Wujudkan sistem berkesan urus kes keganasan terhadap wanita, kanak-kanak makin meningkat di S’wak

SANTUBONG: Statistik keganasan rumah tangga yang dilaporkan oleh Polis diRaja Malaysia Sarawak (PDRM) menunjukkan berlaku peningkatan pada 2016 berbanding tahun sebelumnya.

Sebanyak 266 kes keganasan rumah tangga sudah dilaporkan berlaku sepanjang 1 Januari hingga 31 Julai di seluruh negeri berbanding 192 kes pada 2015 dan 225 kes pada 2014

Kuching mencatatkan kes tertinggi iaitu 48 kes Serian (7 kes), Padawan (11), Sri Aman (7) Sarikei (19), Sibu (40), Bintulu (9), Belaga (11), Miri (34) dan Marudi (6).

Manakala, terdapat 385 kes keganasan terhadap wanita dilaporkan di negeri ini dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini dan dijangka meningkat.

Pada 2015, sebanyak 414 kejadian dilaporkan berlaku dan 441 berlaku pada 2014.

Menangani fenomena yang tidak sihat ini merebak dalam masyarakat, sistem berkesan bagi mengurus kes keganasan melibatkan wanita dan kanak-kanak sedia diwujudkan di peringkat negeri.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Fatimah Abdullah melihat perkhimatan itu meliputi carta aliran dan proses kerja setiap agensi terlibat yang bersifat cepat, cekap dan tepat (CCT).

Dengan CCT mangsa berasa tidak serba salah atau membuat kesilapan selepas membuat laporan, manakala agensi terlibat boleh mengendalikan kes mangsa dalam tempoh yang singkat.

Fatimah berkata melalui perkhidmatan itu, “mangsa akan ada tempat mengadu. Mereka mengetahui tindakan yang diberikan kepada mereka berbentuk CCT.”

Fatimah berucap pada Majlis Penutupan Bengkel Permuafakatan dalam Menangani Keganasan Terhadap Wanita dan Kanak-kanak di Damai Beach Resort, Santubong pada Isnin.

Bengkel anjuran Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JKWS) itu dihadiri 31 peserta dari 14 agensi kerajaan itu berlangsung 15 hingga 17 Oktober 2016.

Menurut Fatimah bagi membangunkan khidmat tersebut, prosedur operasi standard (SOP)nya dikenal pasti melalui perbincangan di antara beberapa agensi terlibat menyertai bengkel seperti itu, Bengkel Permuafakatan dalam Menangani Keganasan Terhadap Wanita dan Kanak-kanak.

Jelas sekali, di antara objektif bengkel tersebut dianjurkan adalah mengkaji semula SOP setiap agensi terlibat, merangka pelan kerja strategik berkaitan kerjasama antara agensi dalam menangani isu keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak melalui penyediaan SOP inter agensi.

Seterusnya bengkel seperti ini membantu menyediakan carta aliran dan proses kerja bagi tujuan pengurusan kes agar perkhimatannya berkesan dan bersifat cepat, cekap dan tepat (CCT).

Menurut Fatimah lagi, “carta aliran proses kerja yang siap diterbitkan dalam bentuk risalah dan dokumen yang akan diedarkan ke seluruh agensi serta NGO dan pemimpin masyarakat …(agar) mereka tahu serta menjadi panduan perkhidmatan yang harus diberikan kepada mangsa.”

Fatimah turut mengesyorkan agar risalah dan poster dicetak dan dipamerkan di setiap agensi serta tempat awam.

Kaedah yang dihasilkan merangkumi gambaran lengkap yang menyeluruh dalam usaha membantu mangsa yang mengadu atau membuat laporan kepada agensi terlibat.

“Semakin banyak orang melihat, semakin banyak orang peka terhadap bantuan (yang) disediakan kepada golongan wanita dan kanak-kanak yang terlibat dalam masalah keganasan,” menurut Fatimah.

Fatimah berjanji membentang kaedah tersebut di kabinet dalam usaha terkini membantu mangsa teraniaya. – Sarawakvoice