Bicara Dr Ramlah umpama kocakan air dalam cangkir Sarawak

Seawal jam 7 pagi seorang sahabat menghubungi dan mengajak turun ke pejabat bersama, tentulah sebelum itu kami bersarapan laksa Sarawak yang terletak di Jalan Astana.

Dalam perjalanan dari rumah di Gita hanya beberapa patah kata keluar dari mulut saya sebagai pembuka bicara, mata masih tertumpu melihar skrin telefon pintar milik saya.

Baru beberapa hari yang lepas satu seminar “A Journey to Merdeka: Sarawak in Malaysia anjuran Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Sarawak telah berlalu, pagi ini saya membaca dengan tekun satu persatu tajuk berita di portal media Sarawak Voice yang
selalu memberi pandangan berbeza berbanding portal media lain. Nampaknya seminar tersebut masih memberi impak yang berkesan sama ada kepada golongan akademik, politik dan juga masyarakat Sarawak amnya.

Semasa seminar itu berlangsung peserta melimpah hingga di luar dewan meskipun pada asalnya jemputan tidak ramai, hanya sekitar 250 orang, begitu saya difahamkan oleh seorang sahabat dari persatuan sejarah.

Kontroversi Profesor Datin Paduka Dr Ramlah Adam dengan sebuah kenyataan pendek namun memberi kesan yang kurang menyenangkan bagi rakyat Sarawak ialah “ tinggalkan negara” namun kenyataan tersebut diambil dari konteks yang salah. Menurut transkrip prosiding “Maknanya negara kita Malaysia perlukan satu dokongan warganegaranya yang
sayang kepada negara. Minda patriotik yang kalau kita diserang macam di Lahad Datu, semua orang terasa bahawa kita terancam. Macam itulah…bukan fikir..ohhh aku sahaja! Peduli apa dengan orang lain. Tak boleh sebab kita adalah warganegara. Kalau kita tidak suka Malaysia, tinggalkan warganegara. Pergilah berhijrah ke tempat lain! Begitulah ucapan Profesor ketika menjadi pembentang utama dalam seminar tersebut yang saya kutip dari portal Sarawak Voice.

Perbezaan pendapat perlu diraikan dalam konteks membangunkan negara bangsa yang berdaulat, begitu juga Sarawak yang mempunyai keunikan masyarakat dan akar budaya yang pelbagai. Keunikan tradisi politik di Sarawak juga adalah sumber kekuatan dan kesatuan rakyat Sarawak yang berbilang bangsa dan agama, justeru upaya untuk mengukuh dan memperkasa perpaduan rakyat Sarawak merupakan agenda yang berterusan oleh para pemimpin Sarawak.

Seingat saya dalam teks sejarah Malaysia sama ada di sekolah rendah mahupun menengah begitu sedikit cerita mengenai sejarah Sarawak. Seminar yang julung kali diadakan telah membuka mata rakyat Sarawak tentang masa lalunya yang mempunyai sejarah panjang sebagai sebuah negeri, iaitu zaman pemerintahan Kesultanan Brunei, Zaman penjajahan James Brooke dan seterusnya zaman kolonial.

Justeru saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Profesor Dr Ramlah Adam atas terciptanya kontroversi tersebut. Bagai air di dalam cawan jika tidak dikocak manis gulanya tidak terasa.

Masih terngiang-ngiang di telinga saya semasa Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Haji Openg menyampaikan ucapan aluan sewaktu penutupan seminar. Katanya waktu itu beliau masih kecil namun sejarah pembentukan Malaysia begitu dekat dihatinya , dia mengikuti ayahanda sang ayah apabila dilantik secara rasmi sebagai Gabenor Sarawak yang pertama tepatnya pada 16 September 1963. Ia begitu signifikan kerana pengisytiharan tersebut telah mengubah destinasi negeri Sarawak dan masa depannya bersama Malaysia.

Pada hari ini selama 53 tahun Sarawak telah makmur dan aman damai bersama penduduknya yang berbilang suku bangsa dan agama. Jika ingin melihat 1 Malaysia mungkin Sarawak boleh menjadi kayu ukur yang paling tepat untuk Malaysia.

Sarawak dalam Malaysia sudah melampaui setengah abad lamanya. Jika menjadi ukuran manusia 53 tahun adalah usia yang cukup matang. Pun begitu Perjanjian Malaysia 1963 dikatakan terhakis sehingga kepimpinan politik Sarawak mulai secara vokal menuntut kuasa autonomi dikembalikan oleh Kuala Lumpur seperti apa yang tercatat dalam perjanjian Malaysia.

Dibeberapa perhimpunan politik YAB Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem begitu lantang menyuarakan supaya Kuala Lumpur mengembalikan hak-hak yang terhakis tersebut. Menurut beliau dalam tempoh 53 tahun Sarawak masih mundur jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain di semenanjung Malaysia. Sebagai anak Sarawak dan rakyat Sarawak tentulah saya menyokong beliau supaya hak-hak tersebut dikembalikan namun dengan tegas menyatakan tidak bererti Sarawak mahu keluar dari Malaysia.

Equal partner dalam pembentukan Malaysia memberi banyak kelebihan untuk Sarawak dari segi kuasa-kuasa dan ekonomi jadi tuntutan tersebut amat wajar malah Kuala Lumpur harus tidak bermain tarik tali jika ingin melihat masa depan Malaysia lebih baik.

Tanpa diduga sebagai pemimpin pembangkang , Baru Bian memberi sokongan padu kepada YAB Ketua Menteri dalam isu menuntut pemulihan hak negeri. Di sinilah uniknya politik Sarawak. Baru pun menggalakkan Ahli Parlimen PKR pimpinannya menyokong jika usul tersebut dibentangkan di Parlimen. Tidak ragu-ragu lagi bahawa semangat sebagai anak negeri dan mencintai Sarawak sebagai tanah tumpah ibu pertiwi begitu segar dalam darah dan jiwa anak watannya. Meskipun berbeza ideologi politik namun bersatu dalam hal untuk kebaikan masa depan Sarawak.

Pun begitu Sarawak harus mendepani segala cabaran untuk mencapai hasratnya, dalam rencam politik Semenanjung dan pergolakan politik di Sabah sedikit sebanyak memberi kesan kepada usaha tersebut.

Ia bukan sesuatu yang mudah, ia perlu dibawa ke Parlimen dan perlu mendapat sokongan daripada semua pihak. Persoalannya sanggupkan Semenanjung menyokong hasrat tersebut.? Maka di sinilah keberanian minda politik dan dukungan rakyat Sarawak menjadi teras yang ampuh bagi Ketua Menteri.

Selama ini hal-hal mengenai Perjanjian Malaysia 1963 langsung tidak kedengaran secara langang , namun kini generasi muda selepas era pascamerdeka mulai merasai kehadiran.

Hak-hak Sarawak harus dikembalikan . forum-forum awam untuk membuka ruang perbincangan harus lebih banyak diusahakan supaya ia semakin jelas dan tuntas.

* Ismawi Ishak merupakan Setiausaha Badan Warisan Sejarah dan Kebudayan Vaie Bintulu.