40 hektar ladang sawit, semak terbakar di beberapa kawasan di S’wak

SIBU: Melakukan aktiviti pembakaran terbuka pada musim panas untuk tujuan pertanian mendatangkan padah kepada pekebun dan peladang apabila sekitar 40 hektar ladang sawit dan semak terbakar di beberapa kawasan di Sarawak pada Ahad.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan kawasan terbesar yang terbakar melibatkan ladang kelapa sawit seluas 20 hektar yang baru beroperasi berhampiran Lapangan Terbang Bintulu.

Pihak bomba berusaha memadam kebakaran sehingga 8.30 Ahad malam berikutan sukarnya kerja memadam kerana tekanan air yang rendah dan sumber air yang jauh.

Operasi disambung semula 8 pagi isnin, hari ini memetik laporan Bernama.

Turut membantu operasi memadam kebakaran di kawasan ladang itu ialah anggota Pasukan Bomba Sukarela Jepak dan pekerja ladang.

Pegawai NREB, JAS dan Pejabat Residen Bahagian Bintulu turut berada dilokasi memberi sokongan moral kepada petugas.

Kawasan lain yang turut terbakar ialah di 141 Jalan Tatau-Sibu merangkumi kawasan seluas  4.045 hektar, Bintangor (1.62 hektar),  0.81 hektar masing-masing di Jalan Mission, Kanowit; Jalan Shahar, Sungai Buloh, Oya; Jalan Sungai Moyan, Batu Kawa (Kuching); Jalan Ulu Sungai Merah dan berhampiran Jambatan Lebaan di Jalan Sibu-Tanjung Manis.

Sungguhpun begitu, semua kebakaran tersebut dapat dikawal daripada merebak ke kawasan berhampiran.

Kebakaran kecil turut dilaporkan berlaku di kawasan berhadapan Klinik Ulu Layar dan Skim Skrang (Betong) serta di kilometer 60 Stabun, Serian. – Sarawakvoice