Buaya di Kabong hanya buaya jelmaan

KABONG: Tiada buaya naik ke kawasan pasar Kabong sebagaimana gambar yang diviralkan dan tersebar di laman-laman sosial.

Gambar buaya berkenaan hanyalah ‘buaya jelmaan’ hasil sentuhan kerativiti (edit) dan kecanggihan teknologi yang membuatkan gambar tersebut seperti benar-benar berlaku.

boyak-kabong_0001

Sarawak Voice (SV) menerima banyak pertanyaan daripada pengguna media sosial mengenai kesahihan cerita tersebut sebaik gambar berkenaan tersebar.

Apa yang pasti perkara tersebut tidak terjadi di sini dan pengguna media sosial diharap tidak mudah terpedaya.

Fenomena air pasang besar yang melanda negara yang turut dialami penduduk di sini sejak dua hari memang memberi kesan kepada penduduk yang terjejas apabila kawasan kediaman penduduk dinaiki air.

Namun kejadian buaya naik hingga ke kawasan pasar di sini tidak terjadi sebagaimana gambar yang disebarkan.

Sehubungan dengan itu pengguna media sosial diharap tidak mudah terpengaruh dan percaya dengan sebaran gambar sedemikian.

Apapun, air pasang besar dijangka akan terus melanda kawasan penempatan penduduk petang ini dengan dijangka mencapai ketinggian sehingga 5.2 meter menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.

Rumah-rumah penduduk yang terletak di kawasan tepian sungai juga dijangka akan terus dinaiki air petang ini.

Menurut kenyataan jabatan berkenaan juga, fenomena air pasang besar akan turut menyaksikan laut bergelora dengan ombak dijangka mencecah ketinggian 3.5 meter dan berbahaya kepada nelayan.

Sehubungan dengan itu penduduk dinasihat agar terus mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan perkara tidak diingini berlaku terhadap mereka. – Sarawakvoice

boyak-kabong_0000