Pembentukan Malaysia 53 tahun lalu, atau lebih tepat pada 16 September 1963 amat dekat di hati saya. Ketika itu, saya menjadi saksi ayahanda saya, Datuk Abang Openg Abang Sapie’e dilantik secara rasmi sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang pertama, manakala Encik Stephen Kalong Ningkan sebagai Ketua Menterinya.

Detik itu sebenarnya amat penting, kerana ia mengubah kita, mengubah negeri kita dan mengubah masa depan kita bersama Malaysia. Sarawak selepas itu terus pesat membangun dan meninggalkan sejarah silamnya ketika menempuh tiga era pemerintahan asing.

Justeru itu, apabila Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Sarawak mencadangkan penganjuran Seminar Sejarah Sarawak, dengan tema ” A Journey to Merdeka: Sarawak in Malaysia”, saya melihat ia amat signifikan bagi kita merenung kembali apa yang telah dicapai sejak merdeka dan menubuhkan Malaysia.

Kunjungan kembali atau “revisited” ini juga penting bagi membolehkan generasi muda hari ini memahami secara mendalam akan tindakan pimpinan hari ini, yang aktif dalam menuntut autonomi dan pemugaran hak negeri yang dikatakan semakin terhakis.

Sehubungan itu, saya berharap seminar kali ini akan memberi banyak manfaat kepada kita, terutama dalam menilai sejarah Sarawak secara ilmiah, berfakta dan konstruktif, dan bukannya dibendung oleh belitan emosi.

* sedutan buku program Seminar Sejarah Sarawak