Mahathir: PAS boleh tewas jika enggan bekerjasama dalam PRU14

PUTRAJAYA:  Tun Dr Mahathir Mohamad semalam memberi peringatan kepada PAS bahawa ia bakal kalah dalam pilihan raya umum ke-14 jika enggan bekerjasama dengan parti pembangkang lain.

Hakikat yang perlu diakui PAS ialah kemenangannya dalam PRU lalu adalah kerana sokongan dan kerjasama yang diberi oleh DAP sehingga pengundi Cina turut menyokong parti itu.

Mantan Perdana Menteri itu berkata, PAS tidak mungkin dapat menang banyak kerusi jika hanya bergantung kepada kekuatannya.

Untuk itu, Dr Mahathir berkata, beliau berharap dapat berbincang dengan PAS untuk memastikan berlaku pertandingan satu lawan satu menentang BN dalam PRU nanti.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata, beliau mahu menjelaskan kepada parti Islam pimpinan Datuk Seri Hadi Awang itu risikonya jika ia tidak mahu bekerjasama dengan pakatan pembangkang.

Sebenarya, jika PAS enggan bekerjasama, katanya kepada media di sini semalam, parti itu seolah-olah mahu membantu BN menang.

Jika PAS bergerak sendiri dan berlaku pertandingan pelbagai penjuru, penyokong pembangkang akan berpecah, kata Dr Mahathir, dan ini pastinya menguntungkan BN.

Pada PRU-13, BN memenangi 133 kerusi, berbanding pembangkang 89 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Namun dari segi undi popular, pembangkang meraih 50.87 peratus undi berbanding BN hanya 47.38 peratus undi.

Jumlah undi diperoleh PKR ialah 20.39 peratus, DAP 15.71 peratus dan PAS 14.77 peratus. – Sarawakvoice