Dr Jeniri Amir
Dr Jeniri Amir

Terdapat banyak kerisauan dan kebimbangan pemimpin dan rakyat Sabah dan Sarawak menjelang pembentukan Malaysia pada 1963.

Antara kebimbangan itu, sehingga gagasan tersebut ditolak pada peringkat awal adalah takut kedudukan Sabah dan Sarawak tergugat dan didominasi Tanah Melayu, dan takut ekonomi dikuasai mereka dari Tanah Melayu dan Singapura

Antara kerisauan penduduk Sabah dan  Sarawak menjelang penubuhan Malaysia ialah dominasi penduduk Melayu dari Tanah Melayu dan Islam, khususnya dalam kalangan masyarakat bukan Melayu dan Islam.

Mereka bimbang akan berlaku diskriminasi sehingga mereka dilayan sebagai rakyat kelas dua, khususnya bagi kaum Cina.

Bagi kaum peribumi, mereka bimbang adat resam dan undang-undang tradisional mereka akan terjejas.

Rakyat Sabah dan Sarawak juga bimbang kemungkinan berlakunya migrasi dari negeri lain di bawah Persekutuan khususnya dari Singapura bagi merebut peluang dan tanah di Sarawak dan Sabah.

Terdapat kesepakatan agar petumbuhan ekonomi dan pembangunan luar bandar dipercepat dan perhatian yang lebih diberi terhadap pendidikan, khususnya dalam kalangan kaum bumiputera.

Mereka juga mahu menikmati keistimewaan kaum Melayu di Semenanjung dilanjutkan kepada bumiputera Sabah dan Sarawak.

Kebimbangan tadi disalurkan melalui pelbagai pertemuan termasuk melalui surat dan memorandum yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Cobbold yang kemudiannya terserlah melalui Perjanjian 20 Perkara dan Perjanjian 18 Perkara.

Sejauh manakah kebimbangan itu berasas? Dan sejauh manakah perkara yang terkandung dalam perjanjian itu dipenuhi dan dilindungi? Serta sejauh manakah kebimbangan itu masih wujud selepas 53 tahun?

Adakah semua perkara dalam perjanjian itu masih relevan?

Perjanjian 20 Perkara dan Perjanjian 18 Perkara  antara lain meliputi  aspek agama, bahasa, perlembagaan, imigresen, Borneonisasi, kewarganegaraan, cukai dan kewangan, kedudukan khas kaum bumiputera, pelajaran, perwakilan dalam Parlimen Persekutuan, tanah, hutan dan kerajaan tempatan.

Sebahagian daripada perkara berkenaan sebenarnya sudah tidak lagi relevan kerana faktor peredaran  masa ataupun kerana ia sudah memang diterima, membabitkan bahasa, perlembagaan, ketua persekutuan, nama persekutuan, pegawai-pegawai British, jangka masa peralihan, pelajaran, nama ketua negeri dan nama negeri.

Perkara yang  relevan dan sentiasa menjadi kontroversi serta menjadi duri dalam adalah membabitkan agama, imigresen, kewarganegaraan, perwakilan dalam Parlimen Persekutuan, selain peluang pekerjaan khususnya di peringkat persekutuan.

Pada 16 September 2012, Pakatan Rakyat telah mengeluarkan Perisytiharan Kuching yang antara lain menyatakan bahawa “Sesungguhnya kami berpegang teguh dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 yang telah dicetuskan dan dikendalikan oleh pemimpin-pemimpin kami yang terdahulu, dan sebagai bukti dan tanda utuhnya kesetiaan kami terhadap rakyat Sarawak dan Sabah, berteraskan prinsip-prinsip demokrasi dan keadilan untuk rakyat Malaysia seluruhnya…”

Dua perkara pertama yang diberi perhatian dalam perisytiharan meliputi tujuh perkara  itu adalah kerjasama bersekutu, dengan janji untuk memulihara inti pati Perjanjian Malaysia dan memperkasakan kedudukan Sarawak dan Sabah setanding dengan Semenanjung Malaysia dengan mengembalikan autonomi Sarawak dan Sabah  mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan.

Perisytiharan itu juga menyatakan untuk mempertingkatkan integrasi nasional di antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia melalui penggemblengan tenaga dan perkongsian kuasa secara adil yang menjunjung semangat Perjanjian Malaysia.

Perkara-perkara lain yang diliputi di bawah  Perisytiharan Kuching oleh Pakatan Rakyat itu  ialah kewarganegaraan, pengiktirafan hak ke atas tanah adat, kecekapan dan kemandiriian dari segi pentadbiran, royalti minyak dan pembangunan sekata.

Sesungguhnya, perkara yang terkandung dalam perjanjian berkenaan yang bertujuan untuk melindungi rakyat Sabah dan Sarawak  telah  banyak menimbulkan salah faham dan dieksploitasikan untuk tujuan politik khasnya selepas PRU 2008 dan PRU13.

Perkara berkenaan adalah bagai duri dalam daging dan sentiasa menjadi isu kempen menjelang pilihan raya.

Malah, pada 2015 seorang pemimpin Barisan Nasional dari Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak mendesak kerajaan persekutuan untuk mempertimbangkan secara serius langkah memberi ‘partial autonomy’ kepada Sabah dan Sarawak, dengan mengigatkan bahawa kedua-dua negeri terbabit kekurangan kebebasan dalam membuat keputusan apabila beliau menyatakan bahawa  sistem sekarang, iaitu memberi hak kepada Putrajaya menentukan dasar untuk Sabah dan Sarawak.

Yang menjadi keprihatinan kedua-dua negeri itu ialah ‘federalisasi kerajaan negeri, dan terhakisnya autonomi dalam memutuskan sesetengah perkara.

Kini, kata Salleh, kerajaan persekutuan bukan hanya memutuskan bajet pembangunan, tetapi juga mengawal dari segi bagaimana, bila dan apa yang perlu dilaksanakan sehingga menyebabkan kelewatan, fungsi yang bertindih antara agensi negeri dan persekutuan, dan sering berlaku, kerajaan negeri tidak dilibatkan dalam proses membuat keputusan.

Sesuai dengan sistem persekutuan, amatlah penting untuk pemimpin Persekutuan dan Kerajaan Pusat agar tidak menceroboh hak dan autonomi Kerajaan Negeri sewenang-wenangnya.

Hubungan yang turun naik dan panas dingin  akan membawa kesan negatif kepada pembangunan negeri dan rakyat.

Amat penting bagi Kerajaan Pusat untuk bersikap profesional sesuai dengan tuntutan Perlembagaan dengan mengiktiraf legitimasi atau keabsahan Kerajaan Negeri  serta memenuhi hak yang digariskan. – Sarawakvoice