Sertai pelbagai aktiviti pada Sambutan Hari Alam Sekitar Negara di Kuching, Sabtu ini

KUCHING: Pelbagai aktiviti menarik diadakan bagi memeriah sambutan Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Kebangsaan (HASN) 2016 di Tebingan Sungai Kuching, Sabtu ini.

Program HASN ini berlangsung serentak di seluruh negara bagi meningkatkan komitmen Kerajaan Negeri serta memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam aspek pengurusan alam sekitar negara.

Jabatan Penerangan Sarawak dalam satu kenyataan berkata, Majlis perasmian sambutan HASN 2016 bertemakan “Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama” disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada sebelah pagi.

Menurut kenyatan tersebut, penjenamaan semula Minggu Alam Sekitar Malaysia kepada Hari Alam Sekitar Malaysia adalah cetusan idea Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Pelbagai aktiviti dirancang dengan kerjasama swasta, industri, sekolah serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Cabaran Kayuhan Hijau 24 Tanpa Henti, Enviro Ride, Senamrobik, Pameran Agensi Kerajaan dan Karnival Usahawan.

Turut diadakan ialah Kuiz Alam Sekitar, Pameran Reka Cipta Daripada Bahan Buangan, Saringan Kesihatan Percuma, Promosi Pengutipan Bahan Buangan Elektronik, Pemeriksaan Percuma Kenderaan serta Ujian Pelepasan Asap Kenderaan dan Cabutan Bertuah.

Beberapa aktiviti berlangsung pada pagi Sabtu di Tebingan Sungai Kuching seawal 6.30 pagi seperti senamrobik dan Enviro Ride.

Sementara, aktiviti lain seperti pameran, saringan kesihatan, promosi kutipan bahan buangan elektronik dan pemeriksaan kenderaan berlanjutan sehingga 5 petang.

Selain meningkatkan kesedaran alam sekitar di kalangan masyarakat, HASN juga

menggalakkan kerjasama antara pelbagai agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan

kerajaan dan orang-perseorangan dalam usaha pemuliharaan alam sekitar. – Sarawakvoice