229 dicekup polis terbabit pelacuran, maksiat

KUALA LUMPUR: Polis menerusi Op Noda Khas 7 pada awal pagi semalam berjaya menahan 229 orang kerana disyaki terbabit dalam kegiatan maksiat dan pelacuran di ibu negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh dalam satu kenyataan berkata, mereka yang ditahan ialah gadis pelayan pelanggan, pelacur, ulat pelacur, pelayan dan penjaga premis pusat hiburan dan rumah urut tidak berlesen.

Operasi yang dijalankan dari jam 11 malam hingga 4 pagi itu menurut beliau dianggotai oleh pasukan dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur serta pasukan D7 Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Wangsa Maju dan Sentul.

Mereka menjalankan 49 serbuan, dengan 29 mencapai sasaran apabila 229 orang daripada 355 individu diperiksa disyaki terbabit dengan kegiatan maksiat dan pelacuran.

Menurutnya, 29 orang yang ditangkap ialah warga tempatan, manakala selebihnya 118 warga Vietnam, 37 Thailand, 14 China, 8 Indonesia, 7 Bangladesh, 6 Filipina, Laos dan Uzbekistan 3 masing-masingnya, 2 Nepal dan seorang masing-masingnya warga Myanmar dan Kemboja. – Sarawakvoice