Serbuan ke atas dua premis di Kuching-Serian rampas rokok seludup bernilai lebih RM500,000

KUCHING: Risikan ke atas dua premis berasingan di bandar raya Kuching lebih kurang sebulan sebelum operasi penguatkuasaan dijalankan berjaya merampas 360 kotak rokok pelbagai jenama pada Isnin lepas.

Dalam operasi tersebut sepasukan anggota dan pegawai unit risikan Ibu Pejabat Briged dan Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan dua serbuan di Jalan Kuching-Serian.

Komander PGA Briged Sarawak, SAC Khaw Kok Chin berkata pihaknya menyerbu rumah di Kilometer 18.5 Kuching-Serian pada 4 petang dan merampas 10,850 kartun rokok premium gold yang dianggar bernilai RM435,500 tidak termasuk cukai.

Manakala, dalam operasi susulan pada 10 malam, pasukan itu kemudiannya menyerbu sebuah lagi rumah kira-kira 800 meter dari lokasi serbuan pertama sejam kemudian dan merampas 7,150 kartun lagi rokok pelbagai jenama bernilai sekitar RM156,000.

Siasatan awal mendapati semua rokok berkenaan diseludup masuk melalui laluan laut di utara Sarawak sebelum dibawa ke bandar raya ini untuk dipasarkan.

Bercakap pada sidang media sidang media di ibu Pejabat PGA Batalion 11 Batu Kawa, Khaw berkata ketika serbuan dilakukan, pihaknya didatangi dua lelaki warga tempatan masing-masing berusia 62 dan 40 tahun cuba menawarkan suapan RM15,000 kepada pegawai mengambil tindakan ke atas rampasan berkenaan.

Bagaimanapun, kedua-dua lelaki tersebut ditahan dan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang turut menyertai operasi terbabit.

Khaw berkata, pihaknya tidak berkompromi dengan mana-mana pihak dalam membanteras aktiviti penyeludupan dan operasi seperti ini dijalankan dari masa ke semasa.

Khaw meminta orang ramai memberi maklumat aktiviti penyeludupan kepada pihaknya.

Kesemua hasil rampasan diserahkan kepada pihak kastam dan kes disiasat dibawah Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967. – Sarawakvoice