun 1968, gerakan komunis menjadi agresif di Sarawak disebabkan faktor kebangkitan semula MCP yang bercita-cita hendak merampas kuasa di Malaya (Pahang, Perak, Kelantan, Selangor dan Kedah) pada tahun 1968. Dalam tempoh di tahun 1970-1972, sejumlah 79 orang awam terbunuh akikat tindakan ugutan dan kekerasan yang dilakukan oleh komunis.

Selepas peristiwa gerila PARAKU membunuh Penghulu Imban (berusia 68 tahun) di Rumah Balang, Ulu Oya pada 26 Januari 1971, pasukan Keselamatan Malaysia daripada Markas Divisyen Pertama Infantri telah ditugaskan ke kawasan lembah Sungai Rejang.

Dalam usaha membanteras serangan dan membasmi pengaruh komunis di kawasan Bahagian Ketiga, pada 26 Mac 1972, kerajaan Persekutuan telah mengambil langkah dengan melancarkan strategi skim penempatan baru yang dinamakan Rejang Area Security Command (RASCOM). Penduduk Iban menyebutnya sebagai Operasi Bebatak atau Operasi Empuru. Operasi ini melibatkan sekitar 10,000 penduduk di Bahagian Ketiga dengan pembinaan tiga kampung baharu berpagar. Kampung berkenaan ialah Nanga Tada, Nanga Ngungun dan Nanga Jagau.

Serangan gerila Komunis ke atas pasukan keselamatan kerajaan Malaysia sentiasa berlaku sehingga Ketua Menteri Sarawak, Abdul Rahman Ya’akub menyeru gerila komunis untuk meletakkan senjata pada 21 Oktober 1973. Ketua PARAKU, Bong Kee Chok (Ketua Komander) berserta 481 orang pengikutnya menyerahkan diri di Simanggang. Seterusnya kerajaan Sarawak melancarkan Operasi Sri Aman untuk membasmi saki-baki komunis-PARAKU pada 4 Mac 1974 sehingga 4 Julai 1974. Operasi yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Cawangan Khas dan RASCOM adalah sangat berkesan dan berjaya. Seramai 583 orang gerila PARAKU telah meletakkan senjata. Sejak itu, kekuatan gerila PARAKU semakin lemah. Kejayaan besar ini telah menyebabkan pekan Simanggang dinamakan Sri Aman.

Operasi keselamatan masih diteruskan untuk memujuk saki-baki gerila PARAKU untuk menyerahkan diri. Misalnya, satu pasukan Cawangan Khas di Sibu telah berjaya memujuk seorang daripada pemimpin PARAKU, Timbalan Komander Ubong Anak Nuing (berusia 63 tahun ketika itu) yang berbangsa Iban dari Kanowit, bersama-sama dua pengiringnya, Ling Kee Ching dan Yap Poh Kok untuk menyerahkan diri pada 24 Disember 1985. Seterusnya satu perjanjian damai di antara PARAKU dan kerajaan Malaysia telah tercapai pada 17 Oktober 1990, dan semua ahli PARAKU telah meletakkan senjata dan kembali ke dalam masyarakat Sarawak.

Cabaran Konfrontasi Indonesia-Malaysia

Gagasan Malaysia telah menimbulkan bantahan keras daripada kerajaan Indonesia. Pihak Indonesia tersinggung kerana tidak diajak berunding terlebih dahulu mengenai gagasan Malaysia. Pihak Indonesia memiliki gagasan tersendiri, iaitu Indonesia Raya untuk menggabungkan seluruh kepulauan Nusantara. Pada masa yang sama, Indonesia sudah dipengaruhi oleh ideologi komunisme yang memiliki tanggapan terhadap gagasan Malaysia sebagai satu bentuk misi neokolonialisme ke atas Sarawak, Brunei dan Sabah. Justeru itu, Indonesia telah melancarkan peperangan terhadap Malaysia dari tahun 1963 hingga 1966. Sejurus selepas Pemberontakan PRB di Brunei, Indonesia telah mengumumkan dasar Ganyang Malaysia pada 20 Januari 1963.

Indonesia bertindak memperalatkan gerila TNKU di Kalimantan Barat untuk mencapai objektifnya menggagalkan gagasan Malaysia. Misalnya, gerila TNKU seramai 75 orang telah menyerang balai polis di Tebedu pada 12 April 1963.

Namun begitu serangan ini telah dapat dipatahkan oleh Rejimen Askar Melayu Diraja Malaya dengan bantuan askar Gurkha. Indonesia telah menghantar batalion sukarelawan Dwikora (Dwi Komando Rakyat) untuk membantu gerila TNKU di kawasan Kalimantan dengan arahan untuk menceroboh ke dalam Sarawak. Mereka melakukan serangan kecil-kecilan ke atas rumah panjang penduduk di Sarawak dengan tujuan menghasut mereka
menentang gagasan Malaysia. Pada 6 Jun 1963, lapan gerila TNKU menyerang sebuah rumah panjang di Ensawang, Lubok Antu. Pada 17 Jun 1963, lebih kurang 30 gerila TNKU mengepung rumah panjang Wong Panjoi, Lubuk Antu tetapi mereka terpaksa beredar apabila kebetulan kapal terbang pasukan keselamatan telah melintas di kawasan tersebut.

Peristiwa tersebut telah menggesa kerajaan British dan kerajaan Malaya untuk menggerakkan dan mempercepatkan gagasan Malaysia kerana bimbang terhadap aktiviti revolusi komunisme akan tersebar ke Sarawak dan Sabah. Tambahan Sarawak dan Sabah sudah memberi sokongan kuat terhadap gagasan Malaysia dengan termeterainya Perjanjian Malaysia di London. Konflik hubungan Indonesia-Malaysia sudah berlarutan semenjak Malaya mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Pada masa itu, Indonesia menghadapi pemberontakan Pemerintahan Revolusioner Republik Indonesia (PRRI), terutamanya gabungan wilayah Sumatera, Menado dan Sulawesi bangkit menentang pentadbiran Presiden Sukarno yang didakwa telah dipengaruhi oleh fahaman Komunisme.

Dalam ketegangan politik Indonesia itu, kerajaan Malaya telah didakwa oleh Presiden Sukarno sebagai pihak ketiga terlibat dengan memberikan bantuan kepada pihak pemberontak PRRI. Bahkan mendakwa Malaya sebagai proksi Barat yang ingin menjatuhkan kerajaan Indonesia pimpinannya. Apabila Malaya enggan
menyerahkan pemberontak PRRI yang ditangkap dalam perairan Selat Melaka, lantas Malaya dituduh memberi bantuan dan perlindungan kepada musuh kerajaan Indonesia pimpinan Presiden Sukarno. Justeru itu, kerajaan Indonesia memandang tindakan kerajaan Malaya sebagai satu pengkhianatan antara ‘adik dan abang’.

Oleh yang demikian, Indonesia telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaya dan Malaysia pada hari terbentuknya Malaysia dan tindakan yang sama diambil oleh kerajaan Malaysia pada hari berikutnya, 17 September 1963. Sejak itu pergeseran di antara Indonesia-Malaya secara lembut di meja perundingan telah bertukar secara kekerasan melalui serangan tentara Indonesia di perbatasan Malaysia, terutamanya di sempadan Kalimatan-Sarawak dan sempadan Kalimantan-Sabah yang sepanjang lebih 1,300 kilometer.

Dengan tegasnya, Indonesia mendakwa pembentukan Malaysia merupakan satu agenda Barat untuk mengepung Indonesia. Pada satu pidatonya di depan Istana Merdeka, Jakarta pada 3 Mei 1964, Presiden Sukarna menegaskan; “ Malaysia adalah bahaja, mebahajai, membahajakan Revolusi Indonesi, Karena itu maka kita serempak seia-sekata, Malaysia harus kiita ganjang habis-habisan.”

Dengan demikian, Indonesia telah melancarkan operasi sukarelawan Dwikora ke atas kawasan perbatasan Malaysia pada 30 Mei 1964. Dalam perkembangan lain, usaha Persidangan Tokyo pada 20-21 Jun 1964 telah gagal mencapai persetujuan apabila Indonesia menolak cadangan Malaysia supaya Indonesia mengundurkan tenteranya dari kawasan perbatasan Malaysia dan menghentikan konfrontasi.

Indonesia berkeras untuk mengganyangkan Malaysia. Pada 17 Ogos 1964, tentera Indonesia melakukan pendaratan pertama di Pontian, Johor; di pantai Kukup, Pontian Besar dan Benut, dan; di Labis, Johor pada 2 September 1964. Kesemua percubaan tentera Indonesia tersebut telah dapat dipatahkan oleh pasukan keselamatan Malaysia.
Keadaan ini menyebabkan kerajaan Malaysia mengadu dan mengemukakan bantahan kepada Majlis Keselamatan PBB pada 3 September 1964.

Resolusi Norway telah didrafkan dan diusulkan oleh PBB dalam persidangan pada 11-17 September 1964, tetapi telah dibatalkan oleh undi veto Kesatuan Rusia (USSR) yang memihak kepada Indonesia. Keadaan kritikal ini telah menggesa usaha mempertingkatkan operasi pertahanan di perbatasan Malaysia.

Kerajaan Malaysia menuntut kerajaan British untuk melaksanakan dasar pertahanan di perbatasan Malaysia dalam lingkungan jarak sejauh 10,000 ela (9.1 kilometer).

Di pihak Indonesia, operasi serangan diteruskan, iaitu tenteranya membuat pendaratan kedua di Kuala Sungai Kesang, Muar, Johor pada bulan Oktober 1964, tetapi dapat diberkas oleh pasukan keselamatan Malaysia.Pada 16 November 1964, Perdana Menteri Britain, Sir Harold Wilson memberi jaminan untuk bersama-sama Malaysia menghadapi tentangan Indonesia. Kerajaan Britian menghantar sejumlah 30,000 askarnya ke Malaysia.

Operasi pertahanan gabungan tentera British dan tentera Malaysia telah diperluaskan sejauh 10,000 ela dari sempadan ke dalam wilayah Indonesia. Manakala satu operasi khas untuk merentas sempadan yang dinamakan Operasi Claret telah dibenarkan menjalankan operasinya sejauh 3,000 ela (2.7 kilometer) sahaja.

Menjelang bulan Januari 1965, dianggarkan jumlah tentera Indonesia di kawasan sepanjang perbatasan Sarawak dan Sabah dengan Kalimantan ialah mencapai 16,000 orang. Pendek kata, dengan bantuan tentera daripada negara anggota PBB telah disalurkan kepada Malaysia, maka Indonesia telah mengalami banyak kegagalan.

Pada 7 Januari 1965, Presiden Sukarno mengumumkan Indonesia keluar daripada PBB. Ini mencetuskan krisis politik dalaman di Indonesia sehingga berlakunya peristiwa Gestapu, iaitu pemberontakan bersenjata oleh PKI untuk merampas kuasa pada 30 September 1965. Jeneral Soeharto telah berjaya menumpaskan pemberontakan tersebut. Pada 11 Mac 1966, Jeneral Soeharto telah menggulingkan Presiden Sukarno,dan sejak itu usaha untuk menyelesaikan masalah konfrontasi telah dibawa ke meja perundingan sehingga berakhir dengan Perjanjian Damai di Bangkok pada 11 Ogos 1966.

Pada masa yang sama, Presiden Soeharto telah menamatkan sebarang bentuk bantuan kepada TNKU di Kalimantan Barat. Ini mencetuskan perubahan aktiviti subversif TNKU beralih menentang kehadiran tentera Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (ABRI). ABRI telah melancarkan ‘Operasi Sapu Bersih’, khususnya untuk membasmi saki-baki komunis di Kalimantan Barat. Malah dilanjutkan dengan pelancaran ‘Operasi Penghantjuran’ pada tahun 1968 untuk membasmi komunis di sebelah Kapuas Hulu.

Cabaran Hubungan Kerajaan Sarawak-Kerajaan Pusat

Sungguhpun gagasan Malaysia telah menjadi kenyataan pada 16 September 1963, namun krisis politik dalam hubungan antara kerajaan negeri Sarawak dan kerajaan pusat (Kuala Lumpur) sering berlaku di Malaysia. Krisis politik dalaman negeri yang tidak dapat diselesaikan sendiri akan mengundang pembabitan kerajaan pusatuntuk penyelesaian. Justeru itu, hubungan antara kerajaan Sarawak dan kerajaan pusat, selain hubungan yang tenang, juga kadang kala berlaku hubungan yang tegang.

Campur tangan kerajaan pusat pada berapa tahun awal selepas pembentukan Malaysia adalah disebabkan keadaan politik di Sarawak masih tidak stabil. Ini berpunca daripada latar belakang Sarawak yang memiliki komposisi penduduk yang kompleks dengan jumlah sekitar 30 kaum. Bahkan tiada kumpulan kaum yang majoriti secara mutlak.

Secara umumnya, anggaran jumlah penduduk Sarawak pada tahun 2012 ialah sekitar 2.5 juta orang. Daripada anggaran itu, sekitar 22 kumpulan kaum yang diklasifikasikan sebagai etnik Dayak mewakili 44.3 peratus, etnik Cina mewakili 26.5 peratus, etnik Melayu mewakili 23.2 peratus, etnik Melanau mewakili 5.7 dan etnik India mewakili 0.2 peratus. Justeru itu, semenjak pembentukan Malaysia pada tahun 1963, telah wujud pelbagai parti politik dengan keahlian, sama ada bersifat berbilang kaum atau satu kaum sahaja. Selain SUPP dan SCA, parti politik yang ditubuhkan ialah Parti Negara Sarawak (PANAS), Parti Barisan Rakyat Jati Sarawak (BARJASA), Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), Parti Melayu-Cina-India-Dayak (MACINDA), Parti Pesaka Anak Sarawak (PESAKA) dan Parti Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB).

Dengan latar belakang sedemikian, Sarawak telah dapat membentuk sebuah kerajaan campuran selepas memenangi pilihan raya pada tahun 1963 melalui gabungan parti Perikatan Sarawak (Sarawak Alliance), iaitu terdiri daripada SNAP, PESAKA, SCA, PANAS dan BARJASA. Walau bagaimanapun, telah timbul isu tertentu yang mencetuskan krisis politik di Sarawak sebaik sahaja mencapai berkerajaan sendiri sehingga hari ini. Namun hanya beberapa isu akan diberikan perhatian dalam perbincangan yang berikut.

Pertama, isu jawatan Gabenor (Yang DiPetua Negeri) telah timbul pada menjelang hari pembentukan Malaysia, yakni telah mencetuskan krisis dalam kerajaan Perikatan Sarawak.

Sebenarnya pihak British dan kerajaan Malaya telah membuat ketetapan awal di London bahawa Gabenor Sarawak pertama akan dilantik atas pilihan bersama oleh Ratu British dan Yang di-Pertuan Agong Malaya. Jawatan pengerusi bagi Perikatan Sarawak disandang oleh Temenggong Jugah Barieng, dan Stephen Kalong Ningkan sebagai Setiausaha. Justeru kedudukan itu membolehkan mereka untuk memegang jawatan utama dalam kerajaan negeri.

Walaupun jawatan Ketua Menteri Sarawak dibenarkan untuk dijawatkan oleh kaum bukan Melayu atau Melanau-Islam, tetapi jawatan gabenor telah menjadi isu khas untuk hak kaum Melayu atau Melanau-Islam. Pada mulanya, Perdana Menteri ketika itu, Tunku Rahman Putra, berpandangan bahawa jawatan politik di Sarawak memerlukan penyertaan semua kaum.

Lantaran itu, kerajaan Perikatan Sarawak telah mencadangkan Temenggong Jugah untuk menjawat jawatan Gabenor Sarawak pertama. Walau bagaimanapun, Tunku Rahman Putra telah membantah cadangan tersebut, sebaliknya mengesyorkan supaya jawatan itu harus dipegang oleh kaum Melayu atau Melanau-Islam.

Apabila kerajaan Perikatan Sarawak tidak menunjukkan sokongan terhadap cadangannya, maka Tunku Rahman Putra telah mengadu isu ini kepada kerajaan British. Dalam satu laporan kerajaan British, menyebut; “ The Malayan Cabinet also had a special meeting to discuss this matter. Afterwards the Tunku told me that the situation had got to the point where his Government would collapse if a Malay did not get the job in Sarawak. The Cabinet had decided that unless a Malay was appointed Governor they would have to go ahead without Sarawak or alternatively if we would not agree to that Malaysia would have to be abandoned altogether.”

Oleh yang demikian, satu perjanjian telah tercapai pada 13 September 1963 di antara kerajaan British, Tunku Rahman Putra, kerajaan Perikatan Sarawak yang diwakili oleh Speaker Majlis Negeri Sarawak, Dr. M. Sockalingham, dan Temenggong Jugah. Perjanjian ini menetapkan, oleh kerana jawatan Ketua Menteri Sarawak ialan seorang kaum Iban, maka Gabenor Sarawak pertama harus seorang kaum Melayu atau Melanau. Pada masa hadapan, gabenor akan dilantik berasaskan saranan Ketua Menteri. Maka demi untuk menjayakan gagasan Malaysia, Tunku Rahman Putra telah menawarkan kepada Temenggong Jugah satu jawatan dalam Kabinet Persekutuan Malaysia sebagai Menteri Hal-Ehwal Sarawak. Sungguhpun timbul rasa kurang senang dalam kalangan orang Iban tetapi mereka akhirnya menerima dengan baik perlantikan Dato Abang Haji Openg menjadi Gabenor Sarawak pertama berkuat kuasa pada 16 September 1963.

Kedua, isu rang undang-undang tanah baharu yang diusulkan oleh Ketua Menteri Stephen Kalong Ningkan di Dewan Negeri pada bulan Mei 1965. Rang undang-undang tanah baharu ini pada asalnya telah disediakan oleh Menteri Sumber Alam pada ketika itu, Datuk Teo daripada parti SCA. Rang undang-undang tanah baharu merupakan percubaan reformasi ke atas Kanun Tanah Sarawak, 1958. Reformasi ini melibatkan tanah di bawah klasifikasi Tanah Hak Adat Peribumi (Native Customary Land) dengan mewajibkan kaum peribumi mendapatkan status pemilikan penuh ke tanah adat mereka. Rang undang-undang tanah baharu ini juga memberi lebih kebebasan kepada kaum peribumi untuk menjual tanah mereka kepada sesiapa sahaja termasuk kaum bukan peribumi.

Perkara ini menyebabkan kaum peribumi berasa tidak puas hati kerana bimbang kaum bukan peribumi akan dapat memiliki tanah dengan mudah. Abdul Taib Mahmud telah bangkit memimpin kaum peribumi yang terdiri daripada parti Parti Negara Sarawak (PANAS), Parti Barisan Rakyat Jati Sarawak (BERJASA) dan Parti Pesaka Anak Sarawak (PESAKA) membantah usul rang undang-undang tanah baharu tersebut.

Oleh kerana menyedari rang undang-undang tanah tersebut akan memberi kesan negatif ke atas kaum peribumi, maka kerajaan pusat telah campur tangan dengan memberi sokongan kepada Abdul Taib Mahmud. Dengan itu, rang undang-undang tanah baharu tersebut telah dihapuskan dengan serta-merta.

Ketiga, isu penggantian pegawai ekspatriat British telah merenggangkan hubungan kerajaan negeri Sarawak dan kerajaan pusat semasa pentadbiran Stephen Kalong Ningkan. Kerajaan Sarawak yang baru terbentuk amat memerlukan perkhidmatan pegawai asing berkemahiran untuk membantu kerajaan menjalankan pentadbiran negeri.

Di Sarawak dan Sabah, terdapat sekitar 630 orang pegawai ekspatriat British. Timbul perbezaan pendirian di antara kerajaan Sarawak pimpinan Stephen Kalong Ningkan dan kerajaan pusat pimpinan Tunku Rahman Putra. Hakikatnya isu yang genting kepada Sarawak pada ketika itu ialah keperluan kakitangan atau sumber tenaga kerja tempatan yang berpendidikan dan terlatih dalam bidang yang diperlukan, seperti guru, doktor, jururawat, juruteknik perubatan, jurutera, juruukur dan sebagainya. Sehubungan dengan isu ini, Perkara 18 Borneanisation dalam Memorandum 20 Perkara merupakan tuntutan yang mustahak untuk dipenuhi oleh kerajaan Sarawak dan juga bagi kerajaan pusat. Kerajaan Sarawak, walau bagaimanapun, berpendirian ingin meneruskan perkhidmatan pegawai ekspatriat British dengan alasan belum ada anak Sarawak (bukan anak Malaya) yang layak menjawatnya, misalnya Setiausaha Negeri, Peguam Negeri dan Setiausah Kewangan. Hampir semua jawatan utama dalam perkhidmatan awam negeri Sarawak dijawat oleh pegawai ekspatriat British.

Di samping itu, pada masa yang sama, Rancangan Malaysia Pertama (1966-1970) telah dilancarkan dengan objektif untuk mewujudkan pekerjaan untuktenaga kerja tempatan. Selaras dengan objektif tersebut dan alasan integrasi, kerajaan pusat berhasrat untuk mengisi jawatan di Sarawak dengan pegawai dari Tanah Melayu.

Malahan melihat kewujudan pegawai ekspatriat British sebagai menggugat usaha mewujudkan perpaduan nasional. Stephen Kalong Ningkan berkeras tidak bersetuju dengan kerajaan pusat kerana beliau berpendapat dasar Borneonization dan Malaysianization ke atas perkhidmatan awam hanya akan menyebabkan Sarawak diperintah oleh pegawai dari Malaya. Malah beliau juga melihat campur tangan kerajaan pusat dalam perkara ini merupakan alternatif untuk mengugat kebebasan perkhidmatan awam negeri Sarawak. Ketegasan pendirian Stephen Kalong Ningkan dalam perkara ini telah menjadi salah satu sebab Tunku Rahman Putra bersetuju menerima surat ketidakpercayaan untuk menyingkirkan beliau pada bulan Jun 1966.

Keempat, isu penggunaan bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu juga menimbulkan ketegangan hubungan kerajaan negeri Sarawak dan kerajaan pusat semasa pentadbiran Stephen Kalong Ningkan. Kerajaan pusat mahu agar penggunaan bahasa kebangsaan di Sarawak dipercepatkan dengan alasan perpaduan rakyat nasional. Isu bahasa kebangsaan ini telah digunakan oleh Tunku Rahman Putra untuk mempersoalkan kesetiaan kerajaan Sarawak terhadap Malaysia. Tunku Rahman Putra beranggapan Stephen Kalong Ningkan selaku pemimpin kerajaan Sarawak mempunyai motif tersembunyi dan dipengaruhi oleh imperialisme British. Tunku Rahman Putra merumuskan bahawa 90 peratus kaum Dayak boleh berbahasa Melayu dan kurang daripada satu peratus sahaja yang menguasai bahasa Inggeris.

Walau bagaimanapun, kerajaan Sarawak berpendapat bahasa kebangsaan belum boleh dilaksanakan kerana keadaan Sarawak masih kekurangan sekolah menengah dan tenaga guru yang berkemahiran dalam bahasa itu. Pentadbiran kerajaan Sarawak pimpinan Stephen Kalong Ningkan berpendirian tegas mengikut syarat yang ditetapkan dalam Akta Malaysia 1963 (Seksyen 61). Akta ini menetapkan penggunaan bahasa Inggeris diteruskan dalam tempoh selama 10 selepas Hari Malaysia.

Malahan perkara ini termaktub dalam Perlembagaan Malaysia (Perkara 161). Sarawak juga mempunyai pilihan menangguhkan perlaksanaan bahasa kebangsaan mengikut kehendaknya sendiri. Ini bermakna penggunaan bahasa kebangsaan hanya akan dilaksanakan pada tahun 1973. Kerajaan pusat berasa tidak senang terhadap pendirian kerajaan Sarawak dalam isu bahasa kebangsaan ini. Dengan penyingkiran Stephen Kalong Ningkan pada tahun 1966, isu ini telah reda buat sementara sehingga dibangkitkan semula pada dekad 1980-an.

Kelima, isu undi tidak percaya terhadap Ketua Menteri Sarawak, Stephen Kalong Ningkan, berikutan kegagalan rang undang-udang tanah baharu, adalah disebabkan campur tangan kerajaan pusat. Justeru itu, Stephen Kalong Ningkan mempersoalkan tindakan kuasa kerajaan pusat mencampuri urusan dalam negeri Sarawak. Beliau menyuarakan supaya mengkaji semula penyertaan atau status Sarawak dalam pembentukan Malaysia dan pilihan raya harus diadakan semula untuk menentukannya. Keadaan ini telah menimbulkan rasa kurang senang pihak kerajaan pusat sehingga menggesa Perdana Menteri, Tunku Rahman Putra segera datang ke Sarawak pada bulan Februari 1966 untuk mengesyorkan suatu bentuk perikatan “United Malaysian National Organization” untuk Sarawak. Sebenarnya syor perikatan tersebut merupakan satu langkah untuk menyingkirkan Stephen Kalong Ningkan.

Pada 16 Jun 1966, dengan kerjasama seramai 21 ahli Majlis Negeri Sarawak yang mewakili BARJASA dan PESAKA telah menandatangani satu surat ketidakpercayaan (letter of no-confidence) terhadap Stephen Kalong Ningkan selaku Ketua Menteri Sarawak diserahkan kepada Tunku Rahman Putra di Kuala Lumpur. Tunku Rahman Putra telah meminta Stephen Kalong Ningkan supaya meletakkan jawatan. Namun permintaan itu tidak dipedulikan sehingga Tunku Rahman Putra menasihatkan Gabenor Sarawak, Tun Abang Haji Openg untuk memecatkan Stephen Kalong Ningkan dan melantik Penghulu Tawi Sli menjadi Ketua Menteri Sarawak yang baharu.

Stephen Kalong Ningkan telah mengemukakan kes ini ke mahkamah atas dakwaan undi tidak percaya yang tidak berwibawa. Keputusan Mahkamah Tinggi Borneo pada 7 September 1966 telah memihak kepada Stephen Kalong Ningkan. Keputusan tersebut memberi tamparan hebat kepada kerajaan pusat.

Ini menyebabkan kerajaan pusat menggunakan peruntukkan kuasa yang diberikan pada Perkara 150 (1) dalam Perlembagaan Malaysia berkaitan keadaan keselamatan yang terancam. Maka 15 September 1966, Yang Di-Pertuan Agong telah mengisytiharkan dararut di Sarawak. Perlembagaan Negeri Sarawak telah dipinda untuk memberikan kuasa mutlak kepada Gabenor Sarawak membuat keputusan memanggil persidangan Majlis Negeri. Dengan demikian, tindakan memecat Stephen Kalong Ningkan daripada jawatan Ketua Menteri dapat dilakukan secara sah.

Pada 23 September 1966, undi tak percaya terhadap Stephen Kalong Ningkan telah diluluskan dengan sokongan 25 ahli Majlis Negeri daripada PESAKA, BARJASA dan PANAS. Sementara 6 ahli SNAP dan 10 ahli SUPP serta seorang ahli bebas tidak hadir. Keputusan tersebut telah mengembalikan semula jawatan Ketua Menteri kepada Penghulu Tawi Sli.

Kelima, isu petroleum juga menyebabkan ketegangan hubungan kerajaan Sarawak dan kerajaan pusat pada awal dekad 1970-an, khusus semasa era pentadbiran Ketua Menteri Abdul Rahman Yaakub. Walaupun petroleum tidak pernah menjadi isu pada masa perundingan JAK, tetapi dengan tercetus peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur telah meninggalkan kesan ke atas peruntukkan keluasan wilayah dan sempadan perairan Sarawak dan Sabah yang telah terbentuk dan termaktub dalam dokumen Order in Council 1954 oleh kerajaan British sebelum pembentukan Malaysia.

Dokumen tersebut menjelaskan hak kuasa kerajaan negeri ke atas sumber minyak di darat dan laut termasuk di pelantar benua. Walau bagaimanapun, kerajaan pusat menuntut hak ke atas wilayah pelantar benua. Ini mencetuskan ketegangan hubungan kerajaan pusat dengan kerajaan Sarawak pimpinan Abdul Rahman Yaakub yang berhasrat untuk mengemukakan isu ini ke muka pengadilan.

Namun selepas pertemuan beliau dengan Perdana Menteri, Tun Adbul Razak Hussein di Kuala Lumpur pada tahun 1974, isu ini telah dapat dileraikan. Pada mulanya tuntutan kerajaan pusat ini adalah berasaskan Ordinan Darurat (Emergency Ordinance No. 7, 1969) yang diluluskan pada 2 Ogos 1969, khusus bagi negeri di Malaya. Pada Seksyen 4 dalam ordinan tersebut menetapkan sempadan laut dan wilayah perairan Kerajaan Persekutuan diperluaskan kepada had dua belas batu nautika.

Manakala sempadan laut dan wilayah perairan bagi negeri adalah sejauh tiga batu nautika dari pesisiran pantai negeri. Dengan kata lain, kawasan tanah yang diliputi air melebihi 3 batu nautika dari pesisiran pantai negeri adalah diletak di bawah penguasaan kerajaan pusat. Kemudian, satu lagi ordinan khas berkenaan sumber minyak dan gas telah diluluskan pada 3 November 1969.

Ordinan ini dinamakan Emergency Odinance No. 10, 1969 yang mempunyai kesan memperluaskan Akta Pelantar Benua 1966 (Continental Shelf Act 1966) dan Akta Perlombongan Petroleum 1966 (Petroleum Mining Act 1966) dengan pindaan ke atas Sarawak dan Sabah.

Ordinan tersebut telah menjadi persengketaan sehingga membawa pertemuan dan persetujuan di antara Abdul Rahman Yaakub dan Tun Adbul Razak Hussein. Maka, Akta Kemajuan Petroleum 1974 telah diluluskan oleh Parlimen pada 1 Oktober 1974. Akta ini menyerahkan hak petroleum keseluruhannya sama ada di darat atau di laut kepada Petronas, iaitu syarikat milik kerajaan pusat sepenuhnya. Penyerahan ini adalah muktamad atau tidak boleh ditarik balik.

Petronas berhak ke atas minyak dengan syarat membayar balik harga royalti, iaitu lima peratus yang dipersetujui dan diperuntukkan oleh Akta Kemajuan Petroleum 1974 termasuk pindaan Akta Pelantar Benua 1966.

Keenam, isu tuduhan membawa Sarawak keluar daripada Malaysia telah merenggang hubungan Sarawak dan kerajaan pusat pada era pentadbiran Abdul Rahman Yaakub. Beliau dilantik menjadi Ketua Menteri Sarawak ketiga pada 7 Julai 1970 menggantikan Penghulu Tawi Sli. Kerajaan pusat bersetuju dengan perlantikan beliau pada mulanya. Tempoh pentadbiran Abdul Rahman Yaakub terkenal dengan dasar pembangunan negeri yang mantap. Misalnya, kejayaan Projek Petra Jaya menjadi nadi pentadbiran negeri Sarawak.

Pada era beliau, ancaman komunis telah dapat dibanteraskan dengan kejayaan Operasi RASCOM dan Operasi Sri Aman. Sungguhpun begitu, beliau tidak terlepas daripada perselisihan faham dengan kerajaan pusat. Beliau telah dituduh berkomplot seorang pemberontak yang dikenali sebagai Abang Kifli kerana membantah penyertaan Sarawak dalam pembentukan Malaysia. Tuduhan itu telah menggesa Abdul Rahman Yaakub untuk membuat kenyataan rasmi menafikan tuduhan tersebut di Majlis Negeri dan menjelaskan sebagai satu fitnah yang sengaja dilemparkan ke atas beliau oleh golongan tertentu di Kuala Lumpur dan Sarawak dengan tujuan untuk menjatuhkannya.

Ekoran daripada tuduhan itu, beliau telah mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan, tetapi rakyat Sarawak telah mengadakan tunjuk perasaan untuk mempertahankan kedudukannya. Kerajaan pusat pada ketika itu tidak dapat mencari bakal pengganti akhirnya bersetuju dengan tuntutan rakyat. Maka Abdul Raham Yaakub meneruskan pimpinan di Sarawak sehingga beliau digantikan oleh Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri Sarawak keempat.

Ketujuh, isu ketirisan hak autonomi negeri sering kali merenggangkan hubungan antara kerajaan Sarawak dan kerajaan pusat. Gagasan Malaysia telah menjadi satu kenyataan
disebabkan termeterainya persetujuan terhadap Memorandum 20 Perkara (asalnya 18 Perkara) sebagai prasyarat atau tuntutan bagi Sarawak dan Sabah.

JAK telah menempuhi sebanyak dua belas kali mesyuarat, bermula dari 30 Ogos 1962 dan berakhir pada 20 Disember 1962. Laporan JAK telah siap pada 22 Januari 1963 dan ditandangani pada 27 Februari 1963 dengan tajuk “Malaysia: Report of the Inter-Governemtal Committee, 1962” setebal 35 muka surat dengan kandungan tiga bab termasuk lima lampiran.

Dalam Bab I Laporan IGC menetapkan hari pengisytiharan Malaysia pada tarikh 31 Ogos 1963. Bab II pula menetapkan keahlian (Malaya, Sabah, Sarawak dan Singapura serta penyertaan Brunei) Persekutuan yang dinamakan Malaysia.

Juga dijelaskan persetujuan terhadap Perkara 11 (a) menubuhkan satu akta di Parlimen Malaya bagi meminda Perlembagaan Malaya untuk memenuhi syarat negeri baru (Sabah, Sarawak dan Singapura) dan menukarkan nama persekutuan, iaitu Malaya kepada Malaysia. Manakala Bab III menggariskan sejumlah dua puluh tiga perkara berkepentingan utama yang telah dipersetujui menjadi perlindungan khas atau hak istimewa kepada Sabah dan Sarawak,iaitu; (1) agama, (2) imigresen, (3) pendidikan, (4) kerakyatan dalam Persekutuan, (5) perwakilan badan perundangan Persekutuan (Senat dan Parlimen), (6) perlembagaan negeri, (7) pembahagian kuasa perundangan, (8) kawalan tanah, (9) kerajaan tempatan, (10) peruntukkan kewangan, (11) pilihan raya, (12) badan kehakiman, (13) perkhidmatan awam, (14) bahasa kebangsaan, (15) hak keistemewaan peribumi, (16) perlindungan perlembagaan terhadap kuasa perundangan negeri dan kuasa eksekutif negeri dalam perkara kewangan, agama, bahasa dan keistimewaan peribumi, (17) prosiding mempersoalkan kesahihan undang-undang persekutuan atau negeri, (18) undang-undang sedia ada, (19) kuasa darurat, (20) aturan peralihan bagi jabatan
persekutuan, (21) prosiding Undang-Undang tertunda, (22) perjanjian bantuan kewangan dan teknikal antarabangsa, dan (23) persetujuan Majlis Raja-Raja.

Pendek kata, Bab III menggariskan perkara yang menjadi hak autonomi kepada Sarawak dan Sabah. Dengan demikian, Majlis Negeri Sarawak telah meluluskan laporan tersebut pada 8 Mac 1963 dan diikuti oleh Majlis Undangan Sabah pada 13 Mac 1963.

Ketirisan beberapa daripada 23 peruntukkan perlindungan khas tersebut telah bermula dari Hari Malaysia lagi. Berdasarkan penelitian terhadap isu yang telah dibincangkan di atas
dapat menunjukkan proses ketirisan autonomi bagi negeri Sarawak, seperti berkaitan dengan hak dalam perkara perlembagaan negeri, bahasa kebangsaan, perkhidmatan awam dan tanah, dengan berlaku campur tangan kerajaan pusat sehingga kerajaan Sarawak berada dalam keadaan yang harus akur dengan sesuatu keputusan demi kepentingan nasional.

Misalnya, dalam perkara pendidikan. Pada tahun 1967, Akta Bahasa Kebangsaan diluluskan oleh kerajaan pusat, khususnya memperkenalkan reformasi pendidikan nasional bagi tujuan membentuk identiti nasional melalui bahasa kebangsaan. Perkara ini membangkitkan isu perkauman di Malaya tetapi telah dapat dileraikan dengan Ordinan Darurat 1969.

Kemudian, pada bulan Januari 1976, selaras dengan Rancangan Malaysia Kedua (1971-1975), kerajaan pusat telah mengambil keputusan untuk memperluaskan Akta Pelajaran 1961 ke atas Sarawak dan Sabah. Bukan sahaja sistem pendidikan nasional akan dilaksanakan, bahkan bidang kuasa Jabatan Pelajaran Negeri dan pengarahnya telah diletakkan di bawah bidang kuasa Menteri Pelajaran Persekutuan.

Pelaksanaan akta tersebut adalah ternyata bertentangan dengan persetujuan dalam perlembagaan bahawa pentadbiran pendidik di Sarawak dan Sabah kekal di bawah bidang kuasa kerajaan negeri walaupun dibiayai oleh kerajaan pusat. Dasar ini agak berbeza daripada apa yang dilaksanakan oleh kerajaan pusat di Malaya.

Akhirnya, walau bagaimanapun, kedua-dua negeri ini telah beransur-ansur mengambil langkah ke arah mematuhi sistem pendidikan
nasional.

Kesimpulan

Genap 53 tahun bersama Persekutuan Malaysia, negeri Sarawak telah mencapai banyak pembangunan pesat dalam pelbagai bidang kepentingan. Inilah makna dan nikmat sebuah kebebasan atau kemerdekaan yang diperlukan oleh rakyat dan negeri Sarawak.

Namun untuk mencapai pembangunan yang dinikmati pada hari ini, kerajaan Sarawak telah menempuhi pelbagai masalah isu dan cabaran yang melambatkan perjalanan proses pembangunan negeri, terutamanya ancaman komunis dan konfrontasi Indonesia. Sama ada masalah dalam nasional atau negeri, kerajaan pusat mempunyai kecenderungan untuk menggunakan kewibawaannya dalam menyelesaikan masalah yang timbul. Justeru itu, kerajaan negeri terpaksa akur dan mengalah kepada kerajaan pusat. Keadaan ini hanya meninggalkan rasa ketidakpuasan hati yang harus dipendamkan oleh kerajaan negeri.

Secara umumnya, hasil daripada kerjasama dan persefahaman antara kerajaan pusat dan kerajaan Sarawak, sesuatu masalah yang timbul telah dapat diselesaikan secara rasional dengan serta-merta. Dengan perkembangan dunia yang lebih maju pada masa kini, tentu akan timbul masalah isu dan cabaran baru. Diharapkan hubungan antara kerajaan Sarawak dan kerajaan pusat menjadi lebih akrab dalam menghadapi masalah pada masa hadapan.
* Prof. Madya Dr. Bilcher Bala merupakan pensyarah di Program Sejarah, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah. Kertas kerja ini dibentangkan untuk Seminar Sejarah Sarawak, anjuran bersama Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan
Sarawak dengan Kerajaan Negeri Sarawak, bertempat di Hotel Hilton, Kuching pada 16 Oktober 2016.