Adenan kecewa kuat kuasa undang-undang lemah, nelayan asing mudah ceroboh perairan S’wak

MIRI: Walaupun undang-undang sedia ada cukup untuk menangani masalah pencerobohan nelayan asing di kawasan laut Sarawak, langkah penguatkuasaan ketat perlu bagi membanteras jenayah berkenaan.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem berkata, Kerajaan Negeri kecewa dengan “penguatkuasaan lemah” terhadap pencerobohan pukat tunda asing yang boleh memusnahkan industri perikanan Sarawak.

Bercakap pada majlis pelancaran projek Ekomarin Perhutanan Petronas-Sarawak pada Selasa, Adenan berkata satu daripada masalah utama di Sarawak ialah pukat tunda asing menggunakan kaedah mengorek dasar laut untuk menangkap ikan.

“Mereka meninggalkan kesan kemusnahan dan perlu dihentikan secepat mungkin,” tambah Adenan.

Beliau berkata perbuatan tidak  bertanggungjawab itu memusnahkan hidupan marin yang menyumbang kepada ekonomi khususnya dalam industri perikanan dan sektor pelancongan negeri.

Sementara itu, Pengerusi Petronas Tan Sri Sidek Hassan yang turut berucap pada pelancaran itu berkata sebanyak 1,750 unit bebola terumbu tiruan “ditanam” di sepanjang Taman Negara Terumbu Karang Miri-Sibuti yang merupakan taman laut terbesar di Sarawak.

Bebola terumbu karang tiruan seberat satu tan boleh bertahan 500 tahun di dasar laut.

Bebola ini mampu menghalang bot tunda tanpa lesen beroperasi aktif di kawsan Taman Negara kerana pukat tunda mereka boleh musnah jika tersangkut pada bebola yang ditanam sekitar terumbu karang. – Sarawakvoice