Amanah sokong usaha pujuk Pas sertai pakatan pembangkang, namun perlu ada batas waktu

KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) mengalu-galukan hasrat mana-mana pihak termasuk kenyataan terkini Pengerusi Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PBPM) Tun Mahadhir Mohamad yang berhasrat untuk terus memujuk Pas bersama parti politik pembangkang di negara ini bertanding menentang Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

Dalam kenyataan media kepada Sarawak Voice Naib Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, “kita masih punya waktu untuk buktikan kepada rakyat negara ini bahawa kita telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memujuk Pas.

“Ini sangat penting supaya biar rakyat faham dengan jelas kemudian hari nanti parti manakah yang sebenarnya merosakkan segala impian dan harapan untuk menolak BN,” kata Salahuddin

Sungguhpun begitu, menurut Salahuddin, Amanah juga ingin mempertegas bahawa walaupun pintu rundingan sentiasa terbuka luas, namum batas waktu rundingan mesti ditentukan supaya segala keputusan dan penentuan hala tuju dapat dimuktamadkan dengan segera.

“Kekuatan sedia ada iaitu Pakatan Harapan dan Bersatu yang telah dibina dan mula mendapat keyakinan rakyat mesti diperkukuhkan lagi sebagai asas untuk membina permuafakatan politik yang lebih besar,” tegas Salahuddin lagi.

Salahuddin yakin dan percaya rakyat telah terdidik dan mempunyai maklumat cukup untuk memberikan sokongan kepada parti politik yang jelas menzahirkan pendirian mereka untuk menentang BN.

Bagi beliau, rakyat menolak parti yang bersengkokol dengan kezaliman BN walaupun berhempas pulas menyatakan mereka tidak bersama BN. – Sarawakvoice