PAS: Kakitangan awam rasuah: Apa sudah jadi?

KUALA LUMPUR: PAS bertanya, apa sudah jadi dengan kakitangan awam yang dituduh terlibat dengan rasuah dan mengapa  terjadi demikian?

“Sudah rosakkah modal insan di negara ini. Mereka yang terlibat,  umur sudah lanjut untuk membilang hari di penghujung usia. Tidak takutkah mereka dengan azab Allah,” kata Naib Presiden PAS, Idris Ahmad.

Beliau seterusnya berkata: “Adakah di belakang mereka ini ada tangan ghaib sehingga mereka berani berbuat demikian. Kita harapkan akan terbongkar siapakah dalang di sebalik tindakan mereka apabila di bawa ke pengadilan.”

“Adakah mereka ini yang menjadi pembekal kepada kegiatan politik wang di negara ini. Inilah bahaya apabila politik wang bermaharajalela, sama ada di dalam pemilihan parti atau pilihan raya negara,” ujarnya.

Kenyataan beliau itu dibuat susulan tindakan  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  telah merampas RM112 juta wang ekoran tertangkapnya dua pegawai kanan Jabatan Air Sabah.

Jumlah ini merangkumi  RM52 juta tunai dan RM60 juta dalam simpanan. Sebanyak 30  kakitangan SPRM terpaksa mengambil masa 15 jam untuk mengira wang RM52 juta.

“Semua suspek kes ditahan kerana melibatkan RM3.3 bilion dana projek Pusat untuk pembinaan infrastruktur asas sejak tahun 2010…Berapa banyak kerugian wang rakyat dibazirkan untuk memenuhi tembolok beberapa individu yang tidak bertanggungjawab,” ujarnya. – Sarawakvoice