Pegawai dari Sarawak, Sabah juga berkelayakan; beri tempat kepada mereka

Dr Jeniri Amir
Dr Jeniri Amir

Apabila mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi mengumumkan nama Idris Jala sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) beberapa tahun lalu, ramai rakyat Malaysia yang tertanya-tanya, siapakah beliau? Jika berdasarkan namanya, tidak hairan ada yang menganggap bahawa beliau ialah orang Islam dari sebuah negeri di Semenanjung Malaysia.

Datuk Seri Idris Jala merupakan seorang tokoh yang berasal dari tanah tinggi Bario yang terkenal dengan beras Bario. Idris, berketurunan Kelabit merupakan kaum minoriti, dengan jumlah penduduk hanya sekitar 6,000 orang, tetapi terkenal sebagai etnik yang bijak. Meskipun jumlah mereka sedikit berbanding dengan kaum-kaum lain, bukan sedikit kaum Kelabit yang cemerlang sebagai pengurus, doktor dan peguam.

Sebenarnya, bakat Idris sudah menyerlah sejak di bangku sekolah. Saya masih ingat ketika dalam Tingkatan Enam di Kolej Tun Datuk Tuanku Haji Bujang,Miri pada tahun 1976 dan 1977, Idris dilantik menjadi ketua pengawas sekolah berasrama, dan amat fasih dalam bahasa Inggeris. Malah, ada guru yang menyifatkan mutu tulisannya dalam bahasa Inggeris menyamai standard majalah mingguan antarabangsa Times pada waktu itu.

Kemudian Idris muncul cemerlang, dengan meraih ijazah kelas kedua atas dalam program yang diikutinya di Universiti Sains Sarawak (USM) pada tahun 1982. Pada tahun berkenaan, tiga orang pelajar dari Sarawak mencapai kejayaan cemerlang untuk program  terbabit yang menyaksikan hanya lima orang mendapat kelas kedua atas.

Idris yang ketika tinggal di asrama dahulu gemar memetik gitar dan amat meminati lagu ’Hotel California’ pernah dihantar untuk mengikuti program pertukaran pelajar di Jepun ketika di USM. Sejak menyertai syarikat minyak antarabangsa Shell, bintang anak seorang guru itu terus menyinar. Beliau terus melantun ke papan atas dalam kerjayanya sehinggalah bakat cemerlangnya dikesan ketika pihak kerajaan mencari calon yang paling sesuai untuk menerajui MAS.

Sebenarnya, banyak lagi orang pintar seperti Idris di Sabah dan Sarawak, tetapi  bakat dan keupayaan mereka sering terlepas pandang oleh pihak berkuasa di Putrajaya. Berapa orangkah pegawai kanan dari kedua-dua negeri itu kini berkhidmat di jawatan strategik di pusat pentadbiran negara atau menjadi orang penting dalam syarikat berkaitan kerajaan?

Malah, berapa orangkah pegawai khas menteri, termasuk Perdana Menteri yang berasal dari Sabah dan Sarawak? Kita perlu mengakui hakikat bahawa, anak Sabah dan Sarawak juga tidak kurang kepintaran dan kebijaksanaan mereka. Kecuali, mereka tidak diberi kesempatan untuk membuktikan kehebatan dan daya kepemimpinan di peringkat yang lebih tinggi. Sebab, menteri dan pihak kementerian cenderung untuk mendapatkan khidmat mereka dari Semenanjung. Mereka sering terlepas pandang akan bakat dari kedua-dua negeri itu menyebabkan mereka sekadar berada di pinggiran.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan pernah  mencadangkan agar kakitangan awam dari Sabah dan Sarawak diberi peluang dan kepercayaan untuk memegang jawatan tinggi dalam agensi atau Jabatan Persekutuan. Langkah ini bagi beliau akan membolehkan mereka memberi sumbangan lebih berkesan.  Saranan itu perlu dilihat dalam konteks bagaimana Idris telah berjaya dalam misi besar dan sukar yang diamanahkan kepada beliau.

Jika usaha diambil untuk mengenal pasti bakat yang cemerlang di peringkat negeri, pasti kita akan dapat mencari permata yang terbenam di dalam lumpur. Mereka ini jika digilap dan diberi peluang, pasti akan dapat menyerlah seperti Idris. ”Pelantikan ini amat penting bagi memastikan input dan sumbangan idea dari Sabah dan Sarawak terutamanya berkaitan dengan program pembangunan dapat disesuaikan mengikut keperluan kedua-dua negeri berkenaan,” tegas beliau.

Sesungguhnya, mereka lebih faham akan isu dan masalah pembangunan serta aspriasi penduduk di kedua-dua negeri itu. Sedangkan pegawai tinggi dari Semenanjung hanya turun sekali-sekala ke negeri berkenaan, itu pun ke pusat pentadbiran di Kota Kinabalu dan Kuching sahaja.

Tidak banyak yang berkesempatan untuk turun padang sehingga ke kawasan hulu dan pedalaman. Mereka gagal untuk benar-benar menyelami denyut nadi dan keperluan penduduknya. Dengan keluasan Sarawak yang sebesar Semenanjung dari segi geografi, tentu cara menangani masalah pembangunan dan jumlah peruntukan yang perlu disalurkan ke negeri ini tidak dapat disamakan dengan negeri kecil.

Banyak masalah akan timbul jika pegawai kanan di Putrajaya tidak benar-benar menyelami masalah dan tuntutan rakyat di negeri yang banyak menyumbang kerusi Parlimen itu. Perspektif yang juling akibat daripada kurang faham akan masalah sebenar dan keruwetan komposisi penduduknya dari segi budaya, agama, kepercayaan dan taraf sosioekonomi, tentu akan menyebabkan mereka membuat keputusan yang salah.

Keputusan yang tidak tepat akan meninggalkan kesan dan implikasi yang besar kepada rakyat di kedua-dua negeri itu pada jangka panjang. Kita tidak harus mengamalkan sikap prejudis dan pilih kasih. Sebaliknya kita perlu memberi peluang kepada mereka dengan adil, berdasarkan merit dan keupayaan mereka.

Lagipun, tindakan tersebut adalah selari dengan gagasan 1Malaysia dan perpaduan nasional yang mahu menyaksikan rakyat daripada pelbagai latar belakang etnik, termasuk etnik minoriti di Sabah dan Sarawak diberi tempat untuk sama-sama membina masa depan negara. – Sarawakvoice