Dua pekerja sanggup curi 60 kg sayap ayam di pasar raya tempatnya mencari rezeki

MIRI: Untuk dijual dengan harga RM50 sekotak kemudiannya, dua pekerja di sebuah pasar raya di pasar raya di Lutong sanggup mencuri enam kotak ayam mengandungi 60 kilogram sayap ayam sejuk beku di pasar raya tempatnya mencari rezeki.

Difahamkan, sebelum itu dua suspek masing-masing berusia 20 dan 26 tahun dikatakan bertugas memunggah beberapa kotak sayap ayam sejuk beku itu untuk dipamerkan dan dijual sekitar 9.30 pagi Ahad lepas.

Mereka berdua kemudian dilihat meletak beberapa kotak sayap ayam tersebut ke dalam troli sebelum menolak troli tersebut keluar dari pintu belakang pasar raya.

Dalam aduannya di Balai Polis Lutong sekitar 11 pagi Isnin, pengurus pasar raya berusia 35 tahun mendakwa, penyelia dimaklumkan oleh seorang staf lain yang ternampak ada pekerja pasar raya berada di tempat pembuangan sampah.

Penyelia ke tempat pembuangan sampah di belakang pasar raya tersebut dan ternampak enam kotak sayap ayam sejuk beku diletakkan di situ.

Penyelia bersama-sama pekerja menahan dua suspek dan merampas sayap ayam sejuk beku bernilai RM540 itu.

Kedua-dua suspek tersebut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – Sarawakvoice