Motivasi melampau! Murid redah kolam berselut, dicampak ular selain disiram air

IPOH: Video di laman sosial Facebook yang diviralkan Ratu Perang berdurasi 2 minit 50 saat memperlihatkan sekumpulan murid perempuan berpakaian sukan diarah meredah kolam berselut yang dicampak ular di dalamnya selain disiram air!

Setakat tengah hari Selasa, video motivasi melampau tersebut dikongsi 3,500 orang dan ditonton hampir 100,00 netizen.

Ratu Perang menulis, “Tak dapat dipastikan ini kem motivasi bersama JPAM nie anjuran sekolah rendah mane, tetapi kaedah yang digunakan kononnya untuk menyemai dan membina keyakinan diri budak sekolah rendah perempuan pulak tu dipaksa mengharungi kolam yang ada ular sambil disorak-sorak dan dipancut dengan air memang amat melampau …

“Saya harap dengan tersiar nye artikel beserta video bukti ini mampu di siasat dan di ambil tindakan oleh pihak yang berwajib…

“Budak sekolah rendah kot, nk didera mental seperti ini mmg satu perlakuan yang amat bodoh !!”

Sebanyak 1,400 komen yang diposkan oleh netizen meluahkan rasa marah dan mengkritik program motivasi melampau berkenaan.

Adrea Hana Musa menulis komennya, “Awak banyak juga pegi kem motivasi masa kecik2 dulu…tapi idakle sampai buh ulo n main siram2 ayor pd org…aje gile kome…kesian budak2 tu…mmg le nk membentuk keberanian ke ape ke…banyak cara lain lg..”

“Aku pun x setuju…. xsesuai dgn peringkat umur…. kecuali mereka pilih unit beruniform… tu peringkat sekolah menengah.. ini sekolah rendah kot…,” tulis Mohamad Azril.

Diana Hasrin menambah, “Satu jee nak cakap, cuba letak salah satu anak pegawai dekat satu (situ). Then kau buat benda sama, sanggup ke kau tengok anak kecil ketakutan mcm tu. Otak ada. Guna dengan betul laaa broo. banyak lagi cara yg sesuai.”

Dalam perkembangan pada Isnin, mengutip laporan Sinar Harian, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menggantung serta- merta modul pembinaan kumpulan murid bagi menyiasat, sama ada terdapat pelanggaran operasi prosedur standard (SOP) berkaitan latihan menggunakan modul itu yang viral di media sosial.

Laporan menyebut kejadian berlaku di Kuala Kangsar, Perak.

Menurut laporan tersebut, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Negeri, Mohd Noor Hassan Ashari Sulaiman, pihaknya menyiasat penggunaan ular dalam latihan tersebut.

Katanya, APM sudah menjalankan modul latihan membina jati diri murid dan pelajar lebih 10 siri sejak tiga tahun lalu, namun tiada penggunaan ular dibenarkan.

Mohd Noor melahirkan rasa musykil pihak pengurusan menggunakan pendekatan tersebut kali ini.

“APM amat menitik beratkan keselamatan peserta dan sangat berduka cita mengenai kejadian berkenaan walaupun semua peserta berada dalam keadaan sihat serta selamat,” kata Mohd Noor. – Sarawakvoice