Kedudukan Sarawak dalam Malaysia

datin-paduka-dr-ramlah-adam_00001. Idea penubuhan Malaysia diadakan sejak 1949 – Kertas Putih Malaysia disediakan oleh Malcom MacDonald, Gabenor Jeneral Asia Tenggara selepas Malayan Union digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu 1948. Ini adalah perancangan British.

2. Usaha untuk mengadakan penubuhan Malaysia adalah satu strategi politik masa depan bagi negeri-negeri jajahan takluk British yang belum merdeka seperti Sarawak, Singapura, Borneo Utara dan Brunei.

Ada dua pendapat mengenai hal ini:
(i) memerdekakan negeri-negeri tersebut secara individu;
(ii) memberi kerajaan sendiri merdeka dan kemudian membentuk satu konfederasi dengan menggabungkan negeri-negeri tersebut secara kumpulan atau bersama-sama.

Usaha-usaha ini sejak mula difikirkan sejak 1950-an.

4. Pada 1959 Tunku Abdul Rahman telah diminta oleh British untuk menguruskan penubuhan Malaysia dalam persidangan Komanwel 1959.

5. Tunku mula menghantar wakil-wakilnya untuk meninjau pendapat tentang perkara ini beberapa kali di Brunei, Sarawak dan Sngapura.

6. Pada 1961, Tunku telah mengutarakan idea penubuhan sebuah persekutuan atau kerjasama politik bagi negeri-negeri tersebut dalam satu persidangan di Singapura iaitu Persidangan Wartawan-Wartawan Asia.

Banyak pihak mengatakan itu adalah permulaan atau idea asal Tunku. Sebenarnya British telah merancangkannya atau mencipta “grand design” lebih lama tetapi Tunku telah dikedepankan sebagai memajukan idea Malaysia tanpa melihat peranan British secara terus.

7. Nama Malaysia telah sejak kurun ke-19 digunakan oleh Rupert Emerson dalam tesis PhD-nya yang dihasilkan pada 1935/39.

8. Nama Malaysia telah diberi nama dalam Bahasa Melayu sebagai Melayu Raya yang menggabungkan semua kawasan atau daerah rumpun Melayu di Kepulauan Melayu. Ini termasuk Indonesia, Semenanjung Tanah Melayu, Filipina dan pulau-pulau di kawasan tersebut.

Idea ini telah diutarakan oleh penulis buku sejarah Cikgu Abdul Hadi Hassan, Pensyarah Maktab Perguruan Sultan Idris, dengan buku bertajuk ” Sejarah Alam Melayu” Jilid 1, 2 dan 3. Idea ini telah diteruskan secara perjuangan politik oleh Ibrahim Haji Yaakub dalam Kesatuan Melayu Muda.

Dr Burhanuddin Al-Helmy dan Ahmad Boestamam telah meneruskan idea ini dalam Parti Kebangsaan Melayu Malaya yang berorientasi keindonesiaan.

Konsep yang digunakan mereka ialah Hidup Melayu Kiambang Bertaut.

9. British tidak melihat konsep Malaysia seperti itu, ia hanya bertujuan menggabungkan beberapa kawasan jajahan takluknya yang belum merdeka dengan diketuai oleh Persekutuan Tanah Melayu yang telah merdeka pada 31 Ogos 1957. Alasannya ialah PTM mempunyai pengalaman pentadbiran yang luas, kematangan politik dan mendapat kemerdekaan tanpa pertumpahan darah, serta menolak komunisme.

Dasar pro-Barat Tunku Abdul Rahman sangat sesuai untuk peranan itu. Ia adalah perancangan British tetapi Tunku Abdul Rahman adalah pemudah cara.

10. Sebab-sebab penubuhan Malaysia:

(i) Memberi kerajaan sendiri dan kemerdekaan kepada tanah jajahannya yang belum merdeka seperti Singapura, Brunei, Sarawak dan Borneo Utara. Ini memang dasar British kepada setiap tanah jajahan dan naungannya.

(ii) Mengawal negeri-negeri jajahannya daripada dipengaruhi oleh fahaman komunisme yang amat ketara pada masa itu di kawasan Asia Tenggara. Blok komunis dipimpin oleh Rusia dan China serta Vietnam yang mempengaruhi Parti Komunis Malaya, Sosialist Front dan Partai Komunis Indonesia. Singapura di bawah Lee Kwan Yew telah menggunakan alasan keselamatan daripada pengaruh komunis untuk meminta British menubuhkan Malaysia dengan gabungan PTM dan Singapura. Singapura telah mendapat kerajaan sendiri pada tahun 1953.

(iii) Menseimbangkan nisbah penduduk. Tunku menolak cadangan Singapura untuk bergabung dengan PTM kerana ingin mengelakkan ketidaksseimbangan penduduk Melayu dan Cina. Tunku mencadangkan negeri-negeri jajahan takluk British yang masih belum merdeka untuk menganggotai Malaysia. Dengan itu keseimbangan Melayu dan Bumiputera dapat dilaksanakan. Maka konsep Bumiputera telah wujud bagi meliputi orang-orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak.

(iv) Membangunkan negeri-negeri yang belum maju dengan konsep bantuan pusat kepada negeri-negeri tersebut.

(v) Menjaga dan melindungi kepentingan ekonomi British dan barat di rantau Asia Tenggara. Ini melalui:
– sistem pertahanan dipegang oleh British melalui AMDA 1956
– sistem kewangan berdasarkan pound dan sterling
– sistem bursa saham masih di London
– sistem ekonomi dalam kawalan British seperti perladangan, perdagangan dan perniagaan dan Singapura sebagai pelabuhan bebas milik British
– Malayanisation iaitu penggunaan ekspatriat British dalam pasukan polis, tentera dan jabatan-jabatan kerajaan.

Kata-kata YAB Ketua Menteri Sarawak adalah betul.

11. Penubuhan Malaysia memang usahasama semua negeri yang menganggotai Malaysia pada 16 September 1963 bukan hanya Sabah dan Sarawak sahaja:

(i) Perundingan untuk menubuhkan Malaysia mengambil masa yang lama dan melibatkan semua pihak dalam semua negeri melalui proses-proses yang jelas. Bagi negeri-negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu (bukan Malaya. Malaya adalah terminologi penjajah bagi menamakan British Malaya sebelum Tanah Melayu merdeka. Pada merdeka pada 31 Ogos 1957 nama Persekutuan Tanah Melayu telah dipakai sebagai nama rasmi yang melambangkan kedaulatan dan kemerdekaan Negara tersebut.

Penubuhan Malaysia telah menghilangkan nama Persekutuan Tanah Melayu buat selama-lamanya. Ini satu kerugian kerana Tanah Melayu tidak ada lagi.

(ii) Bagi Persekutuan Tanah Melayu, rundingan itu berjalan lancar. Majlis Raja-Raja menerima penubuhan Malaysia yang menggabungkan Singapura, Sabah dan Sarawak. Perjanjian Malaysia telah baginda tandatangani dengan British yang mewakili negeri-negeri tanah jajahan. Dewan Undangan sebelas negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu menerima penubuhan Malaysia dengan mudah. Parlimen Malaysia juga telah membawa Penubuhan Malaysia secara perundingan, dibahaskan dan diluluskan tanpa persoalan.

(iii) Proses perundingan dalam Persekutuan Tanah Melayu dilakukan dengan licin kerana kesedaran untuk melahirkan sebuah negara besar. Walhal sembilan negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu adalah negeri-negeri beraja yang memiliki tamadun lebih awal.

(iv) Yang menentang penubuhan Malaysia ialah parti-parti Rakyat Malaya, dipimpin oleh Ahmad Boestamam, dan PAS pimpinan Dr Burhanuddin dan mencadangkan Melayu Raya dengan memasukkan Indonesia dan Filipina sebagai anggota.

Ahmad Boestamam menyokong gerakan Parti Rakyat Brunei yang memberontak melawan Sultan Brunei dan British yang mengekalkan taraf jajahan takluk kepada Brunei dan hanya memerdekakan Brunei pada 1983.

Parti Rakyat Brunei telah memenangi pilihan raya 1962 tetapi tidak diiktiraf.

Akibatnya A.M.Azahari telah mendapat sokongan Indonesia dan menubuhkan Negara dan Tentera Kesatuan Kalimantan Utara untuk menjalankan kegiatan gerila menentang Malaysia dalam tahun 1970-an. Indonesia menyokong Azahari dan melaksanakan Kempen Ganyang Malaysia dan Konfrontasi. Indonesia juga telah menghantar tentera ke Sarawak, Johor, Melaka dan Selangor.

Perjanjian Bangkok 1966 dan penggantian Presiden Soekarno dengan Presiden Suharto telah memulihkan suasana dan Malaysia diiktiraf oleh dunia.

12. Rundingan dengan para pemimpin dan parti-parti politik Sabah dan Sarawak telah dijalankan secara rasmi dan tidak rasmi melalui pelbagai jawatankuasa kerajaan, Suruhanjaya Cobbold, Referendum Singapura dan Jawatankuasa Penyiasatan PBB yang merujuk kepada mendapatkan pandangan para penduduk Singapura, Sabah dan Sarawak sejak 1961 hingga 1963.

Perundingan dengan Sabah dan Sarawak yang paling banyak dilakukan kerana terdapat beberapa peringkat dan prosesnya. Sikap menentang dan menyokong sentiasa berlaku dalam proses-proses tersebut. Akhirnya Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan Penubuhan Malaysia pada 16 September 1963.

Jelas sekali perundingan dan pungutan suara berlaku bagi negeri-negeri Singapura, Sabah dan Sarawak tetapi tidak di negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu yang menerimanya secara mudah.

13. Institusi Raja adalah institusi tradisional dalam sistem tamadun kita dalam kawasan rantau ini

Institusi ini telah ada sekian lama di Funan Kemboja dan merebak ke seluruh Kepulauan Melayu sehingga kedatangan penjajah atau kuasa Barat yang mencabar institusi tersebut. Di sesetengah tempat, institusi itu telah dihapuskan oleh rakyatnya tetapi di Malaysia, institusi ini dipelihara oleh British dan orang Melayu sehingga kekal sampai hari ini.

Institusi Raja adalah pemerintah bagi negeri-negeri beraja dan apabila dicapai kemerdekaan, telah dilahirkan jawatan Yang Di-Pertuan Agong sebagai ketua utama Negara mengikut Perkara 32 (1).

Institusi Raja juga dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan Bahagian 14 Perkecualian Bagi Kedaulatan Raja-Raja, Perkara 181 dan182.

Ini bermakna institusi ini adalah institusi yang sah atas konsep Raja Berperlembagaan seiring dengan sistem Parlimen demokrasi di Malaysia.

Jika dikatakan Sabah dan Sarawak tidak mempunyai raja adalah juga salah, kerana dari segi sejarah Sabah dan Sarawak tidak pernah mempunyai pemerintahan diraja. Kesultanan Brunei adalah pemerintah Borneo Utara dan Sarawak.

Di Sarawak, pernah wujud Sultan Tengah yang berpusat di kawasan Kuching dan Sabah Timur pernah dimiliki oleh Kesultanan Sulu.

Kuasa Kesultanan Brunei telah menyerahkan Sarawak kepada James Brooke manakala Kesultanan Sulu telah menyewakan Sabah kepada Syarikat Borneo Utara dan pada 1946, Sabah diserahkan kepada Kerajaan British dan Sarawak pada tahun 1949.

Dan apabila ditubuhkan Malaysia pada tahun 1963, maka sistem beraja dilaksanakan semula. Ia bukanlah sesuatu yang asing.

Raja-rajalah yang menandatangani Perjanjian Malaysia atas kedudukannya sebagai pemerintah Negara.

14. Peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia jelas meletakkan kepentingan Sabah dan Sarawak lebih daripada negeri-negeri lain dalam Persekutuan Malaysia

Bahagian 1 Pekara 1 (2) negeri-negeri persekutuan adalah terdiri daripada Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan,Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu.

Perkara 1 (4) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Labuan semua hendaklah menjadi wilayah-wilayah Persekutuan.

Ini bermakna mengikut Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara (semua negeri dalam Malaysia adalah sekata dan seimbang kedudukannya. Adalah tidak tepat mengatakan Malaysia terdiri daripada 1/3 Sarawak, 1/3 Sabah dan 1/3 Semenanjung Malaysia.

Dalam perlembagaan juga terdapat beberapa peruntukan yang memperuntukan kuasa-kuasa tertentu kepada Sarawak dan Sabah;

Perkara 71 – Jaminan Terhadap Perlembagaan Negeri
Bab 8 – Pemakaian bagi negeri-negeri Sabah dan Sarawak mengenai pembahagian kuasa-kuasa perundangan
Bab 8 – Pemakaian bagi Negeri-Negeri Sabah dan Sarawak. Perkara 95A pengubahsuaian bagi negeri-negeri Sabah dan Sarawak mengenai pembahagian kuasa-kuasa perundangan.
Bahagian 21A – Perlindungan Tambahan Bagi Negeri-Negeri Sabah dan Sarawak.
Perkara 161 – penggunaan Bahasa Inggeris dan bahasa Bumiputera dalam negeri-negeri Sabah dan Sarawak.
Perkara 161E – Pemeliharaan kedudukan dari segi perlembagaan negeri-negeri Sabah dan Sarawak
Perkara 161A – Kedudukan istimewa Bumiputera negeri-negeri Sabah dan Sarawak
(vii) Perkara 161 A (6) Erti Bumiputera Sabah dan Sarawak yang menyatakan nama kaum-kaum di Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan Malaysia.
Bahagian 4 – Pemberian-pemberian khas kepada negeri-negeri Sabah dan Sarawak.
Bahagian 5 – Sumber-sumber tambahan hasil yang diserahkan kepada negeri-negeri Sabah dan Sarawak
Perkara-Perkara 18A Kewarganegaraan dengan Cara Pendaftaran (Orang-orang yang bermastautin di negeri-negeri Sabah atau Sarawak pada Hari Malaysia)

Ini menunjukkan ada peruntukan-peruntukan khas bagi Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan Persekutuan yang diselari dengan Perkara 18 Sarawak dan Perkara 20 Sabah.

15. Patriotisme Malaysia

Malaysia telah terbina selama 53 tahun dan sepatutnya rakyatnya telah bertambah matang. Namun banyak isu yang sengaja ditimbulkan pada hari ini yang pada akhirnya dijangka boleh mengganggu-gugat kestabilan dan survival Malaysia sebagai sebuah Negara Bangsa.

Antaranya ialah:

– Politik pembangkang yang mahu mendapat pengaruh dan kuasa politik berlaku sejak 1999;

– Politik perkauman yang diperbesar-besarkan;

– Politik wilayah yang sengaja ditonjolkan menentang konsep sebuah Negara Bangsa Malaysia;

– Politik kepimpinan

Semua ini mengakibatkan patriotisme semakin bercelaru dan menipis.

16. Survival bangsa Malaysia sebagai sebuah Negara Bangsa pada masa depan bergantung kepada warganegaranya, iaitu kita semua.

– Perpaduan kebangsaan mesti diutamakan dan diperkukuhkan sepanjang masa

– Rukun negara mesti diperteguhkan

Kepercayaan Kepada Tuhan
Setia Kepada Raja dan Negara
Keluhuran Perlembagaan
Kedaulatan Undang-Undang
Kesopanan dan Kesusilaan

Konsep Negara Bangsa mesti dihayati sepanjang masa.

Malaysia negaranya, Malaysia bangsanya
Kepentingan negara sepatutnya mengatasi kepentingan politik dan kepartian dan wilayah.

* Nota Taklimat yang menjadi asas pembentangan tajuk ” Sarawak Dalam Malaysia” oleh Profesor Datin Paduka Datuk Dr Ramlah Adam semasa Seminar Sejarah Sarawak: A Journey to Merdeka: Sarawak in Malaysia.