Dalam ucapan pada Seminar Sejarah Sarawak di Kuching pada Ahad lalu, Ketua Menteri berkata,  Kerajaan Sarawak berhasrat untuk mengembalikan status Sarawak kepada kedudukan asal sebelum pindaan Perlembagaan dilakukan pada 1976.

Tan Sri Adenan Satem  meminta Putrajaya mempertimbangkan negeri Sarawak agar setaraf dengan Persekutuan Tanah Melayu kerana ia merupakan satu daripada pihak yang memetrai Perjanjian Malaysia 53 tahun lalu.

Pindaan terhadap Artikel1(2) Perlembagaan Persekutuan yang menurunkan status Sarawak dan Sabah daripada wilayah kepada negeri di Malaysia berlangsung pada 12 dan 13 Julai 1976.

Pindaan itu disokong oleh 130 Ahli Parlimen, termasuk dari Sarawak dan Sabah, dan hanya empat orang yang tidak menentang, iaitu Lim Kit Siang, Dr Tan Chee Khoon, Farn Seong Than dan Lee Lam Thye dari DAP.

Pindaan itu diluluskan pada 13 Julai.

Adenan berkata, Sarawak bukan hanya satu daripada 14 negeri dan wilayah kerana di bawah Perlembagaan asal Persekutuan, dimaktubkan bahawa Persekutuan Malaysia terdiri daripada semua negeri di Persekutuan Tanah Melayu, negeri Sabah dan Sarawak di Borneo dan Singapura.

“Selepas pindaan pada 1976, Sarawak menjadi satu daripada 14 negeri di Malaysia,” kata Adenan kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Sejarah Sarawak yang mengupas tajuk berkaitan dengan pembentukan Malaysia.

Pindaan itu menurut beliau telah menyebabkan kuasa Sarawak terhakis, justeru beliau mahu mengembalikan hak dan kedudukan Sarawak kepada keadaan asal.

Adenan turut menghujahkan bahawa pindaan berkenaan adalah tidak sah dan batal kerana melanggar Perjanjian Malaysia, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan dan Laporan Suruhanjaya Cobbold.

Ujarnya, Sarawak ialah satu daripada pihak yang tandatangani Perjanjian Malaysia pada 1963, dan dengan itu punya taraf sama.

Terdahulu, dalam ucapannya Ketua Menteri yang dengan tegas telah menuntut hak dan autonomi Sarawak sejak mengambil alih kepemimpinan pada 2015 berkata, Sarawak bukan satu daripada negeri dalam Persekutuan pada 1963 tetapi negeri pengasas dan terdapat perbezaan antara negeri pengasas dengan kedudukan negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu.

“Kemungkinan itu ialah kesilapan kita kerana tidak menentang pindaan pada 1976,” katanya sambil menambah beliau tidak mahu menyalahkan sesiapa dalam kes itu.

Hakikatnya, rekod hansard seperti yang turut dilaporkan akhbar tempatan hari ini, mendapati bahawa semua  Ahli Parlimen Sarawak bersetuju dengan pindaan itu.

Pindaan itu perlu difahami dalam konteks keinginan pemimpin ketika itu untuk memastikan berlakunya integrasi nasional.

Integrasi nasional dan kesepaduan sosial begitu penting selepas negara dikejutkan dengan tragedi berdarah pada 13 Mei 1969.

Agenda utama kerajaan selepas pertumpahan darah di ibu negara ialah untuk merapatkan hubungan kaum dan juga memastikan integrasi nasional dapat diperkukuhkan.

Malah, selepas peristiwa itu, banyak dasar diperkenalkan  dan diubah, malah undang-undang tertentu dipinda.

Dasar Ekonomi Baharu (DEB), Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Rukun Negara dan pindaan terhadap Akta Hasutan turut dilakukan.

Kalau Sarawak hendak mengembalikan statusnya seperti sebelum 1976, apakah langkah yang perlu diambil?

Tetapi adakah Ahli Parlimen Sarawak bersedia melakukannya? Bersediakan Ahli Parlimen BN yang lain dari Semenanjung menyokongnya? Bagaimana dengan DAP, PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia?

Jika tidak, segalanya boleh kita katakan hanya omong politik. – Sarawakvoice