Watson dapat rumah RM350 ribu, bebas daripada status muflis

MIRI: Bekas Raja Pecut Negara, Watson Nyambek hari ini menerima sebuah rumah sebagai penghargaan terhadap sumbangannya kepada sukan olahraga negara.

9ea44a59-00da-4c12-9c5b-96d931ed241b-1

Rumah setingkat lengkap berperabot di Vista Perdana dekat sini itu disumbangkan bersama-sama oleh Kumpulan Naim dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Rumah tiga bilik itu berharga sekitar RM350 ribu dan terletak di lokasi yang strategik.

Watson merupakan pemegang rekod lelaki terpantas Malaysia selama 18 tahun sebelum dipecahkan oleh atlet Melaka, Khairul Hafiz Jantan pada kejohanan Sukan Malaysia di Stadium Sarawak, Kuching pada Julai lalu.

Rekod 10.30 saat itu dipecahkannya pada 15 Julai 1998 ketika kejohanan Sukan Pra-Komanwel.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem menyampaikan replika kunci rumah tersebut kepada Watson dalam satu majlis ringkas di sini pagi tadi.

Turut hadir Pengerusi Naim, Tan Sri Abdul Hamid Sepawi dan Pengerusi SPNB, Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad.

Dalam kenyataannya selepas itu, Watson merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas pengurniaan rumah tersebut, selain membantunya menyelesaikan masalah muflis sedikit masa lalu.

Watson sebelum ini diisytiharkan muflis berikutan kegagalan membayar balik pinjaman RM80 ribu daripada Bank Islam Malaysia Berhad, yang digunakan untuk membiayai kos perubatan mendiang ayahnya.

“Saya juga berterima kasih di atas pemberian rumah baharu. Saya bersyukur kerana saya tidak lagi bergelar muflis,” katanya. – Sarawakvoice