Bomba pecah tingkap kereta selamatkan lelaki yang tidak sedarkan diri di Sibu

SIBU: Pasukan bomba dan penyelamat terpaksa memecahkan cermin kereta bagi menyelamatkan seorang lelaki yang tidak sedarkan diri setelah terlibat dalam kemalangan di Lorong Ulu Sungai Merah dekat sini awal pagi tadi.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Farhan Sufyan Borhan, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 1.15 pagi dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah dikejarkan ke lokasi.

“Setibanya mereka di lokasi sekitar jam 1.27 pagi, pasukan mendapati lelaki terbabit terperangkap di dalam kenderaan dan tidak sedarkan diri.

“Pasukan mengambil tindakan memecahkan cermin kereta yang terjunam ke dalam parit dan berjaya mengeluarkan mangsa.

Mangsa yang dikenal pasti sebagai Lau Hin Cu, 55 tahun kemudian diserahkan kepada pasukan paramedik, sebelum dikejarkan ke Hospital Sibu.

Kes kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut. – Sarawakvoice