Kenyataan Ramlah Adam diputar belit, cadangan kepada mereka yang tidak suka Malaysia

KUCHING: Tindakan beberapa pihak mempersoalkan kenyataan Profesor Datin Paduka Dr Ramlah Adam berhubung “tinggalkan negara” dalam Seminar Sejarah Sarawak pada Ahad lalu dilihat dipetik di luar konteks dan berunsur manipulasi.

e9d3a134-1ed6-4df2-8186-01db0dd6e6d1Berdasarkan transkrips prosiding yang dipanjangkan kepada sarawakvoice.com semalam, berikut adalah petikan kenyataan Ramlah, yang diangkat menjadi kontoversi.

“Maknanya negara kita Malaysia perlukan satu dokongan warganegaranya yang sayang kepada negara. Minda patriotik yang kalau kita diserang macam di Lahad Datu, semua orang terasa bahawa kita terancam. Macam itulah…bukan fikir..ohhh aku sahaja! Peduli apa dengan orang lain. Tak boleh sebab kita adalah warganegara. Kalau kita tidak suka Malaysia, tinggalkan warganegara. Pergilah berhijrah ke tempat lain!

Survival Malaysia pada masa depan.

Oleh sebab patriotisme kita makin nipis tuan-tuan, kita bercakap bercakaran. Benda-benda kecil yang telah lepas…Suruhanjaya Cobbold kita jangan baca lagi. Baca ni …Perlembagaan Malaysia ini. Sebab ini “override” Suruhanjaya Cobbold. Memang pertemuan-pertemuan, mesyuarat-mesyuarat itu dah tak pakai sebab kita ada perjanjian Malaysia. So kita kena faham apabila satu perjanjian itu dibuat, dia mengatasi atau dia memusnahkan semua perjanjian-perjanjian lain.Itu memang standard!”

Sementara itu, jurucakap Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Sarawak ketika dihubungi berkata, mereka meraikan perbezaan pendapat dan pandangan berhubung isu tersebut.

“Kita harus profesional apabila mendepani diskusi ilmiah dan akademik seperti ini.

“Perbezaan pandangan dan perkongsian ilmu adalah sesuatu yang amat diharapkan daripada sidang seperti ini.

Katanya lagi, pihaknya amat gembira seminar tersebut dapat mencetuskan tradisi ilmu dalam kalangan masyarakat pelbagai latar belakang di negeri ini, dan ia terpancar menerusi limpahan peserta yang terlibat.

Seminar Sejarah Sarawak berlangsung pada 16 Oktober lalu, dengan tema ” A Journey to Merdeka: Sarawak in Malaysia.”

Dr. Ramlah yang kini bertugas di Universiti Malaysia Perlis merupakan pembentang utama yang membawa tajuk “Sarawak Dalam Malaysia.” – Sarawakvoice