Kertas kerja ini membincangkan peristiwa-peristiwa sejarah yang berlaku menjelang pembentukan Malaysia dan seterusnya kemerdekaan Sarawak pada tahun 1963. Kertas kerja ini dibahagikan kepada tiga bahagian utama iaitu, bahagian pertama membincangkan perkembangan di pentas dunia atau diperingkat antarabangsa khasnya selepas Perang Dunia Kedua, bahagian kedua membincangkan tentang perkembangan dalam negara dan isu-isu keselamatan dan bahagian ketiga membincangkan proses kemerdekaan Sarawak melalui pembentukan Malaysia.

Definisi Sebuah Negara

Apakah yang dimaksudkan dengan sebuah negara? Sebuah negara mempunyai empat sifat utama iaitu, penduduk, sempadan, kerajaan dan kedaulatan. Sarawak sebagai sebuah entiti politik di bawah Kesultanan Brunei sememangnya sudah wujud lebih awal daripada kedatangan Brooke. Selain daripada itu kumpulan pribumi telah menduduki Sarawak lebih awal lagi. Begitu juga dengan orang Cina yang dilaporkan telah datang lebih awal daripada keluarga Brooke ke Sarawak.

Sudah tentunya setiap komuniti tersebut mempunyai struktur pentadbiran yang tersendiri di peringkat komuniti tersebut. Mungkin dari segi saiznya Sarawak adalah lebih kecil daripada hari ini. Malah pada zaman dahulu Sarawak juga disamakan dengan Kuching. Lantaran itu adalah kurang tepat sekiranya sejarah Sarawak hanya dikatakan bermula dengan pemerintahan Brooke atau “Sarawak Since 1841” dengan menafikan sejarah komuniti-komuniti yang datang lebih awal satu kenyetaan yang sangat mengelirukan.

Sesebuah negara yang merdeka hendaklah mempunyai kedaulatan serta bebas daripada pengaruh atau kuasa negara luar. Sesebuah wilayah yang masih lagi di bawah pengaruh asing tidak boleh dianggap sebagai entiti politik yang merdeka. Di bawah pemerintahan keluarga Brooke Sarawak mempunyai ciri-ciri seperti sempadan, penduduk dan kerajaan tetapi Sarawak bukanlah entiti politik yang berdaulat atau merdeka kerana Governor British terus berkuasa di Sarawak sehingga 15 September 1963.

Nasionalisme Selepas Perang Dunia

Dengan tercetusnya Perang Dunia Kedua keluarga Brooke telah membuat keputusan untuk meninggalkan Sarawak. Penaklukan Jepun terhadap Sarawak berakhir pada 11 September 1945 apabila tentera Australia berjaya membebaskan Sarawak daripada pemerintahan Jepun.

Sepertimana pengalaman di tempat-tenpat lain di Asia Tenggara zaman penjajahan Jepun sememangnya penuh dengan kesengsaraan seperti kekurangan makanan dengan bentuk pemerintahan kejam ala tentera. Banyak kajian awal tentang pendudukan Jepun di Asia Tenggara membuktikan berlakunya kekejaman dan kesengsaraan.

Namun kejayaan Jepun di Asia Tenggara merupakan satu kemenangan moral yang besar kepada pejuang-pejuang kemerdekaan dan kumpulan anti-imperialis di kawasan Asia Tenggara.

Teori Domino dan Isu-Isu Keselamatan

Ancaman pihak komunis selepas Perang Dunia Kedua dan khasnya selepas kemenangan Mao Tse-tung di China pada tahun 1949 telah meningkatkan pemberontakan komunis di Asia Tenggara. Malaysia juga dalam keadaan tersepit serta berhadapan dengan masalah tersebut.

Blok Barat khutair akan teori domino yang dipopularkan oleh pihak America semasa Perang Dingin akan menjadi kenyataan. Teori yang diutarakan oleh Presiden Dwight D. Eisenhower pada tahun 1954 mengandaikan bahawa sekiranya sebuah negara di kawasan tersebut jatuh ke tangan komunis maka negara-negara berdekatan yang lain akan terus jatuh seperti domino.

Di Asia Tenggara beberapa buah negara berhadapan dengan ancaman komunis. Ini menyebabkan banyak negara tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan China. Pemimpin-pemimpin di Asia Tenggara risau dengan sokongan yang diberikan kepada pejuang-pejuang komunis di negara masing-masing.

Hubungan diplomatik China-Indonesia telah digantung pada tahun 1967 dan disambung semula pada tahun 1990. Kenyataan berikut memberikan gambaran tentang kegusaran Blok Barat terhadap teori domino yang mungkin akan menjadi kenyataan…
The basis of the domino theory came from the Korean War because the United States learned that communism was becoming more of a threat in other countries outside of Europe. They were worried that it would end up spreading through all of South East Asia if it took over South Vietnam. They believed that once it was taken over it would spread to Laos, Cambodia, Thailand and many more. President Dwight D. Eisenhower and Vice President Richard Nixon put forth this theory and that is why they supported Ngo Dinh Diem in South Vietnam, to ensure that it did not fall to Communism (The Vietnam War…http://vietnamawbb.weebly.com/domino-theory.html)

Selain daripada perbezaan ideologi Perang Dingin di antara Blok Barat dengan Blok Timur juga berpaksikan teori tersebut. Jelas menunjukkan bahawa bukanlah mudah untuk pihak penjajah memerdekaan tanah-tanah jajahan mereka kerana mereka khuatir ia akan jatuh ke tangan lawan apatah lagi kalau penjajah masih lagi mempunyai kepentingan ekonomi di bekas tanah jajahan mereka. Tambahan pula sistem pertahanan sesebuah negara yang baru merdeka sudah tentunya agak lemah.

Isu Keselamatan

Darurat telah diisytiharkan pada tahun 1948 dan berlarutan sehingga 1960. Ancaman pihak komunis menyebabkan ramai jungle trackers di ambil daripada Sarawak. Ramai yang terkorban dalam peperangan menentang pemberontak komunis.

Misalnya, pengalaman Awang anak Raweng sebagai jungle tracker di Tanah Melayu amat menggerunkan. Begitu juga dengan perjuangan seorang lagi pahlawan daripada Sarawak,iaitu, Kanang anak Langkau dalam menentang Komunis di Malaya. Di Sarawak sendiri keadaan keselamatan juga turut membimbangkan.

Penyokong-penyokong komunis menyusup ke dalam organisasi politik dan organisasi belia untuk meluaskan pengaruh mereka. Ada pula yang menuntut supaya Sarawak diberikan kemerdekaan terlebih dahulu dan selepas itu mereka akan diberi peluang untuk membuat keputusan samada ingin menjadi sebahagian daripada persekutuan Malaysia ataupun tidak.

Pengaruh komunis telah mula menyusup masuk ke Sarawak sejak awal tahun 1950an lagi. Mereka cuba menguasai sekolah serta mempengaruhi anak-anak muda. Pengaruh mereka diperluaskan ke dalam sistem pendidikan, kesatuan sekerja, politik dan juga media cetak. Menurut Porritt (1997 : 77-78), Sarawak Liberation League telah ditubuhkan pada bulan Mac tahun 1954 dan diganti dengan Sarawak Youth’s Asociation (SAYA).

Kumpulan ini telah dikenali sebagai Clandestine Communist Organisastion (CCO) oleh pemerintah di Sarawak. Sarawak Gazzette melaporkan ancaman komunis yang pertama di Sarawak ialah di Batu Kitang pada bulan Ogos 1952. Tiga orang lelaki dan seorang perempuan telah melepaskan tembakan di pekan tersebut dan memaksa pekedai-pekedai untuk memberikan wang kepada mereka.

Dalam perjalanan balik ke Kalimantan mereka telah melepaskan tembakan dalam satu sekatan jalan raya di Batu 27 dan membunuh seorang anggota polis dan mencederakan dua orang yang lain (Porrit, 1996:79).

Komunis di Sarawak juga sangat aktif untuk mendapatkan sokongan dan ahli-ahli baharu. Pada tahun 1955 mereka ingin mewujukan Sarawak Trade Union Congress tetapi cadangan ini ditolak oleh pemerintah pada masa itu kerana khuatir dengan niat dan tujuan pihak penganjur.

Dilaporkan seramai 1000 orang belia telah pergi ke Kalimantan untuk berjuang bersama CCO dalam gerakan bersenjata menentang pembentukan Malaysia (Porritt, 1996 : 89). Ancaman CCO diteruskan sehingga ke saat-saat akhir pemerintahan British di Sarawak. Mereka ingin terus membuat keadaan huru hara seperti membuat kenyataan anti-Malaysia, meletupkan bom di Open Air Market Kuching dan juga menyimbah kereta dengan asid di Miri pada hari pembentukan Malaysia (Ho Ah Chon, 1995:4).

Perjuangan menentang Malaysia diteruskan oleh Pasukan Rakyat Kalimantan Utara atau Paraku (PARAKU) yang sememangnya mempunyai tujuan khas untuk membebaskan Sarawak daripada Malaysia. Pasukan Rakyat Kalimantan Utara atau PARAKU merupakan sayap bersenjata di bawah naungan NKCP (North Kalimantan Communist Party) dibentuk pada 19 September 1971. Tentangan diteruskan oleh pihak komunis di Sarawak sehingga 1990.

Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1415

Pada tahun 1960 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah meluluskan resolusi 1415 dan mendesak kuasa-kuasa penjajah untuk memberikan kemerdekaan kepada tanah jajahan mereka. Sarawak yang masih lagi menjadi tanah jajahan British juga tidak terkecuali. Deklarasi ini dianggap sebagai titik tolak yang penting dalam proses dekolonisasi. Resolusi ini lebih dikenali sebagai United Nations Resolution 1514, diluluskan dalam perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 14 Disember 1960.

Resolusi ini memberi peluang kepada penduduk di kawasan tanah jajahan yang sudah lama ingin mencapai kemerdekaan dan mengakhiri penjajahan di bumi mereka untuk bangkit menuntut kemerdekaan .

Desakan ini juga telah membuatkan pihak British untuk memberikan kemerdekaan kepada wilayah-wilayah taklukan mereka di Asia Tenggara termasuk Sarawak, Sabah, Singapura dan Brunei. Pada tahun 1961 dalam ucapan beliau pada Foreign Jouirnalist’s Association of South Esat Asia Conference di Singapura Tunku Abdul Rahman telah membayangkan penyatuan Persekutuan Malaysia, Singapura, Borneo Utara, Sarawak dan Brunei kepada kerjasama politik dan juga ekonomi (Portal National Archive of Malaysia, http://www.arkib.gov.my/en/web/guest/penubuhan-malaysia-16-september-1963 pada 27 November 2016.)

Cadangan pembentukan Malaysia oleh Tunku Abdul Rahman pada tahun 1961 tepat pada masanya dan amat sesuai sekali dengan Resolusi 1415 yang mendesak memberikan kemerdekaan kepada tanah jajahan. Tunku dilaporkan berkata, “…Malaya could not stand alone and there had to be an understanding with Britain, Singapore, North Borneo, Brunei and Sarawak” (Straits Time Sinapore, 29 May 1961 :1). Cadangan tersebut mendapat sambutan yang baik dan selepas itu bermulalah proses pembentukan Malaysia.

Cadangan Pembentukan Malaysia

Terdapat tiga cadangan yang berkaitan dengan pembentukan Malaysia. Misalnya pada tahun 1955, David Marshall pernah mencadangkan gabungan dengan Singapura tetapi idea itu telah ditolak. Pada tahun 1959, Lee Kuan Yew mencadangkan gabungan yang sama tetapi tidak mendapat sambutan. P

ada bulan Julai 1961 Tunku telah membuat cadangan yang hampir sama dengan menggabungkan beberapa wilayah seperti Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei untuk bergabung. Idea beliau ini telah mendapat sambutan dan langkah yang pertama dilakukan ialah untuk menjelaskan cadangan gagasan tersebut kepada rakyat melalui penubuhan Malaysian Solidarity and Consultative Council.

Proses Pembentukan Malaysia

Apa yang berlaku selepas cadangan Tunku Abdul Rahman boleh dianggap sebagai bermula nya proses pembentukan Malaysia sehingga 16 September 1963. Apa sahaja peristiwa yang berlaku dalam tempoh tersebut hendaklah difahami atau diintepretasikan dalam konteks kemerdekaan Sarawak melalui pembentukan Malaysia.

1. Penubuhan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (Malaysian Solidarity and Consultative Council-MSCC)

Jawatankuasa ini ditubuhkan pada tahun 1961 untuk menjelaskan kepada umum tentang idea pembentukan Malaysia sepertimana yang dicadangkan oleh Tunku Abdul Rahman. Jawatankuasa ini diketuai oleh Donald Stephens dan mempunyai wakil daripada beberapa buah negara iaitu Singapura, North Borneo, Malaya dan Sarawak.

Mereka telah mengadakan mesyuarat sebanyak empat kali untuk memberikan penjelasan dan pada masa yang sama untuk mendapatkan pandangan daripada orang ramai. Beberapa siri mesyuarat telah diadakan di Jesselton (21 Ogos 1961), Kuching (18-20 Disember 1961), Kuala Lumpur (6-8 Januari 1962) dan Singapura (1-3 Februari 1962).

Jawatankuasa ini diakhiri dengan satu laporan dan juga beberapa syor tertentu berhubung dapatan mereka tentang pembentukan Malaysia. Jawatankuasa ini telah menghasilkan apa yang dinamakan Memorandum on Malaysia pada 3 Februari 1962 yang mengandungi 44 perkara dan diserahkan untuk pertimbangan Suruhanjaya Cobbold.

Di antara lain, memorandum menyatakan (dalam perkara 7) bahawa sistem pemerintahan bersifat unitari sememangnya tidak pernah dipertimbangkan untuk Persekutuan Malaysia kerana mengiktiraf keinginan setiap negeri untuk kekalkan autonomi dan identiti mereka (Memorandum on Malaysia)

2. Penubuhan Suruhanjaya Cobbold

Suruhanjaya Cobbold ditubuhkan pada 16 Januari 1962 dan diketuai oleh Lord Cobbold. Suruhanjaya ini ditubuhkan untuk mendapat reaksi dan maklumat lebih terperinci lagi tentang pendapat masyarakat di Sabah dan Sarawak terhadap pembentukan Malaysia.

Terlebih dahulu Suruhanjaya ini meneliti syor-syor dalam Memorandum on Malaysia yang dikemukakan oleh MSCC pada 3 Februari 1962. Syarat-syarat dan hak-hak yang diberi perhatian lebih menyentuh hak-hak perlindungan perlembagaan yang khusus untuk rakyat Borneo.

Dalam tempoh dua bulan (19 Februari-April 1962) Suruhanjaya ini telah mengadakan perjumpaan di 35 buah tempat di Sabah dan Sarawak di kawasan pedalaman dan 50 perjumpaan melibatkan 4000 orang Suruhanjaya juga dilaporkan menerima 2,200 keping surat dan memorandum daripada pelbagai persatuan, parti-parti politik, pertubuhan keagamaan, dewan-dewan perdagangan, ketua-ketua kaum, orang-orang kenamaan dan individu-individu (Arkib Negara Malaysia, http://www.arkib.gov.my/web/guest/suruhanjaya-cobbold, 6 Oktober 2016).

Dalam perkara nombor 144 Laporan Suruhanjaya Cobbold menyatakan bahawa satu pertiga daripada penduduk di Sabah dan Sarawak menyokong pembentukan Malaysia, satu pertiga bersetuju tetapi dengan syarat manakala satu pertiga menuntut kemerdekaan terlebih dahulu atau terus di bawah pentadbiran British ( Suruhanjaya Cobbold, 3 Februari 1962).

Suruhanjaya ini juga melaporkan bahawa salah satu daripada sebab mengapa mereka bersetuju dengan Persekutuan Malaysia ialah kerana khuatir dengan ancaman komunis. Suruhanjaya Cobbold menggunakan perkataan komunis dalam laporannya sebanyak 29 kali.

Ini menunjukkan betapa bahayanya ancaman pihak komunis pada masa itu. Dalam perkara 152 laporan Suruhanjaya Cobbold mencadangkan perlantikan Ketua Menteri secepat mungkin semasa “transitional period” untuk membantu mentadbir negeri Sarawak khasnya berkaitan dengan perkara-pekara yang diletak dalam senarai negeri.

Laporan Suruhanjaya Cobbold juga tidak menyatakan hak untuk keluar Malaysia kerana mereka berpendapat bahawa penyertaan dalam persekutuan hendaklah dipersetujui semua dan secara sukarela walaupun terdapat cadangan untuk tempoh percubaan dalam persekutuan yang baharu itu.

Dalam kuasa imigresen pada Bahagian (g) Laporan Suruhanjaya Cobbold mencadangkan ia berada di tangan kerajaan negeri. Terdahulu daripada itu pada Memorandum on Malaysia yang disediakan oleh Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (MSCC) menyatakan bahawa, “They are also anxious to see that no undesirable elements from other parts of Malaysia are allowed entry into the Borneo territories…” ( Memorandum on Malaysia, 1962).

Dalam beberapa siri pertemuan Suruhajaya Cobbold dengan masyarakat yang berbilang kaum di Sarawak jelas bahawa setiap kaum mengharapkan mereka lebih maju dari aspek pembangunan, keselamatan lebih terjamin dan perlindungan yang mencukupi dalam perlembagaan Malaysia. Perjumpaan dengan wakil kaum Iban di Kapit (19 Mac 1962) dimana 13 resolusi dikemukakan dan perjumpaan dengan kaum Iban daripada Bahagian

Kedua dengan sejumlah 10 resolusi di kemukakan. Perjumpaan dengan kaum Melayu di Sarawak sebayak 11 resolusi dikemukakan. Perkara 75 dalam Laporan Suruhanjaya Cobbold menyatakan bahawa kaum Cina menolak pembentukan Malaysia (Laporan Suruhanjaya Cobbold, 1962: 14).

Laporan-laporan penyiasat suruhanjaya di Sarawak dan di Borneo Utara selesai pada 21 Jun 1962 dan diterbitkan pada 1 Ogos 1962. Kerajaan British dan Persekutuan Tanah Melayu mengeluarkan pernyataan bersama dengan menerima hampir kesemua syor yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Cobbold dan memutuskan Persekutuan Malaysia ditubuhkan pada 31 Ogos 1963.

3. Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC)

Jawatankuasa Antara Kerajaan ditubuhkan untuk merangka peraturan-peraturan perlembagaan sebagai jaminan bagi memelihara kepentingan negeri-negeri Borneo dalam Persekutuan Malaysia. Jaminan meliputi perkara-perkara seperti kebebasan beragama, pelajaran, perwakilan dalam Parlimen Persekutuan, kedudukan anak negeri, kawalan imigresen, kewarganegaraan dan perlembagaan-perlembagaan negeri (Arkib Negara Malaysia, www.arkib.gov.my).

Hasil daripada perbincangan dengan wakil-wakil Borneo Utara menghasilkan 20 Perkara manakala hasil daripada perbincangan dengan wakil-wakil daripada Sarawak telah menghasilkan 18 Perkara. Kedua-dua janji adalah pengikat dan asas perlindungan kepada hak-hak di Borneo Utara dan Sarawak di Malaysia. Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan diterbitkan pada 27 Februari 1963 dan kemudian dibahaskan di Dewan Undangan Sarawak sebelum ia diterima oleh Dewan Undangan Negeri pada 8 Mac 1963.

4. Perjanjian Malaysia 1963

Perjanjian Malaysia telah dilaksanakan pada 6 Julai 1963 antara Persekutuan Tanah Melayu, United Kingdom, Borneo Utara, Sarawak dan Singapura. Perjanjian ini menjadikan Borneo Utara dan Sarawak menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia. Turut menandatangani Perjanjian tersebut untuk mewakili Sarawak ialah Temenggong Jugah selaku Pengerusi kepada Sarawak Alliance, Datu Bandar Abang Haji Mustapha Pengerusi PANAS, Ling Beng Siew Pengerusi SCA (Sarawak Tribune, 13 July 1963). Artikel 1 jelas menunjukkan kedudukan negeri-negeri Sabah, Sarawak dan Singapura dalam Persekutuan Malaysia.

Article 1
The Colonies of North Borneo and Sarawak and the State of Singapore shall be federated with the existing States of the Federation of Malaya as the States of Sabah, Sarawak and Singapore in accordance with the constitutional instruments annexed to this Agreement and the Federation shall thereafter be called “Malaysia”.

Dengan perjanjian tersebut Sarawak merupakan salah sebuah daripada negeri dalam persekutuan Malaysia.

5. United Nations Inquiry, August 1963.

Cadangan untuk isytiharkan kemerdekaan pada 31 August 1963 sepertimana dalam perjanjian di London pada 6 Julai 1963 perlu diketepikan buat sementara waktu untuk memberikan keyakinan kepada Indonesia dan Filipina sepertimana yang dinyatakan dalam Manila Joint Statement pada 5 Ogos 1963. Indonesia dan Filipina ingin melihat penduduk di Sarawak dan Borneo Utara membuat keputusan mereka sendiri untuk menyertai Persekutuan Malaysia. Berikut adalah saranan yang telah dibuat dalam perkara nombor 10 terkandung dalam Manila Joint Statement 5 August 1963

10. The Ministers reaffirmed their countries’ adherence to the principle of self-determination for the peoples of non-self-governing territories. In this context, Indonesia and the Philippines stated that they would welcome the formation of Malaysia provided the support of the people of Borneo Territories is ascertained by and independent and impartial authority, the Secretary-general of the United Nations or his representative.

Untuk tujuan tersebut wakil daripada pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah dijemput. Kumpulan ini tidak sempat menyiapkan laporan mereka sebelum 31 Ogos 1963 untuk membolehkan perisytiharan kemerdekaan. Mereka telah mengadakan beberapa siri perjumpaan dengan penduduk di Sarawak.

Rombongan ini juga menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak yang diadakan pada 4 September 1963. Ahli-ahli DUN adalah mereka yang telah dipilih semasa pilihanraya pada bulan April-Jun 1963. Dewan Undangan tersebut telah meluluskan Perjanjian Malaysia pada 5 September 1963 dengan 32 menyokong dan 5 orang wakil SUPP membantah (Porritt, 1996 :104). Pada akhir lawatan tersebut wakil PBB membuat rumusan seperti berikut, “…no doubt about the wishes of a sizeable majority of the people of these territories to join in the federation of Malaysia” (Secretary’s Conclusion, United Nations Review, 10, (9 October 1963) 15.

5. Pengisytiharan Malaysia

Perisytiharan Malaysia telah dibuat pada 16 September 1963. Wakil kerajaan pusat ialah Encik Khir Johari yang membaca Proclaimation of Malaysia. Beliau seterusnya diikuti oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Stephen Kalong Ningkan, yang menyatakan “Sarawak has this day obtained independence as a state of Malaysia” (Ho Ah Chon, 1995 :16) Pada hari tersebut Mr Duncan Sandys, British Commonwealth and Colonial Secretary melalui perutusan beliau berkata, “The moment has come for me to say goodbye. It is Britain’s aim and privilege to lead her colonial territories to independence. In Sarawak our task is now completed. You have become and independent people in the manner which you have chosen for yourself – as a free and self-governing State in the new Federation of Malaysia (Ho Ah Chon, page 8).

Tentangan Terhadap Pembentukan Malaysia/ Konfrontasi

Indonesia meneruskan tentangan terhadapan pembentukan Malaysia dengan memperhebatkan aktiviti Ganyang Malaysia semasa konfrontasi. Organisasi dalaman seperti CCO juga meneruskan tentangan mereka terhadap pembentukan Malaysia. Ancaman pengganas komunis hanya berakhir di Sarawak pada tahun 1990 dengan temetrai nya perjanjian perdamaian pada 17 Oktober 1990.

Kesimpulan

Jelas bahawa proses untuk mendapatkan kemerdekaan bagi negeri Sarawak bukanlah sesuatu yang mudah. Ancaman utama pada masa tersebut samada di peringkat luar dan dalam negara ialah aktiviti subversif pihak komunis yang ingin mewujudkan pemerintahan komunis di negeri ini. Sepertimana negara-negara lain yang baharu merdeka sememangnya pemimpin-pemimpin di Sarawak mengharapkan pembangunan akan lebih pesat apabila mereka sudah menjadi sebuah wilayah yang merdeka.

Tepat pada masanya kita mengimbau kembali peristiwa-peristiwa menjelang kemerdekaan dan menjadikan peristiwa-peristiwa tersebut sebagai peringatan supaya terus membangunkan negeri ini sepertimana yang kita idamkan semasa berjuang untuk ke merdekaan. Lebih daripada itu sepertimana yang sering dinyatakan oleh seorang pengsas Malaysia, iaitu, Tun Jugah, “Anang baka tebu, manis ba pun tang tabar ba ujung” (Do not be like the sugar cane, sweet at the beginning but tasteless at the end”)

* Profesor Madya Dr Neilson Ilan Mersat merupakan Dekan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak.
* Kertas kerja ini dibentangkan dalam Seminar Sejarah Sarwak, semalam