Rosli Dhoby: Merdeka dengan darah

Dr Jeniri Amir
Dr Jeniri Amir

Rosli Dhoby menikam badik ke perut Gabenor British Duncan Stewart pada 3 Disember 1949. Rosli telah diangkat sebagai pahlawan dan pejuang.

Siapakah Rosli Dhoby, anak muda yang berhati waja dan berani itu?

Rosli lahir pada 18 Mac 1932 di nombor 94, Kampung Pulo daripada pasangan Dhoby bin Buang dan Habibah bt Haji Lamit.

Di belakang rumah Rosli ada hutan dan Sungai Lembangan. Di situlah beliau dan kawan-kawannya kadangkala bermain dan mandi-manda.

Kebanyakan penduduk yang tinggal di kampung itu ialah orang Melayu. Suku kaum Melayu seperti kebanyakan peneroka awal tinggal di tepi sungai dan di tengah-tengah bandar Sibu sekarang seperti Kampung Nyabur, Kampung Datu, Kampung Hilir dan Kampung Nangka.

Mereka mempunyai pertalian dengan kesultanan Brunei dan ada daripada mereka berasal dari Indonesia.

rosli dhoby 4Berdasarkan gambar tujuh orang ahli jawatankuasa Kampung Pulo yang diambil pada tahun 1938, lima orang mereka didapati memakai pakaian ala Jawa dengan ikat kepala dengan kain pelikat, manakala dua orang lagi bersongkok dan berseluar panjang.

Sebahagian mereka bekerja dengan kerajaan dan para peniaga Cina, manakala selebihnya bekerja sendiri.

Rumah Dhoby seperti rumah kebanyakan penduduk kampung adalah sederhana sahaja. Rumah setingkat itu mempunyai tangga.

Terdapat empat buah bilik, termasuk bilik Rosli. Di dalam bilik Rosli terdapat banyak buku, namun dia tidak mempunyai rak untuk menyimpan buku berkenaan. Terdapat sebuah katil kecil di dalam biliknya, sebuah kerusi dan sebuah meja kecil untuk beliau membaca buku dan membuat rancangan pengajaran.

Rosli juga mempunyai radio kecil di dalam biliknya, selalunya dimain untuk mendengar perkembangan isu semasa. Rumah Rosli menggunakan lampu gas pada waktu malam.

Dhoby Buang dikatakan berasal dari Indonesia, daripada keturunan Raden, tetapi gelaran itu tidak digunakan ketika sampai di Sibu.

rosli dhoby

Dhoby berasal daripada keluarga Pahlawan Melayu dari Palembang dan lama menetap di Kuching sebelum berpindah ke Sibu. Habibah, ibu Rosli dikatakan berasal daripada keluarga Sambas dan lama menetap di Mukah.

Dalam kalangan kaum keluarga dan sanak saudaranya, beliau lebih dikenali sebagai Bu Ibot.

Dhoby juga menjadi bilal masjid dan umat Islam di sekitar tahu apabila beliau mengalunkan bang pada waktu Maghrib.

Pasangan itu mempunyai tiga orang anak, iaitu Fatimah yang dilahirkan pada 1928, Rosli pada 1932, dan Ainnie, yang memecahkan tangis pertamanya pada 1933.

Fatimah menemui jodohnya dengan Abang Hamdan Abang Haji Kadir, dan mereka dikurniai 13 orang anak.

Dhoby menyara keluarganya dengan bekerja sebagai mandur di Public Works Department (PWD).

Dhoby mendidik anaknya dengan disiplin yang ketat, dan begitu mengutamakan pendidikan agama. Meskipun tegas dalam mendidik anak-anaknya, namun merontan bukan satu daripada cara beliau mendisiplinkan mereka. Dia mahu melihat anaknya berjaya dalam pelajaran.

Makanan kegemaran Rosli ialah nasi goreng, ikan kembung goreng, asam pedas dan Rosli suka minum teh.

rosli dhoby 2

Seperti orang kampung lain pada waktu itu, Rosli suka juga makan ulam dan pelbagai jenis ubi seperti ubi keledek, keladi dan kentang.

Rosli tidak cerewet pasal makan, minum dan pakaiannya. Ibunya yang suka memasak sering memasak sayur kacang, dan ikan senangin asam pedas. Penampilannya kemas, segak, bergaya, sederhana serta bersahaja. Rambutnya disikat dari kiri ke kanan.

Rosli suka berdikari, patuh kepada ibu bapa dan tidak suka menyusahkan orang lain. Rosli belajar solat dan mengaji al-Quran daripada ayahnya.

Dia juga dididik sejak kecil supaya mencintai agama dan mengamalkan agama Islam dalam kehidupannya.

rosli dhoby 5Pada hari Jumaat, Rosli sering mengikuti ayahnya solat Jumaat di masjid. Sehingga saat kematian, Rosli masih mengingati kaum keluarganya agar tidak melupakan solat.

Didikan sedemikian banyak membentuk peribadi dan watak beliau ketika remaja.  Rosli sering senyum apabila bercakap dan seorang yang peramah.

Dia amat menghormati orang tua; dan mungkin itulah sebabnya dia disenangi oleh mereka, termasuk Bujang Suntong.

Rosli mempunyai ramai teman, termasuk jiran tetangganya seperti Abdul Aziz Saifullah. Rakan-rakan lain Rosli ialah Noor Tahir, Wan Abu Bakar, Yusuf Merais, Baiee, dan Mohd. Jenal. Abang Othman, dan Morshidi Sidek.

Sebahagian daripada rakan Rosli ialah mereka yang lebih tua daripadanya.

Rosli juga suka menonton wayang dan bangsawan. Panggung Rex menjadi tempat beliau dan rakan-rakannya menonton persembahan berkenaan. – Sarawakvoice

Profesor Madya Dr Jeniri Amir, pensyarah Universiti Malaysia Sarawak ialah penulis buku Rosli Dhoby: Merdeka dengan Darah.