Naik motosikal demi jaga alam sekitar, jimat petrol dan atasi kesesakan jalan raya

SIBU:  Kerajaan menumpukan perhatian membangun prasarana di kawasan luar bandar seperti pembinaan jalan raya dan jambatan yang membantu menghubungkan kawasan luar bandar dengan bandar.

“Dengan cara itu, orang akan menggunakan lebih banyak motosikal,” kata Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh bercakap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-60 Persatuan Kenderaan Motosikal dan Basikal Wilayah Tengah Sarawak.

Menurut Wong, semakin ramai orang menggunakan motosikal yang mungkin menunjukkan taraf hidup mereka semakin baik.

Beliau menambah kata, “Ia (juga) kelihatan seperti trend yang semakin meningkat, orang ramai menggunakan motosikal kerana dua sebab, iaitu petrol yang terlalu mahal dan lalu lintas begitu sesak.”

Wong berkata, perkembangan trend ini menyebabkan terdapat peniaga motosikal, mengimport motosikal elektrik yang lebih menjimatkan kos pengunaannya selain selesa dipandu.

Wong meminta peniaga motosikal, terutama Persatuan Kenderaan Motosikal dan Basikal Wilayah Tengah Sarawak tidak terlalu bimbang akan kelembapan ekonomi dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Ekonomi sedang melalui tempoh sukar dan saya memberitahu mereka, jangan hilang harapan kerana masa depan lebih cerah dengan permintaan untuk motosikal, terutama motosikal elektrik,” kata Wong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan.

Di Eropah, Scandinavia, Norway, Sweden dan Belgium, rakyat mereka menggunakan motosikal atau basikal elektrik sebagai satu trend bertangungjawab terhadap pemeliharaan alam sekitar.

“Saya fikir trend kita di sini akan menjadi seperti itu. Oleh itu, saya berharap mereka yang terlibat perlu bekerja keras, memberi publisiti kepada penggunaan motosikal elektrik supaya masa depan lebih baik,” ujar Wong. – Sarawakvoice