Malaysia, Thailand bekerjasama lanjut tren elektrik ke Hat Yai

GEORGE TOWN:  Kementerian Pengangkutan sedang bekerjasama dengan kerajaan Thailand bagi melanjutkan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dari Padang Besar hingga ke bandar Hat Yai. Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kerajaan Thailand menunjukkan minat untuk melanjutkan landasan ETS yang setakat ini hanya sampai ke Padang Besar dari Kuala Lumpur.

Beliau berkata selaras dengan perkembangan pesat perkhidmatan sistem pengangkutan, kementerian menyokong penuh inisiatif yang diambil oleh kerajaan Thailand bagi menjayakan perlanjutan landasan ETS sehingga ke Hat Yai. “Berikutan perbincangan dengan rakan sejawatan kami, kerja-kerja perlanjutan landasan ETS sedia ada dari Padang Besar ke Hat Yai sedang berjalan dan kami sangat optimistik projek ini akan siap menjelang 2020,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan konvensyen tahunan MCA Pulau Pinang di sini hari Sabtu.

Menurut beliau perlanjutan landasan ETS ini akan memberi faedah kepada kedua-dua negara terutama sekali kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) setelah projek ini siap kelak. Liow berkata kementeriannya dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bersetuju untuk menambah 10 lagi tren ETS tahun depan, bagi memenuhi peningkatan penumpang.

“Ketika ini, KTMB mempunyai 38 tren ETS, dan menawarkan perkhidmatan bagi laluan Gemas-Padang Besar dua kali sehari. Setiap tren mempunyai enam gerabak yang boleh memuatkan sehingga 300 penumpang pada satu-satu masa, dan itu pun masih tidak dapat memenuhi permintaan semasa,” katanya.

Sementara itu, Liow yang juga presiden MCA menyuarakan rasa kesalnya berikutan kegagalan kerajaan negeri Pulau Pinang memberi kerjasama kepada kerajaan pusat bagi memajukan Terminal Pelayaran Swettenham Pier. Katanya sejak 2008, Kementerian Pengangkutan masih gagal dalam permohonannya untuk mendapatkan tambahan tanah daripada kerajaan Pulau Pinang dan terminal berkenaan masih kurang dimajukan meskipun telah lengkap.

“Kami berjaya membawa semula Star Cruise Libra ke perairan Pulau Pinang tetapi terminal itu masih memerlukan kemudahan yang sesuai untuk memenuhi permintaan bagi lebih banyak kapal persiaran,” katanya.

Beliau berharap kerajaan negeri, demi kebaikan rakyat negeri Pulau Pinang, lebih bersikap terbuka untuk berbincang dengan pihak berkuasa pelabuhan bagi membangunkan terminal itu. — BERNAMA