Pelanggan restoran cemas dengar teriakan api di Tanjung Batu

BINTULU: Keenakan beberapa keluarga menikmati hidangan makanan laut terganggu apabila mereka dikejutkan dengan teriakan api oleh pekerja sebuah restoran di sini malam tadi.

Teriakan tersebut mencemaskan pelanggan terbabit sebelum mengetahui yang terbakar sebenarnya hanyalah papan tanda perniagaan yang didirikan dalam bentuk tiang di luar premis restoran makanan laut tersebut.

Penolong Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Farhan Sufyan Borhan berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 8.24 malam berhubung insiden di Crown Dynasty Restaurant di Tanjung Batu itu.

“Sebuah jentera dengan kekuatan lapan anggota kemudian dikejarkan ke lokasi dan tiba tiga minit kemudian.

“Pasukan yang hadir kemudian melakukan kerja-kerja pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu dengan menggunakan sumber air jentera,” katanya.

Tiada mangsa yang terlibat dan punca kebakaran dipercayai akibat litar pintas. – Sarawakvoice